Ahad, Disember 17, 2017

M. Nasir bakal keluar album baharu

petikan Utusan Malaysia 17 Disember 2017
Alif Fadli Mohd. Sori

KUALA LUMPUR 17 Dis.- Penyanyi dan komposer tersohor negara, Datuk M. Nasir mengumumkan bakal tampil dengan album baharu selewat-lewatnya awal tahun depan.


M. Nasir, 60, berkata, dia ketika ini masih lagi mengumpul karya-karya bagi melengkapkan album tersebut.


“Berkarya ini kena ada ‘api’. Saya buat untuk orang banyak lagu tetapi untuk saya sendiri, tak banyak mana pun. Buat album baharu kena ada pelbagai elemen.


“Saya sedang kumpul bahan. Mungkin awal tahun depan. Saya harap dapat siapkannya menjelang tahun depan,” katanya yang mendapat sorakan peminat yang hadir dalam forum Magnum Opus 40 Tahun M. Nasir: Kembara ke Solo di sini, semalam.


Majlis anjuran Sahabat M. Nasir itu juga turut mengundang penulis lirik terkenal, Hairul Anuar Harun dan bekas pengarang majalah Rhythm of the Third World, Mohd Nasier Rashid.

Selepas lebih 20 tahun, ini kata M Nasir tentang isu 'Siapa Mahathir?'

petikan Malaysiakini 17 Disember 2017

 Dua patah kata “siapa Mahathir” yang didakwa diucapkan oleh M Nasir pada 1996 telah menyebabkan komposer dan penyanyi terkenal itu digam daripada radio dan televisyen kerana dianggap kurang ajar terhadap perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Lebih 20 tahun kemudian, apabila ditanyakan semula berkenaan kontroversi itu, M Nasir tidak berminat memberikan ulasan.


“Saya tak suka bincang isu ini. Tak mendatangkan hasil,” katanya kepada wartawan selepas program Magnum Opus 40 Tahun M Nasir Kembara ke Solo yang diadakan di Pusat Informasi Pelancongan Malaysia (Matic) di Kuala Lumpur hari ini.

M Nasir sebelum itu diminta mengulas berkenaan pujian Mahathir baru-baru ini kepada golongan artis yang membuat kenyataan yang cenderung dilihat mengkritik kerajaan.

Mahathir yang kini berada di barisan pembangkang sebelum ini memuji tindakan Datuk Sheila Majid yang menulis di Twitter berkenaan ekonomi negara yang tersasar dari landasan sementara rakyat terhimpit dengan beban hutang.


"Anak muda khususnya kena berani ke hadapan. Masa depan terletak di tangan anda. Kalau bukan kita, siapa lagi? Terima kasih Sheila Majid,” kata Mahathir.

Mahathir turut memuji selebriti lain termasuk Fathia Latiff yang mengeluarkan kenyataan yang cenderung dilihat sebagai mengkritik kerajaan.

Kenyataan Ratu Jazz dan pelakon itu bagaimanapun dikecam oleh beberapa ahli politik kerajaan dan antaranya ada yang menyifatkan agar artis tidak masuk campur hal-hal politik.

Beberapa artis lain termasuk penyanyi Adibah Noor dan pengacara Sarimah Ibrahim tampil menyatakan sokongan terhadap Sheila dengan menyifatkan bahawa artis berhak bersuara kerana mereka juga rakyat Malaysia.

Larangan menyiarkan karya

Pada 1996, M Nasir dikatakan tidak dapat hadir latihan sempena Malam Puisi Utusan yang menampilkan Mahathir sebagai tetamu kehormat.

M Nasir yang baru mendapat berita kematian ayah mertuanya dan perlu bergegas pulang ke Singapura telah diasak wartawan yang menanyakan alasan beliau tidak hadir.

Anak seni kelahiran Singapura itu menjelaskan bahawa menghadiri pengebumian ayah mertuanya lebih penting kepadanya berbanding acara itu.

Kenyataan M Nasir yang didakwa mengandungi ungkapan "siapa Mahathir" ketika itu telah digembar-gemburkan media meski syarikat naungan beliau BMG telah menghantar surat penafian kepada Utusan Malaysia.


Pihak M Nasir juga menulis surat kepada Kementerian Penerangan dan Kementerian Dalam Negeri bagi menjelaskan kedudukan sebenar berhubung dengan kontroversi itu.

Namun timbalan menteri penerangan ketika itu Datuk Seri Suleiman Mohamed telah mengeluarkan larangan agar karya M Nasir tidak dikeudarakan atau disiarkan dan akhirnya menyebabkan konsert komposer itu yang dijadualkan di Kedah dan Selangor pada tahun berkenaan dibatalkan.

Larangan yang dikenakan ke atas M Nasir itu sering dirujuk sebagai peristiwa yang menggambarkan tahap kebebasan bersuara artis pada era pentadbiran Mahathir.

M Nasir hadir sebagai tetamu istimewa forum yang dianjurkan Kelab Sahabat M Nasir dengan kerjasama Matic.

Selama lebih 2 jam, forum itu membincangkan karya M Nasir dari album pertama kumpulan Kembara hingga album Solo pertama beliau bertajuk 'Solo'.

Di akhir forum, M Nasir sempat menghiburkan hadirin dengan lapan buah lagu, termasuk Mustika dan Rajawali Terbang Tinggi.

Jumaat, Disember 15, 2017

Apa ada pada M.Nasir?

petikan Astro Awani Disember 15, 2017
Irwan Muhammad Zain, Astro Awani |

KUALA LUMPUR: Setelah 40 tahun seniman legenda Datuk M.Nasir berkecimpung dalam industri muzik, satu sambutan yang dinamakan "Magnum Opus 40 Tahun M.Nasir" akan dianjurkan.

Presiden Sahabat M.Nasir (SMN), Johan Arif memberitahu forum “Kembara Ke Solo” akan menjadi pemula program yang disusun bagi memenuhi kalendar 2018 dan 2019.

Katanya, forum tersebut akan membincangkan tentang kupasan dari segi muzik, lirik, sosio-budaya dan komersialisme terhadap tujuh album bersama Kembara dan album solo pertama pada 1979 dan kedua berjudul, "SOLO" pada 1989.

"Forum Kembara Ke Solo ini adalah siri pertama dari dua lagi forum yang akan diadakan pada 2018 dan 2019.

“Jadi untuk siri kedua nanti akan focus kepada "Saudagar Mimpi" ke "Phoenix Bangkit" dan siri ketiga adalah pasca album "Phoenix Bangkit", termasuk album terbaru beliau akan datang,” katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.

Dua ahli panel terdiri dari Pengasas Tempatan Fest Mohd Nasier Rashid yang juga bekas editor ROTTW dan penulis lirik Hairul Anuar Harun.

Manakala kartunis dan editor majalah Gila-Gila, Ronasina akan bertindak sebagai moderator.

“SMN mahu membawa panelis yang bukan dari kalangan penggiat disekeliling M.Nasir.

“Kita mahukan sisi pandang yang sehabis neutral dan jujur jika boleh,” katanya lagi.

SMN berharap forum ini akan memberikan persepsi bahawa seni dan budaya popular sesebuah bangsa adalah satu entiti penting dalam pembentukan negara bangsa, pemupukan jatidiri dan menyumbang kepada khazanah seni negara.

“Perbincangan secara ilmiah sekaligus mengangkat karya M.Nasir ke satu tempat yang sewajarnya selain mengenengahkan juga beberapa individu penting yang sering dianggap sebagai ‘wira tak didendang’ evolusi muzik Melayu,” katanya.

Forum “Kembara Ke Solo” akan diadakan pada 16 Disember pukul 3 petang bertempat di Mini Auditorium Matic, Jalan Ampang di ibu negara.

Selasa, November 07, 2017

Teras asli Search dalam Katharsis

petikan Utusan Malaysia 7 November 2017
Muhammad Azrul Mohd. Radi

SEGALANYA bermula daripada perasaan untuk memenuhi kehendak peminat-peminat setia Search yang inginkan sebuah naskhah album terbaharu kumpulan rock legenda tempatan dalam ruang simpanan mereka.

Lantas, Amy (vokalis) dan Nasir (bes) membulatkan keputusan untuk bertemu dengan Datuk M. Nasir, individu yang difikirkan mereka paling tepat dan sebati untuk menjadi ‘arkitek’ kepada penerbitan album terbaharu mereka.

“Apa kau orang dah gila ke hendak buat album dengan pasaran sekarang? Ada lagi ke orang nak beli album Search?” soal M. Nasir kepada Amy dan Nasir yang menyuarakan keinginan bekerjasama dengan sifu yang dihormati ramai karyawan seni.

Bukan suatu hal yang mengguris hati Amy dan Nasir dengan apa yang terlontar keluar dari mulut M. Nasir itu.

Kedua-dua tonggak utama Search itu sangat arif dan kenal benar karakter M. Nasir, apatah lagi mereka sudah lebih tiga dekad bekerjasama sejak dari album sulung Search yang berjudul Cinta Buatan Malaysia.

Sebaik sahaja dijelaskan, hasrat yang menggunung itu, M.Nasir mengangguk tanda setuju. Itu sudah cukup melegakan Amy dan Nasir.

Selepas kata putus dicapai, hari demi hari Search ‘berkurung’ di studio menghabiskan masa lebih 700 jam untuk menyiapkan naskhah hebat yang diberi judul Katharsis.

Menurut Amy, mereka datang ke studio pada pertengahan tahun lalu dengan tangan yang kosong.

Melalui pertemuan demi pertemuan, Search dan M. Nasir memerah idea untuk mendapatkan karya-karya yang menepati piawaian dan kedudukan Search sebagai kumpulan rock paling lama bertahan di Malaysia.

“Sebenarnya kita sudah ada 10 buah lagu. Tapi bila dinilai balik, saya minta supaya dua lagu dibuang dan diganti dengan yang lain. Perkara itu tidak menjadi masalah kerana kami memang sudah ada lebih daripada 10 buah lagu ketika itu,” jelas Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman yang menyifatkan album ini sebagai naskhah terbaik yang pernah dihasilkan oleh Search.

Menerusi album ini, M. Nasir menghasilkan lima buah lagu sementara dua buah lagu lain hasil garapan Nasir, sebuah lagu ciptaan Din (gitar) manakala baki dua buah lagu lain ciptaan bersama seluruh anggota kumpulan.

Katharsis dari kaca mata Nasir pula ialah sebuah album yang menyerlahkan jiwa muzik rock semua anggota Search.

“Roh, cita rasa dan arah dalam album ini sama seperti album Fenomena. Semua memberikan jiwa masing-masing. Tetapi kita tidak meninggalkan muzik yang ada sekarang.

“Kalau nak kata album ini sama seperti album Search dahulu, tidak boleh juga. Apa yang kita buat ialah seimbangkan keaslian Search dan ditambah dengan gaya muzik baharu,” jelasnya.

Ketika ini, Search baru sahaja melancarkan single terbaharu mereka berjudul Sidang Kanggaroo sementara menantikan album penuh yang kini berada pada fasa akhir dipasarkan tidak lama lagi.

Lebih sedekad tanpa album

SEBETULNYA kali terakhir Search tampil dengan album ialah 11 tahun lalu iaitu album berjudul Gothik Malam Edan.

Selepas itu, Search sunyi daripada berkarya dan hanya membuat persembahan pentas serta beberapa siri konsert.

Bagi Nasir, ada beberapa faktor yang membuatkan mereka merasa tidak begitu semangat untuk membikin sebuah album di ketika pasaran digital menguasai arena muzik tempatan.

“Adakalanya kita rasa sia-sia hendak mengeluarkan modal yang besar untuk menghasilkan sebuah album yang akhirnya akan dimuat naik menerusi laman sesawang.

“Perkara itu bermain-main di fikiran sehinggalah 11 tahun berlalu. Kami perlu fikir strategi yang betul sebelum tampil dengan album,” jelasnya.

Bertitik tolak pada rasa keinginan untuk melampiaskan gian rock dalam bentuk album, Search mengambil risiko untuk menghasilkan album yang mungkin bakal menjadi yang terakhir bagi mereka.

“Tahun depan, saya sudah berusia 60 tahun. Kalau ikut umur, sudah lama saya patut pencen. Tapi disebabkan masih ada kudrat dan minat untuk menghasilkan album rock bersama rakan-rakan, saya teruskan,” jelas Amy pula.

Di sebalik rasa gian setiap anggota Search itu, ada juga yang mendakwa Katharsis diterbitkan dengan bermotifkan udang di sebalik batu.

Ada yang berpendapat, kontroversi yang melanda Search sebelum ini sehingga disaman oleh penganjur konsert menjadi punca album ini dihasilkan selain kembali menjana pendapatan Search.

Namun, Nasir menegaskan, cakap-cakap segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab itu saling tidak ubah sebagai dakwaan tidak berasas.

“Kita hanya berkarya sahaja untuk peminat. Sebab itu, di sebalik kontroversi yang melanda, kami tetap mahu menghasilkan sesuatu yang baharu buat peminat.

“Masalah memang ada dan kita akan selesaikan satu persatu,” kata Nasir yang menganggap kerjasama dengan M. Nasir sudah membuktikan kesungguhan mereka mahu memberi yang terbaik buat peminat.

Luahan jiwa rock M. Nasir

DALAM masa sama, Datuk M. Nasir sebagai orang penting di sebalik album Katharsis menegaskan, seandainya ada yang mengatakan album ini dibikin untuk menjana semula pendapatan anggota Search, beliau secara peribadi berbangga kerana bersama-sama dengan kumpulan legenda rock negara dalam menyiapkan album ini.

Keterujaan seniman itu itu juga sekali gus membuktikan bahawa album ke-12 Search bukanlah dibuat sekadar siap, sebaliknya, penghasilannya berteraskan jiwa yang sarat dengan kecintaan terhadap muzik.

Sekalipun terpaksa menghabiskan banyak masa di studio hingga lewat pagi, namun tidak sedikitpun beliau mengeluh.

“Buat album ini tidak meletihkan sebab kita suka dan ingin buat. Lagipun, saya memang suka buat lagu bersama Search.

“Dengan Search, saya dapat luahkan jiwa dan idea rock saya dalam diri. Sebab itu saya puas bila album ini hampir siap. Bagi saya, ini adalah album yang terbaik pernah saya hasilkan,” kata M. Nasir berkongsi pendapat.

Bercerita mengenai hala tuju album ini, jelas M. Nasir, beliau memberi penghormatan kepada muzik yang pernah dibuat Search satu ketika dahulu.

“Ada bunyi Search yang lama dan kita gabungkan dengan muzik-muzik yang pernah dipopularkan oleh orang pemuzik lain.

“Saya menganggap, album ini ada pelbagai bunyi yang mampu mengimbau kenangan bersama Search dahulu dan pada masa sama menarik minat pendengar generasi baru,” jelasnya lagi.

Lagu Sidang Kanggaroo yang menjadi single terbaharu Search adalah ciptaan bersama M. Nasir, manakala lirik pula ditulis oleh Ishmael MS.

Khamis, November 02, 2017

700 jam rakam album Katharsis, Search beri terbaik untuk 3 generasi

petikan themalaysianinsight 2 November 2017
Nabihah Hamid


Kumpulan Search bersama M Nasir (dua dari kanan) semasa pelancaran album terbaru mereka, 'Katharsis' di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 2 November, 2017.

KUMPULAN rock terkenal negara, Search mengambil masa 700 jam menyiapkan album terbarunya "Katharsis" bagi memastikan ia memberi hasil terbaik buat para peminat selepas 11 tahun menyepi.

Mengekalkan genre "rock & roll', album terbitan M.Nasir yang turut memuatkan single "Sidang Kangaroo" ini diharapkan mampu memenuhi citarasa tiga generasi.

"Bagi saya masih tidak cukup lagi...1,000 jam. Album ini antara terbaik yang saya boleh hasilkan dengan kebolehan saya ada. Bagaimanapun, terserah kepada anda sekalian," kata M Nasir kepada wartawan pada sidang media di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, hari ini.

Komposer terkenal itu turut menjelaskan lagu satira "Sidang Kangaroo", bermaksud perbicaraan mahkamah tidak adil bagi mencerminkan sensitivitinya mengenai isu global.

"Kehidupan tentang lebih universal bukan khusus sesuatu yang lokal. Kalau ada berlaku sesuatu komuniti bangsa satu negara.

"Banyak yang berlaku begitu (di luar negara).Kita sensitif perkara yang berlaku sekarang dan situasi kita," katanya.

Sementara itu, vokalis Amy Search berharap pembaharuan yang diserap melalui album ke-12 ini akan diterima peminatnya.

"Album ini istimewa dan untuk tiga generasi. Sebenarnya ini adalah perjalanan baru bagi peminat yang mendengar.

"Mungkin peminat lama fikir lagu ini terlalu moden. Kita tak mahu berada di takuk lama. Kita teroka benda baru," kata penyanyi yang lebih tiga dekad bertapak dalam industri hiburan itu.

Di bawah label Pawana Music, album Search bakal memuatkan 10 lagu yang turut bekerjasama dengan S. Amin Shabab, Usop dan Buddhi Hekayat bagi penulisan lirik.

Search dijadualkan muncul pada konsert "Gegaran!" anjuran Dcode Dunia Juara di Tapak Bazarena, Shah Alam pada 2 Disember ini yang turut menampilkan band popular Indonesia dan tempatan seperti Nidji, Bunkface dan Hujan.

Isnin, September 25, 2017

Hasil penantian 10 tahun

petikan Harian Metro 25 September 2017
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Sikapnya yang sering merendah diri membuatkan dia disenangi ramai. Bahkan gaya manja yang menjadi ‘trademark’ tersendirinya menjadi ajukan wakil media setiap kali bertemu di mana-mana majlis.

Tanpa riak marah atau berkecil hati, dia sebaliknya hanya tersenyum. Inilah keistimewaan ratu rock negara, Ella yang sudah bertahan selama 30 tahun dalam industri seni hiburan tanah air.

Sudah lama peminat tidak mendengar lagu terbaru Ella selepas menghasilkan album Rama-Rama pada 2007 yang mendapat sambutan baik daripada peminat.

Siapa sangka 10 tahun berlalu, penyanyi berusia 51 tahun ini tampil dengan album terbaru berjudul Peace. Love. Rindu (P.L.R) terbitan Universal Music Malaysia yang sudah berada di pasaran.

Menariknya, bajet besar diperuntukkan apabila album mengandungi lapan lagu ini menampilkan barisan komposer dan penulis lirik hebat dalam industri muzik tanah air iaitu Datuk M Nasir, Keon, Buddhi Hikayat, AD Samad, Edrie Hashim, Omar K, Faizal Tahir, Ezra Kong, AG Coco, Sam Bunkface dan Lord.

Dengan wajah yang ceria, Ella mengakui amat teruja kerana menganggap album ini istimewa dalam setiap komposisi sama ada persembahan muzik, penciptaan lagu atau lirik.

“Ella rasa penantian selama 10 tahun sangat berbaloi terutama untuk diri Ella kerana pemilihan lagu dibuat sangat teliti dengan proses rakaman memakan masa dua tahun.

“Daripada 158 lagu, ia ditapis beberapa kali sehingga dapat yang betul-betul terbaik. Jadi inilah hasil yang diberikan kepada peminat,” katanya pada sidang media pelancaran album ini Khamis lalu.

Menurut Ella, dia memilih hanya menampilkan lapan lagu dalam album ini kerana menyedari tidak semua lagu dimainkan di stesen radio.

“Kalau saya keluarkan banyak lagu, mungkin benda ini hanya akan merugikan. Jadi biarlah yang selebihnya saya simpan untuk album seterusnya pula.

“Saya kena fokus bagi mempromosikan lapan lagu ini. Ini adalah trend sekarang. Saya tak nak ikut penyanyi lain yang keluarkan single saja kerana ini cara masing-masing,” katanya.

Ella berkata, penghasilan single diibaratkan tidak memberi satu kesan yang berbaloi buat peminat yang merindui untuk menikmati nyanyiannya.

“Ella memilih lagu Ku Sedia ciptaan Omar K dan Ezra Kong sebagai single pertama daripada album ini. Ia dirasakan mampu memikat hati peminat.

“Video muziknya sudah dirakam di Jogjakarta, Indonesia dan kami akan menyiarkannya sebaik proses pembuatannya selesai,” katanya.

Menjelaskan pemilihan Peace. Love. Rindu sebagai judul album, Ella berkata, ia dibuat secara bersama dengan syarikat rakaman dan mempunyai maksud tersendiri.

“Hari ini (21 September) adalah hari keamanan sedunia. Ini sebabnya saya pilih adakan sidang media pada hari ini.

“Peace adalah keamanan, Love adalah cinta Ella pada semua terutama buat peminat yang beri sokongan dari dulu sehingga sekarang termasuk peminat generasi terkini, manakala Rindu membawa maksud Ella rindukan semua serta rindu menghasilkan lagu baru,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai Peace. Love. Rindu, Ella berkata, penghasilan lagu dan liriknya agak berbeza daripada album terdahulunya serta menepati cita rasa semua golongan.

“Album ini mengandungi lagu Comel ciptaan Datuk M Nasir dan lirik AD Samad. Pada saya perkataan tak menunjukkan kita matang atau sebaliknya tapi maksud keseluruhan lagu perlu dihayati.

“Kita kena mendengar dan menghayati lagu ini dan mesej yang disampaikan sangat mendalam,” katanya.

Ella membayangkan akan menjelajah seluruh negara untuk bertemu peminat dan menjayakan satu ‘showcase’ istimewa bagi mempromosikan albumnya.

“Ella percaya penyokong sedia ada akan membeli album ini. Kali ini, Ella pilih konsep agak perlahan kerana saya cintakan fesyen. Jadi, saya boleh bergerak tanpa batasan ketika menyanyi.

“Faktor berhijab juga antara punca saya pilih konsep begini. Sebelum kahwin mungkin saya boleh lasak di atas pentas. Sekarang saya kena pandai seimbangkan semuanya,” katanya.

Meskipun bertaraf legenda, Ella tidak kisah bekerja dengan komposer muda seperti AG Coco dan Sam Bunkface kerana menganggap dalam muzik tiada batasan.

“Muzik tiada had umur kerana ia adalah karya. Kita boleh berkarya dengan sesiapa saja yang sesuai asalkan lagunya menarik.

“Saya menyimpan lagu selebihnya dan akan memuatkan dalam album berikutnya. Syarikat rakaman sudah membayangkan ia tak akan berhenti di sini saja,” katanya.

Ditanya lagu mana yang ditujukan untuk suaminya, Azhar Ghazali, Ella menjawab lagu Peace. Love. Rindu dirasakan agak sesuai.

“Untuknya Ella akan bagi lagu ini kerana mempunyai sejarah tersendiri. Bagaimanapun, saya tak nak bercerita lanjut perkara ini.

“Ia menyentuh banyak benda dalam kehidupan kami. Ia bukan berkenaan bergaduh atau apa. Tiada komen,” kata Ella dengan gaya manjanya.

Sabtu, September 16, 2017

'Tawaran sukar ditolak'

petikan Harian Metro 16 September 2017
riadz@hmetro.com.my


Kali terakhir Datuk M Nasir menerbitkan album Search ialah pada 1995 menerusi album Gema Di Timur Jauh yang juga album studio ketujuh band rock nombor satu negara itu.

Dalam album Search seterusnya seperti Rock N’ Roll Pie, Double Trouble 2, Bikin Wilayah, Selepas Banjir dan Gothik Malam Edan, M Nasir tidak lagi terbabit sepenuhnya.

Bagaimanapun, selepas 22 tahun hati penerbit dan komposer tersohor itu kembali ‘terbuka’ untuk bersama Search apabila dia bersetuju menerbitkan album terbaru mereka yang kini dalam proses rakaman.

“Ia satu tawaran yang menarik dan sukar untuk saya tolak. Kami sudah lama tidak bekerjasama, ‘chemistry’ saya dengan Search sentiasa ada dan kami faham dengan ‘peel’ masing-masing,” katanya.


Album studio ke-14 Search yang menjalani proses rakaman di Studio B’Sync, Seputeh, Kuala Lumpur sejak Ramadan lalu itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh sebulan lagi.

Menurut M Nasir, rakaman muzik sudah pun siap dan kini dalam proses memasukkan vokal.

“Keserasian yang ada membuatkan proses rakaman tidak begitu sukar. Cuma kami perlu ‘korek’ semula mana-mana bahagian untuk mantapkan lagi keserasian itu,” katanya.

Gabungan M Nasir dengan Search sememangnya serasi sejak dulu. Sejak mula-mula bertemu Search di pusat hiburan Hard Rock Cafe, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur pada awal 1980-an lalu, M Nasir sudah dapat melihat potensi yang ada pada Search untuk mereka pergi lebih jauh.

‘Chemistry’ yang wujud itu berjaya menghasilkan melodi, rhythm dan riff yang hebat serta ‘evergreen’ hingga hari ini.

Sejak album pertama Cinta Buatan Malaysia pada 1985, M Nasir dan Search mempunyai cara tersendiri dalam proses penciptaan lagu.

M Nasir tidak pernah memberi lagu ‘bulat-bulat’ kepada Search, sebaliknya mereka bersama-sama menyiapkannya di dalam studio.

“Biasanya saya akan menghasilkan melodi dan Search akan tampil dengan ‘rhythm’ dan ‘lines’ gitar. Dari situlah akhirnya sesebuah lagu itu akan terhasil. Dalam proses itu masing-masing akan memberi idea,” katanya.

Album yang diterbit dan diedar di bawah syarikat rakaman Fenomena Music itu dijangka berada di pasaran bermula penghujung bulan depan.

Menurut M Nasir, lima daripada 10 lagu yang dimuatkan dalam album itu adalah hasil ciptaannya manakala selebihnya ciptaan anggota Search iaitu Amy, Nasir, Din dan Kid.

Selain itu, S Amin Shahab dan Budi Hekayat antara penulis lirik yang terbabit dalam penghasilan album ini.

Ditanya mengenai adakah album ini bakal meletup sebagaimana album terawal Search sebelum ini, M Nasir berkata, dia tidak mengharapkan ia mencetus fenomena tetapi yakin ia mampu diterima ramai.

“Saya faham dengan pasaran album fizikal sekarang, tetapi album ini penting buat Search. Kali terakhir mereka menghasilkan album kira-kira 11 tahun lalu. Saya yakin album ini pasti dinanti-nantikan peminat setia Search,” katanya.

Selasa, September 12, 2017

Kerjasama murid, guru gegar pentas

petikan Harian Metro 12 September 2017
Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my

AWIE melakukan gitar solo dan M Nasir menyanyikan lagu Midnight Blues.

Kelainan dan keunikan adalah antara faktor penting dalam penganjuran sesebuah konsert berskala besar.

Pemilihan lagu, susunan muzik, gimik pentas, sistem bunyi, pencahayaan dan artis jemputan antara penyumbang utama kepada dua faktor itu.

Inilah yang terdapat dalam Konsert Wings menampilkan Datuk M Nasir di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, Melaka, Sabtu lalu.

Konsert anjuran Getthis.com sempena Fiesta Getthis di lokasi yang sama ini dihadiri lebih 2,000 peminat setia Wings yang nyata puas dengan persembahan band rock popular itu.

Penampilan istimewa M Nasir adalah tarikan utama konsert berkenaan. Individu yang bertanggungjawab dalam banyak penerbitan album dan penciptaan lagu popular Wings itu tampil dengan empat lagu iaitu Rantai, Midnight Blues dan dua lagu popularnya sejak 1980-an iaitu Hati Emas serta Gerhana.

Secara peribadi, penulis berasakan persembahan Wings bersama M Nasir dalam lagu Midnight Blues adalah yang paling menarik dalam konsert berkenaan.

M Nasir menyanyikan lagu ini dalam versinya sendiri, manakala penyanyi Wings, Datuk Awie tampil bermain gitar. Apa yang menarik, Awie turut melakukan solo gitar dengan ‘sound’ blues yang jarang dilakukannya sebelum ini.

Untuk rekod, lagu ciptaan dan lirik oleh M Nasir yang dimuatkan dalam album ketiga Wings, Teori Domino itu pernah mencetus kontroversi pada 1990 lalu kerana didakwa ‘menghina’ golongan tertentu.

Sebelum ini M Nasir pernah tampil selaku penyanyi undangan dalam Konsert Wings & Superfriends dan Konsert 30 Tahun Wings, tetapi ia membabitkan ramai artis lain. Namun, kali ini gabungan yang boleh disifatkan sebagai anak murid dengan guru ini pertama kali dilakukan secara eksklusif di antara artis dua generasi ini.

‘Chemistry’ di antara Wings dengan M Nasir sudah wujud sejak penerbitan album sulung mereka, Belenggu Irama pada 1987. M Nasir sudah dapat melihat potensi Wings sebaik diperkenalkan oleh Bob Lokman yang juga pengurus Wings ketika itu.

Gabungan idea dari segi penciptaan lagu, gubahan dan susunan muzik berjaya menghasilkan lagu popular dan ‘evergreen’ Wings seperti Intan Ku Kesepian, Sejati, Harapan, Opera Hidup, Hikayat Penuh Ranjau, Di Ambang Wati, Jerangkung Dalam Almari dan Dalam Kehadiran Sofiah.

Dalam konsert yang bermula tepat jam 9.30 malam itu, Wings memainkan 13 lagu iaitu Inspirasi Taming Sari, Jerangkung Dalam Almari, Hukum Karma, Komplikasi Pramaya, Penanti, Opera Hidup, Bujang Senang, Rantai, Midnight Blues, Ingatkan Dia, Lipas Kudung, Sejati dan Peronda Jaket Biru.

Apa yang pasti, tanpa Joe yang diibaratkan sudah berpatah arang berkerat rotan dengan Wings tidak menjejaskan persembahan band rock legenda itu.

Walaupun dilihat seperti ada ‘kekosongan’, tetapi ia diisi dengan baik oleh Edrie Hashim dan Syam yang juga bekas pemain gitar Wings.

Selain Eddie dan Black di posisi tetap mereka selaku pemain bass dan dram, Wings turut menggunakan khidmat pemain keyboard Headwind iaitu Kudin.

Jumaat, September 08, 2017

Wings, M. Nasir misi gegar MITC

petikan Kosmo! 8 September 2017
Oleh NURUL FADILA AWALUDIN
Foto AZLAN HADI ABU BAKAR

Kumpulan Wings bersama M. Nasir semasa sesi latihan menjelang konsert mereka di MITC yang akan berlangsung pada malam esok.

LEBIH tiga dasawarsa bernafas dalam industri hiburan tanah air, kumpulan Wings nyata tidak pernah menghampakan peminat terutama sewaktu membuat persembahan berskala besar.

Sentiasa berusaha menampilkan kelainan dalam setiap persembahan, terkini, kumpulan tersebut memilih untuk berpadu dengan Datuk M.Nasir bagi menjayakan Konsert Wings sempena Fiesta Getthis.

Berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka malam esok, konsert tersebut julung kalinya menyaksikan kumpulan Wings bertindak sebagai pemuzik mengiringi persembahan M. Nasir.

“Kami sememangnya kerap membuat persembahan bersama tetapi ini merupakan kali pertama apabila hanya kumpulan Wings sahaja mengiringi persembahan M. Nasir.

“Selalunya, persembahan beliau turut melibatkan beberapa pemuzik lain tetapi kali ini saya memutuskan untuk memberikan kelainan kepada penonton,” terang Datuk Awie yang ditemui di studio latihan A’Via Musicom di Pandan Indah, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada masa sama, pelakon filem Sembilu itu turut berkongsi pengalaman bekerjasama buat pertama kali bersama M. Nasir yang merupakan penerbit album pertama kumpulan Wings berjudul Belenggu Irama.

Katanya, pengalaman mempelajari teknik vokal bersama individu yang dianggap sebagai idola mahupun sifu sekitar tahun 1987 itu merupakan titik tolak buatnya sebelum menempatkan diri dalam industri hiburan tanah air.

Pelantun lagu Sejati itu turut meluahkan rasa bimbang sekiranya berlaku kesilapan terutama melibatkan masalah teknikal sepanjang konsert tersebut berlangsung.

“Konsert ini amat istimewa buat saya dan kumpulan Wings apatah lagi ini merupakan persembahan eksklusif kami bergandingan dengan M. Nasir.

“Saya memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap persembahan ini sehinggakan tidak mengambil sebarang tawaran sepanjang tempoh dua minggu latihan diadakan.

“Latihan vokal dan penjagaan kesihatan adalah perkara utama yang dititikberatkan. Saya menaruh harapan tinggi agar peminat akan berasa terhibur dengan persembahan kami nanti,” ujar Awie selain memperincikan tentang durasi acara yang dijadualkan berlangsung selama dua jam, Sabtu ini bermula pada pukul 9 malam tersebut.

Bakal mempersembahkan 16 buah lagu termasuk persembahan solo M. Nasir dan duet bersama Wings, Awie memberitahu dia tidak pernah campur tangan dalam soal pemilihan lagu dalam konsert berkenaan. Sebaliknya, perkara tersebut ditentukan sendiri oleh anggota lain iaitu Black (pemain drum) dan Eddie (pemain gitar) sendiri.

Baginya, perkara tersebut memberi lebih kepuasan dan keselesaan bersama selain menyesuaikan persembahan dengan susunan muzik yang telah dirancang.

Konsep berkenaan juga diterima baik oleh M. Nasir. Pelakon filem Puteri Gunung Ledang itu nyata tidak mempunyai masalah membiarkan anggota kumpulan Wings untuk menentukan lagu yang bakal dipersembahkan.

“Saya tidak mengambil masa lama untuk menerima tawaran itu dan berasa bersyukur apabila melihat mereka berjaya mencapai impian dan cita-cita dalam industri.

“Mereka yang akan mengiringi persembahan kelak dan saya tidak mempunyai masalah dalam soal pemilihan lagu. Bagaimanapun, diharapkan saya berjaya membuat persembahan mengikut gaya Wings,” jelas M. Nasir sambil berseloroh.

Tidak hanya konsert istimewa daripada Wings dan M. Nasir, Fiesta Getthis yang bermula pada 8 hingga 10 September itu turut dimeriahkan dengan aktiviti forum, pameran dan jualan kenderaan automotif, 60 trak makanan dan gerai jualan oleh selebriti tempatan seperti Fauziah Ahmad Daud, Mawi, Anis Al-Idrus, Nubhan, Encik Mimpi dan Zul Yahya.

Khamis, September 07, 2017

Awie kena 'melalak' kat dinding!

petikan Harian Metro 7 September 2017
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Awie menjalani latihan vokal bersama M Nasir. FOTO SALHANI IBRAHIM


"DIA suruh saya melalak dekat dinding," kata penyanyi Wings, Datuk Awie menceritakan pengalamannya mempelajari vokal bersama penerbit dan komposer tersohor, Datuk M Nasir, kira-kira 30 tahun lalu.

Awie berkata, ketika itu Wings baru bergelar artis rakaman dan bakal merakamkan album sulung yang diterbitkan M Nasir.

"Saya naik bas dari Taman Melawati, Hulu Klang ke Puduraya dan dari Puduraya kemudian ambil bas lain ke Sungai Buloh untuk ke rumahnya.

Sebaik tiba di rumahnya kira-kira jam 9 pagi, beliau suruh saya melalak dekat dinding. Saya pun pergilah melalak dekat dinding," katanya.

Awie berkata, bermula dari situlah, proses pembelajaran bermula dengan cara sendiri dan akhirnya proses rakaman album Wings bermula.

"Album pertama (Belenggu Irama) agak sukar juga untuk saya. M Nasir kata kalau kami dapat jual 10,000 unit kaset pun cukuplah. Tapi sebenarnya ia satu cabaran buat kami dan alhamdulillah album itu berjaya dijual sebanyak 180,000 unit.

"Selepas itu baru saya tahu susahnya jadi seorang penyanyi dan saya terus ambil kelas nyanyian dengan pensyarah muzik dan vokal, Siti Chairani Proehoeman pada 1988. Alhamdulillah selepas itu saya buat album demi album bersama Wings dengan baik terbitan M Nasir," katanya.

Pengalaman menarik ini dikongsi Awie ketika ditemui pada sesi latihan Wings dan M Nasir di A'Via Musicom Studio, Pandan Indah, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ia sempena konsert istimewa mereka dalam Fiesta Getthiss di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, Melaka, jam 8.45 malam, Sabtu ini.

Pastinya gandingan anak murid dan sifu ini menghasilkan satu kelainan dan menerbitkan perasaan teruja dalam kalangan penonton untuk hadir menyaksikannya.

Awie dan M Nasir sendiri turut teruja untuk kembali beraksi di atas satu pentas selepas melakukannya pada Konsert Wings & Superfriends di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada April lalu.

"Ia boleh dikatakan kali pertama Wings bekerjasama dengan M Nasir yang kami anggap sifu. Kalau ada pun sebelum ini ia membabitkan ramai artis di atas pentas. Tapi kali ini eksklusif Wings dan M Nasir sahaja.

"Ia istimewa bagi kami kerana tak pernah merasa. Pada 1987, beliau menerbitkan album Wings dan kali ini M Nasir sama-sama berkongsi pentas dengan Wings dan Wings turut bertindak sebagai pemuzik pengiring beliau," kata Awie.

Sementara itu, M Nasir menjanjikan satu persembahan yang mantap bersama Wings dan dapat menyanyikan lebih lagu solo berbanding ketika dalam Konsert Wings & Superfriends.

"Sangat menyeronokkan buat saya dan tentunya peminat. Saya akan menyanyi solo dan berduet dengan Awie dalam beberapa lagu," katanya.