Ahad, Jun 24, 2001

Kenapa album M. Nasir dapat taraf lima bintang?

petikan Utusan Malaysia 24 Jun 2001

Hmm kalau minggu lepas Huzz rekemenkan pembaca membeli dan mendengar album Tan Sri Datuk S. M. Salim yang diberi judul Perjalanan Seni S. M. Salim (kerana album itu ada class dan boleh dikatakan album gred A dengan persembahan vokal dan muzik), minggu ini album yang ingin Huzz rekemenkan ialah album penyanyi dan komposer terkenal Malaysia - M. Nasir.

Album terbaru M. Nasir (dengan 10 lagu baru kesemuanya ciptaan beliau sendiri) diberi judul Phoenix Bangkit. Huzz labelkan album ini sebagai album lima bintang dan dalam senarai gred A. Rugi kalau kita tak dengar atau beli.

Sebabnya ialah persembahan lagu dan muzik album terbaru M. Nasir sangat memuaskan hati. Dia syok sendiri bikin album. Muziknya, liriknya, nyanyiannya diteliti supaya pendengar berpuas hati.

Sebelum ini melalui ruangan ini (ketika albumnya belum diterbitkan) Huzz ada bertanya, ``Sedapkah lagu terbaru M. Nasir tu?'' Huzz juga bertanya apa hal syarikat Warner Music lambatkan pelancaran album itu di pasaran... maklumlah peminat rindu benar untuk membeli album baru komposer ini. Maklumlah dua tahun dia menyepi.

Akhirnya pihak Warner menyedari peminat M. Nasir memang menunggu-nunggu album itu. Buktinya dalam masa enam hari di pasaran (minggu lalu) sebanyak 15,000 unit laku!

Macam pisang goreng panas beb... gua cakap lu!

Berbeza dengan album Nasir sebelum ini, album terbaru ni tak ambil masa untuk buat pendengar jatuh hati dengan lagu-lagunya. Sekali dengar dah suka dah.

Pendengar kenalah mengamati lirik-lirik dalam album ini yang kaya dengan bahasa... terlukis seribu cerita. Muziknya Huzz gelarkan irama salam bersalam... sebab kedengaran ada ala-ala arab, Sepanyol, malah sesekali kedengaran alunan muzik ala hindustan pun ada.

Kata M. Nasir beliau memilih irama Timur Tengah. Mengikut sejarah muzik, irama ini telah menakluk dunia ketika empayar Eropah malap. Ketika empayar Islam berkembang muziknya ikut ke arah mana ia pergi. Hingga kemudian dibawa oleh orang Sepanyol ke merata dunia ketika mereka melebarkan kuasa negara itu.

Hinggalah bila Portugis menjejakkan kaki ke Melaka, muzik joget diperkenalkan.

``Joget itu sebenarnya muzik yang berasal dari Timur Tengah,'' kata M. Nasir.

Lagu Phoenix Bangkit Dari Abu pula dipetik daripada kisah mitos Timur Tengah dan China yang menceritakan kebangkitan burung Phoenix setelah menjadi abu.

Kata Nasir: ``Ia menceritakan kisah semangat. Kita pernah dikenali kerana kegemilangan Melaka, kita kemudian kalah. Kini kita disebut-sebut pula sebagai Malaysia yang disegani dan dihormati.''

Kepada semua peminat Nasir, Huzz juga nak beritahu ada berita baik... anda mungkin di antara orang yang bertuah terpilih ke konsert mini M. Nasir sempena pelancaran album ini pada hujung Julai depan. Apa pun, dapatkan albumnya dulu.

Sementara itu Isnin lalu ketika Huzz berborak dengan M. Nasir, Huz tak lupa tanya pendapatnya tentang usaha penyanyi kita yang suka merakamkan lagu lama atas arahan syarikat rakaman kononnya untuk tribute buat pencipta dan penyanyi lama.

Bagaimana jika pada masa akan datang ada usaha orang baru nak nyanyikan semula lagu-lagu Nasir dalam irama R&B atau yang lain?

Kata Nasir: ``Setiap penyanyi atau pengubah lagu di merata negara termasuklah Malaysia tidak bersalah kalau mahu merakamkan lagu lama atau yang telah dipopularkan orang lain.

``Tapi apabila rakaman atau gubahan semula oleh penyanyi baru itu dibuat janganlah ia sampai menghilangkan perasaan dan jiwa lagu asal. Yang mana jika ini berlaku peminat boleh nilaikan lagu penyanyi dan pencipta asal sudah rosak. Menggubah semula lagu orang lain untuk irama baru bukan kerja mudah apalagi lagu melayu yang kaya lenggok dan `hidup' dengan `perasaannya'.

``Begitu juga orang putih. Mereka rakam semula lagu lama dengan persembahan baru tanpa menghilangkan originality lagu asal. Tidak mencacatkan lagu lama.

``Oleh itu kenalah kita berhati-hati kalau mahu merakamkan semula lagu lama. Apa yang saya lihat usaha Sheila Majid merakamkan lagu P. Ramlee diterima, begitulah dengan penyanyi lain sebelum ini. Jadi kalau ada yang dah cuba nak gubah dan bawa lagu lama dalam persembahan baru, mereka perlu teliti dan berhati-hati. Peminat berhak menilai sendiri sejauh mana hasilnya.''

Sebelum ini Hetty Koes Endang pernah merakamkan lagu ciptaan Nasir - Fantasia Di Bulan Madu dalam irama keroncong. Bagaimanapun ia tidak mencacatkan lagu itu.

HUZZ: Terkejut bila syarikat rakaman tak boleh terima kritikan dan pendapat membina oleh wartawan dengan menuduh wartawan suka menghentam.

Tiada ulasan: