Sabtu, Februari 23, 2002

AIM 2002 mengukur nasib industri muzik

petikan Utusan Malaysia 23 Februari 2002

Anugerah Industri Muzik 2002 (AIM 2002) yang akan berlangsung pada 20 April dijadikan medan mengukur nasib industri muzik tempatan dan sekaligus memberitahu peminat betapa teruknya keadaan industri itu pada masa ini.

Mesej tersebut akan disampaikan melalui skrip dan ucapan penyanyi yang terbabit sepanjang malam anugerah selama tiga jam itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola AIM 2002, Darren Choy berkata, mereka harus menyampaikan mesej tersebut dengan berkesan kerana sektor perniagaan muzik sekarang semakin meruncing dengan masalah cetak rompak.

``Kami mahu peminat seseorang artis tidak hanya memuja dan meminati lagu mereka, sebaliknya menolong dengan membeli album asli,'' kata Darren lagi.

Sekiranya masalah jualan album yang semakin merudum berterusan, mereka mungkin tidak akan dapat menikmati lagu-lagu terbaru penyanyi yang diminati.

Darren menyatakan demikian pada sidang akhbar mengumumkan penyampai anugerah dan penyanyi yang akan mengadakan persembahan pada malam kemuncak tersebut, di ibu kota, baru-baru ini.

Penyanyi yang bakal menghiburkan di AIM 2002 yang akan disiarkan secara langsung di ntv7 itu ialah Dayang Nurfaizah, Liza Hanim, Ella, M.Nasir, Ning Baizura, Fairuz Hussein, Syafinaz, Tan Sri S.M. Salim, Yassin, Ziana Zain, kumpulan Butterfingers, Exists, Innuendo dan Padi.

AIM tetap diadakan dengan suasana penuh meriah dan glamor untuk menunjukkan itulah khazanah seni yang ada di negara ini.

``Khazanah dan glamor itu akan hilang sekiranya tiada lagi album baru dihasilkan,'' kata Darren.

Katanya lagi, dalam menampilkan khazanah tersebut, mereka akan cuba mendidik peminat untuk memahami masalah yang sedang dilalui sekarang.

Mereka juga harus meneruskan acara tersebut kerana pendapatan daripada penajaan boleh disalurkan kepada usaha membanteras cetak rompak.

``Kita salurkan RM1.8 juta setahun kepada tabung anti cetak rompak dan acara ini salah satu sumbernya,'' kata Darren lagi.

Dalam perkembangan lain ditanya mengenai kemungkinan penyanyi yang bakal memenangi anugerah yang diundang mengadakan persembahan, penerbitnya, Jennifer Thompson menafikannya.

``Kami membuat pemilihan penyanyi sebelum senarai pencalonan akhir diumumkan,'' tegas Jennifer.

Sekiranya ada penyanyi yang membuat persembahan memenangi mana-mana kategori yang dipertandingkan, ia adalah secara kebetulan saja.

Mengenai rungutan keputusan yang kadang-kadang mengejutkan, kata Jennifer, AIM adalah satu anugerah teknikal bukannya anugerah populariti.

``Kita melantik juruaudit bertauliah yang beroperasi di peringkat antarabangsa dan tidak mungkin akan terlibat penipuan dalam membuat keputusan kerana ini menjejaskan reputasi mereka,'' jelas Jennifer lagi.

Tiada ulasan: