Isnin, Ogos 05, 2002

M. Nasir adakan konsert merdeka di hotel

petikan Utusan Malaysia 5 Ogos 2002

SEMPENA sambutan hari kemerdekaan negara ke-45, penyanyi M. Nasir akan mengadakan konsert istimewa pada 31 Ogos ini di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya.

Persembahan yang dinamakan Konsert Mini M. Nasir Phoenix Bangkit Di Malam Kemerdekaan 2002 itu adalah anjuran Hotel Singgahsana dengan kerjasama KUBTRUS dan pengeluar makanan segera A&W.

Walaupun ia bukan bersifat konsert promosi, M. Nasir tetap menamakannya Konsert Phoenix Bangkit kerana beliau belum lagi mengadakan konsep tersebut di Kuala Lumpur sejak album itu dipasarkan setahun lalu.

Tiket berharga RM60 yang disertakan makan malam untuk menyaksikan konsert itu kini sudah mula dijual di lobi Hotel Singgahsana. Untuk keterangan lanjut boleh menelefon 03-79562100.

Sebanyak 1,000 tempat sahaja disediakan memandangkan dewan hotel itu tidak mampu untuk menampung penonton yang lebih banyak.

M. Nasir berjanji akan memberikan persembahan terbaik kerana telah lama tidak mengadakan konsert solo.

Beliau akan memilih lagu-lagu petikan daripada album Phoenix Bangkit serta lagu-lagu evergreen nyanyiannya ketika bersama kumpulan Kembara dahulu.

``Sebagaimana lazim saya akan menyanyikan lagu-lagu nostalgia saya di dalam konsert kerana itulah yang diingini oleh penonton,'' katanya pada sidang akhbar konsert itu di Hotel Singgahsana pada minggu lalu.

Menyentuh perkembangan terbarunya, M. Nasir berkata, beliau sedang menyiapkan sebuah lagu baru sebagai `single' utama untuk pasaran album di Indonesia.

``Saya sedang menyiapkan lagu itu sebagai pengenalan diri saya di negara jiran,'' katanya.

Beliau juga mula terfikir untuk memulakan produksi album terbarunya memandangkan album Phoenix Bangkit telah setahun dipasarkan.

M. Nasir juga mungkin tidak menghasilkan konsep muzik sebagaimana album Phoenix Bangkit apabila menyedari pembaharuan yang cuba dibawakannya tidak menarik semua pihak.

``Mungkin saya akan hasilkan muzik yang lebih senang,'' tambahnya.

Beliau sendiri mempunyai idea menghasilkan muzik yang ada kelainan namun tidak pasti apakah pemikirannya itu bakal diterima?

Album Phoenix Bangkit hanya terjual sekitar 30,000 unit sahaja dan ternyata satu jumlah yang dianggap rendah bagi album penyanyi bernama besar sepertinya.

``Industri muzik lambat menerima kesan kemerosotan pasaran daripada kegawatan ekonomi empat tahun lalu,'' katanya.

Menurutnya, baru sekarang kesan tersebut mula dirasai oleh penggiat muzik apabila kemerosotan jualan album kembali kepada tahap penjualan tahun 80-an.

Tiada ulasan: