Jumaat, Mac 22, 2002

Selebriti: Industri Muzik Hanya Mimpi

petikan Emedia 22 Mac 2002

“PUNCA tak boleh hidupnya artis yang bergantung kepada penjualan album ialah pasaran yang sepatutnya besar, dikecilkan perlanunan cetak. Tetapi kita lihat masih banyak yang mahu mencuba dalam industri mimpi ini.

“Kenapa saya kata mimpi, kerana hanya mimpi saja yang menghidupkan industri ini bukan realiti kerana realitinya adalah kesakitan,” kata M Nasir.

Itu adalah sebahagian isi ucapan komposer terkenal itu dalam pertemuan Gerakan Memelihara Khazanah Muzik Malaysia (GMKMM) minggu lalu. Sebagai ahli jawatankuasa pertubuhan sukarela itu, Nasir melahirkan kekecewaannya terhadap cetak rompak yang belum menampakkan tanda penghujungnya.

Ucapannya penuh sinis. Katanya, dia tak pasti bagaimana masih boleh bertahan di arena muzik biarpun cetak rompak terus berleluasa.

“Apakah mungkin saya membabitkan diri dalam semua bidang muzik seperti menerbit, mencipta lagu, lirik, menggubah dan menyanyi. Maka dikumpul semua pendapatan itu selama 20 tahun, saya dapat bertahan? Mungkin!

“Namun jika saya hanya menyanyi, tak mungkin saya akan masih berada di sini lagi dengan album yang saya buat empat tahun sekali. Ini kerana, kalau sesebuah album itu larispun, ia akan laris paling banyak dua kali.

“Selebihnya adalah perjuangan turun naik bukit yang akan turun perlahan-lahan dan ada yang tergolek luka. Begitulah, kecuali beberapa pengecualian yang sedikit,” katanya dengan nada kecewa.

Menurut pemilik lagu Phoenix Bangkit ini, jika sesebuah album berjaya mencecah 300,000 hingga 500,000 dan lebih dengan mencapai dua kali adalah memadai untuk menjadikan nyanyian sebagai mata pencarian.

Bagaimanapun katanya, hakikatnya tidak begitu kerana hanya berapa kerat artis saja yang bernasib baik termasuklah kerana sentimen agama seperti lagu-lagu nasyid.

“Artis dengan emosi yang sering lari daripada tumpuan dan dipandang remeh. Apapun jua sifat dan sikap artis ini, itu adalah hak mereka kerana cetak rompak adalah masalah mereka dan mereka boleh cakap dengan gaya mereka sendiri.

“Kawan saya, Herman Tino berkata, artis itu pengantin yang tugasnya bersanding dan selalu kelihatan berseri. Tetapi kini tidak kerana pengantin ini juga yang harus mengambil tahu sama ada nasi dan lauk cukup atau tidak, kumpulan kompang dah datang ke belum, penanggah jalankan tugas dengan betul atau tidak dan sebagainya.

“Sepatutnya ini kerja bapa pengantin atau wakilnya yang melancarkan majlis. Dan seniman sambungnya lagi, harus disumbat ke dalam jel. Pandai-pandailah anda memahami maksudnya,” jelas Nasir.

Nasir menganggap mereka yang makan gaji dari budak pejabat hinggalah guru, polis dan menteri, yang katanya, mereka tak ambil peduli dengan masalah cetak rompak dan artis kerana kerja mereka sudah dibayar.

“Mereka tidak mahu merumitkan hidup dengan mengambil iltizam dalam perjuangan ini kerana mereka tahu, mereka akan mengalami kekecewaan dan putus asa. Tak apa, biarlah pengantin ini juga yang membuatnya.

“Tetapi jika mereka berasa simpati terhadap perjuangan kami, itu sudah memadai. Kenapa perlu mereka kisah, mereka sudah bergaji. Cukup bulan dapat gaji. Kecualilah apabila gaji dipotong, mulalah merungut dan berpiket atau mengambil tindakan undang-undang.

“Apa yang mereka nak peduli, tak ada muzik pun tak memberi kesan apa-apa. Mereka tetap mempunyai EPF dan segala kelebihan dari undang-undang tenaga buruh,” katanya.

Nasir memberi contoh kalau duit gaji seseorang itu dirompak dan tentunya mangsa itu berasa sedih. Biarpun kes itu dilaporkan perkara itu kepada polis dan polis dapat mengesannya, tetapi duit tadi tak dapat dikembalikan.

“Hakikatnya ini tak berlaku pada orang bergaji sebaliknya terjadi pada semua penyanyi dan mereka yang terbabit dalam industri ini dan tiada siapa, polis ke, menteri ke yang benar-benar membela kami kerana sebahagian orang penting yang bertanggungjawab tidak menjalankan tugas dengan baik.

“Senang cakap, tak boleh buat kerjalah! Atau menyalahgunakan kuasa, senang cakap korupsi. Siapa yang nak bela kami kecuali kami membuat keputusan berundur diri dari arena ini maka habislah masalah.

“ Apa guna slogan Malaysia Boleh? Dengan apa carapun, tidak akan dapat menyelesaikan masalah cetak rompak melainkan dengan kerajaan yang mempunyai kemahuan politik. Tidak ada cara lain, walau air mata darahpun dititiskan, kalau industri ini bukan keutamaannya, kita boleh lupakan iltizam mereka,” katanya.

Nasir berkata, dia mempunyai cita-cita dengan menubuhkan Luncai Emas. Namun selepas menghasilkan banyak lagu selama ini, ianya hanyalah untuk survive. Katanya, dia mahu bangunkan industri ini dengan cara kita, cara orang kita dengan identiti kita.

Bagimanapun katanya, hari ini belum ada syarikat Bumiputera yang benar-benar boleh dikatakan berjaya.

“Saya cakap kerana beberapa syarikat saja yang masih hidup dan jika keadaan ini berterusan, semuanya akan mati. Kita amat bergantung kepada penjualan dan royalti album. 10 orang yang bekerja di tempat saya akan hilang pekerjaan.

“Kita nak jaga muzik dan memelihara muzik kita tetapi tanpa industri yang mendukung, kerja memelihara tak akan berjaya.

“Lebih 20 tahun hayat kerja saya, keringat, pemikiran, masa, segalanya saya dedikasikan untuk menghidupkan gangster dan ahli-ahli rasuah ini. Mana Search, Lefthanded, Wings yang satu ketika dulu menjadi raja-raja di persada muzik ini?

“Mana Sweet Charity, Blues Gang, Kembara, A Ramli, Ahmad Jais dan artis 70-an? Hari ini, jika tidak mereka mati kemiskinan, mereka terumbang-ambing atau sudah beralih ke bidang lain.

“Apa mereka fikirkan kita ini sedang bercanda di tepian pantai,” tanya Nasir dalam nada yang cukup sinis.

Tiada ulasan: