Isnin, November 05, 2001

30 lagu ke separuh akhir

petikan Utusan Malaysia 5 November 2001

Oleh: ROSLI MANAH
Sebanyak 30 buah lagu yang layak ke pertandingan separuh akhir Muzik Muzik 2001 melibatkan nama-nama besar komposer dan penyanyi tanah air.

Antara nama besar yang bakal berentap di peringkat separuh akhir Muzik Muzik yang akan diadakan pada 5, 6 dan 7 November ini ialah M.Nasir, Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Noraniza Idris, Nora, Liza Hanim, Saleem, Erra Fazira, Amy Mastura dan banyak lagi.

Komposer muda Ajai mempertaruhkan tujuh buah lagu ciptaannya termasuk dua buah lagu nyanyian duetnya bersama isteri, Nurul.

Lagu-lagu ciptaan Ajai ialah Seandainya Masih Ada Cinta (Dayang Nurfaizah), Air Mata Kasih (Saleem), Satukan Kita Berdua (Ajai/Nurul), Keranamu Kekasih (Illa Sabry) dan Percayalah (Siti Nurhaliza) untuk kategori Balada.

Dua buah lagi lagu ciptaannya akan berentap untuk kategori pop rock iaitu Maafkan Aku (Ajai/Nurul) dan Bahagia yang akan dipersembahkan oleh penyanyi bersuara mantap Dayang Nurfaizah.

M. Nasir pula mempertaruhkan dua buah lagu ciptaannya iaitu Raikan Cinta nyanyiannya sendiri untuk kategori etnik kreatif dan Situasi oleh Khadijah Ibrahim.

Sebagaimana beberapa tahun kebelakangan ini Siti Nurhaliza masih mengekalkan penguasaan dalam semua kategori yang dipertandingkan.

Selain dua buah lagu ciptaan Ajai, Siti Nurhaliza turut melayakkan diri melalui lagu ciptaan Helen Yap berjudul Engkau Bagaikan Permata dan Lakaran Hidup ciptaan Mat SW bagi kategori pop rock.

Dia juga akan menyanyikan lagu Ya Maulai ciptaan Suhaimi Mohd Zain dalam kategori etnik kreatif.

Nora juga turut bertanding untuk kesemua kategori. Lagu-lagunya ialah Materialistik ciptaan Helen Yap (pop rock), Menyemai Cinta Bersamamu (balada) ciptaan Azlan Abu Hassan dan Desa Tercinta ciptaan Johan Nawawi untuk kategori etnik kreatif.

Suhaimi Mohd Zain pula turut mempertaruhkan lagu Manira dendangan Noraniza Idris, Bahaduri nyanyian pendatang baru Syazliana.

Selain Syazliana dua lagi penyanyi baru yang layak ke peringkat separuh akhir itu Illa Sabry dan Syura yang mempertaruhkan lagu Kasih Tidak Terjamah ciptaan Patrick Khamis.

Syura juga akan mempersembahkan lagu Bakawali ciptaan Yusri bagi kategori etnik kreatif.

Lain lain lagu yang akan bertanding dalam kategori pop rock yang akan disiarkan secara langsung pada pukul 4 petang 5 November ialah 1 Hari Lagi (&Rian's Band), Kata Hati (Liza Hanim), Marilah Maria (Def-Gab-C) dan Hadirlah (Anis Suraya).

Kategori balada turut mempertandingkan lagu Andainya Aku Bersuara (Liza Hanim) Siapalah Aku (Amy Mastura) dan Soal Hati (Erra Fazira).

Lagu yang akan berentap dalam kategori etnik kreatif ialah Mimpi Laila (Yassin), Zapin Seri Pekan (Fadilah Sarip), Bas Cinta (Iwan) dan Keroncong Kasih Abadi (Nassier Wahab).

Selain disiarkan secara langsung di TV3 pertandingan peringkat separuh akhir itu akan dapat diikuti menerusi laman web www. muzikmuziktv3.time.net.my.

Tiada ulasan: