Selasa, Mei 20, 2003

Saya sakit, karya dicuri

petikan Harian Metro 20 Mei 2003
Oleh Abie Abdullah
abie@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Saya sakit, siapa yang tak sakit kalau karya kita digunakan tanpa kebenaran. Sebagai wakil Luncai Emas Sdn Bhd, karya saya kedua paling banyak menjadi mangsa. Saya memang kecewa,” kata komposer terkenal, M Nasir.

M Nasir berkata demikian pada sidang media Penerbit Muzik: Tindakan Undang- undang Ke atas Audio One Entertainment Sdn Bhd (AOE) yang diadakan semalam.

“Saya tidak tahu mengenai komposer lain, mungkin AOE ada mendekati mereka. Apa yang mereka lakukan tetap salah dan saya di sini bersama kawan-kawan tetap menyaman mereka,” katanya.

Luncai Emas bersama enam lagi syarikat penerbitan muzik seperti NSR Music Publishing, Sony Music Publishing, Suwah Music Publishing, Universal Music Publishing dan Warner Chappell Music, sepakat mengemukakan saman RM8.25 juta terhadap AOE, sebuah syarikat pengeluar karaoke Melayu popular kerana disyaki melanggar hak hakcipta lebih daripada 200 karya muzik mereka.

Kumpulan tujuh syarikat itu memfailkan tindakan undang-undang sivil di Bahagian Dagangan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 April lalu. Dokumen guaman bernombor D4-22-544-2003 telah dihantar oleh peguamcara penerbit berkenaan kepada AOE pagi semalam.

Antara penyelesaian yang dipohon ialah perintah injunksi untuk menahan AOE daripada terus melanggar hak hakcipta lagu-lagu penerbit terbabit serta perintah menerbitkan permohonan maaf penuh di akhbar tempatan, ganti rugi termasuk ganti rugi tambahan, faedah dan kos guaman.

Menurut wakil penerbit pada sidang media itu, Sandy Monteiro yang juga Pengarah Urusan Universal Music Publishing, ini tindakan bersama pertama yang diambil penerbit di negara ini serta pendirian mereka terhadap syarikat yang enggan menghormati hakcipta lagu dan mematuhi undang-undang.

“Tindakan ini juga sebagai sebahagian daripada tanggungjawab mereka untuk melindungi kepentingan komposer dan penulis lirik.

“Kami bukan saja mengemukakan di bawah undang-undang sivil malah kami membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mengambil tindakan berdasarkan kes jenayah.

“Apa yang kami buat ini, bukan untuk menutup syarikat AOE malah kami ingin menjalankan bisnes dengan mereka tetapi melalui cara yang betul. Kami mahu mereka ikut peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Bagaimanapun Sandy tidak memberi jumlah kerugian sebenar yang dialami ketujuh-tujuh syarikat penerbitan itu tetapi dia menganggarkan AOE memperolehi kira-kira RM20 juta setahun dan kerja ini sudah berlanjutan sejak 10 tahun lalu.

Sandy berkata, sebelum ini syarikat secara ‘individu’ cuba menyelesaikan masalah mereka, tetapi bukan saja membabitkan kos agak tinggi malah penyelesaian bagaikan samar-samar. Sebab itu katanya, bermula Oktober lalu, mereka sepakat bersatu mengambil tindakan ini.

Dalam satu lagi perkembangan, Sandy berkata, kelmarin penerbit itu melalui peguamcara mereka membuat aduan kepada KPDNHEP untuk melakukan serbuan ke atas kedai muzik yang disyaki menjual VCD AOE yang dipercayai mengandungi karya muzik cetak rompak.

“Di bawah seksyen 41 (1) Akta Hakcipta 1987, sesiapa saja jika disabit kesalahan akan didenda tidak melebihi RM10,000 sebuah lagu atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Berdasarkan bukti, kami percaya AOE masih menerbit dan menjual lagu-lagu ciptaan mereka tanpa kebenaran walaupun tuntutan dibuat berulang kali. Oleh itu, kami tiada pilihan selain mengambil tindakan undang-undang,” kata Sandy.