Jumaat, November 21, 2003

M. Nasir - ``Belum ada penyanyi yang bagus menyanyikan lagu saya''

Oleh ABD. AZIZ ITAR
petikan Utusan Malaysia


M. Nasir bukanlah nama yang kecil dalam dunia hiburan tempatan. Lagu-lagu ciptaannya sudah mempopularkan ramai penyanyi termasuk kumpulan Search, Wings, Alleycats, Hattan dan Spider. Justeru ada di antara penyanyi-penyanyi hebat ini yang menggelarnya sifu.

Kemampuannya sebagai penyanyi pula memang sudah lama terserlah. Berpuluh lagu ciptaannya muncul menjadi lagu yang diminati ramai.

Pada 18 November lalu, syarikat rakaman Warner Music menerbitkan album kompilasi 22 lagu-lagu terhebat M.Nasir - Mentera Semerah Padi.

Menerusi album itu Mentera Semerah Padi bukan setakat menjadi judul album tetapi lagu itu turut dinyanyikan secara duet bersama Tam (Spider).

Lagu duet itu dirakamkan semula dalam satu adunan baru yang cukup matang dan lebih bertenaga.

Utusan Malaysia sempat bertemu dengan M.Nasir baru-baru ini untuk memperkatakan tentang album tersebut di samping perkara-perkara lain yang menyentuh kariernya sebagai anak seni.

Mengapa anda memilih berduet dengan Tam (Spider) menerusi lagu Mentera Semerah Padi?

M. NASIR : Saya pilih Tam (Spider) sebab dia, saya pandang sebagai personaliti yang mewakili golongannya (golongan muda dan kumpulan muzik generasi baru).

Siapakah yang bertanggungjawab memilih 22 buah lagu yang dimuatkan dalam album kompilasi Mentera Semerah Padi?

M. NASIR : Syarikat rakaman Luncai Emas Sdn. Bhd., dan Warner Music. Dia orang pilih lagu-lagu itu pun atas permintaan peminat.

Adakah anda melihat penyanyi lama berduet dengan penyanyi baru sebagai suatu trend dalam bidang seni suara tempatan sejak kebelakangan ini?

M. NASIR : Bagi saya, ia memang suatu trend yang sengaja diwujudkan oleh syarikat rakaman untuk menarik perhatian pembeli. Walau bagaimanapun, saya tak sokong trend ini sepenuhnya kerana ia akan menimbulkan kesan jangka panjang pada pasaran album.

Sejauh mana album kompilasi boleh memberi kesan terhadap karier seseorang penyanyi?

M. NASIR : Album kompilasi lebih mudah mendapat tempat di hati peminat kerana lagu-lagu yang dimuatkan adalah yang terbaik. Saya kenal Cat Steven (Yusof Islam) pun melalui album kompilasi yang abang saya beli semasa tahun 70-an dulu.

Pernah dapat tawaran mencipta lagu untuk Siti Nurhaliza?

M. NASIR : Setakat ini belum ada lagi. Kalau adapun tawaran itu, saya kena ambil risiko sebab saya kena cari lagu dan melodi yang sesuai dengan dia.

Apakah komen anda apabila ada pihak yang mengatakan lagu-lagu anda sudah semakin kurang menyengat sejak kebelakangan ini?

M. NASIR : Bukan kurang menyengat, tapi bagi saya belum ada penyanyi yang sesuai dan betul-betul bagus untuk menyanyikan lagu-lagu ciptaan saya dengan baik.

Apa perasaan anda apabila Vince (bintang Akademi Fantasia) menyanyikan semula lagu ciptaan dan nyanyian anda yang berjudul Suatu Hari Di Hari Raya dalam versi R&B melalui album raya Akademi Fantasia?

M. NASIR : Saya tak kata saya tak suka dia nyanyikan lagu tu. Mungkin dia nyanyi tu pun sebab disuruh oleh syarikat rakamannya.

Selepas lebih dua tahun tidak muncul dengan album baru, apakah lagu terbaru yang anda cipta?

M. NASIR : Lagu terbaru yang saya cipta adalah untuk soundtrack filem Puteri Gunung Ledang (PGL). Lagu itu ada pengaruh muzik Melayu dan Jawa tapi belum ada tajuk lagi.

Ceritakan sedikit fasal pengalaman anda melakonkan watak Hang Tuah dalam PGL.

M. NASIR : Shooting PGL ambil masa lebih tiga bulan. Scene saya dengan Alex Komang (pelakon Indonesia) dekat Tasik Kenyir, Terengganu sahaja ambil masa tiga minggu. Saya kena berendam dalam keadaan panas dan semasa hujan.

Akhir sekali, apakah yang ingin anda perkatakan tentang PGL?

M. NASIR : PGL adalah sebuah filem menarik dan mempunyai kualiti yang tinggi. Ia adalah sebuah karya yang belum pernah dipersembahkan dalam dunia perfileman Melayu.

Ahad, November 16, 2003

Nasir Jani dan dekad 80-an

petikan Utusan Malaysia 16 November 2003

Siapa ikon generasi muda yang paling menonjol selain Rahim Razali pada dekad 80-an? Ini adalah penunjuk waktu yang penting dalam profil filem Melayu yang berusia enam dekad ini.

Kehadiran orang teater sebenarnya telah memberikan satu corak dan galur pemikiran yang tersendiri kepada filem tahun 80-an. Biarpun mungkin ada benarnya mereka tidak ada pengalaman mengendalikan peralatan perfileman tetapi filem berpaksikan pemikiran.

Buktinya pemikiran generasi 80-an lebih besar daripada acuan sosiobudaya zamannya. Kehadiran mereka mengejutkan dengan stail yang berbeza dan isu yang dibawa bukan sekadar rambu ramba dekad 70-an. Maka tidak hairanlah kalau pada peringkat awalnya filem-filem angkatan 80-an ini ditolak kerana ada sedikit pertentangan dengan pemikiran dalam filem Melayu sebelumnya.

Suatu yang paling ketara generasi pembikin filem muda 80-an cuba menjauhkan diri daripada gaya melodrama. Filem mereka tidak membuai jiwa tetapi memagut rasa. Mereka kelihatan agresif dengan jiwa dan pemikiran muda.

Begitulah sikap orang muda yang mahu menongkah kebiasaan dan mencipta sesuatu yang segar biar dalam apa bidang sekalipun. Dalam konteks filem tempatan, kelantangan filem dekad 80-an hampir tidak ada pada filem abad baru.

Teknologi bertambah hebat sementara frasarana juga bertambah baik pada abad baru. Tetapi kenapa filem abad baru tidak berbisa dan diingati seperti dilontarkan oleh Matinya Seorang Patriot arahan Rahim Razali, Mekanik (Othman Hafsham), Kembara Seniman Jalanan dan Rozana Cinta 87 (Nasir Jani)?

Adakah benar bahawa kita telah kehilangan dekad yang sangat berharga bagi filem Melayu? Filem abad baru semakin meletihkan kerana berlaku terlalu banyak pengulangan idea yang lalu. Struktur pemikiran yang dituangkan juga sekadar mengisi keperluan sebuah filem tetapi bukan keperluan filem Melayu.

Pada dekad 80-an, salah seorang yang menjadi ikon segenerasi dengannya ialah Nasir Jani. Nasir pernah bekerja dengan Rahim Razali sebagai pengarah seni untuk filem Matinya Seorang Patriot. Nasir kemudian melakarkan nama sendiri dengan Kembara Seniman Jalanan. Filem ini dilakonkan oleh M. Nasir, Khaty Ibrahim dan Pyanhabib.

Kembara Seniman Jalanan adalah filem yang bernada protes terhadap sistem sosial itu sendiri. Nasir menyingkap idealisme remaja tentunya dekad 80-an yang menjadikan muzik sebagai wadah ekspresi. Dunia perfileman tempatan sebenarnya ketandusan filem yang bercita rasa remaja.

Pelakonnya terdiri daripada remaja, ceritanya kisah cinta atau dunia akademik di menara gading bukanlah kriteria filem remaja. Idealisme remaja misalnya berkait rapat dengan muzik dan budaya pop harus menjadi elemen penting dalam filem remaja. Jangan lupa remaja juga sinonim dengan sikap memprotes sistem yang ada.

Nasir Jani dianggap memberikan pengisian yang memuaskan dalam Kembara Seniman Jalanan sebagai filem remaja bercita rasa tempatan. Sambil bersandarkan kepada gelegak muzik rock, Kembara Seniman Jalanan membawa isu yang lebih besar daripada protes terhadap masalah cetak rompak.

Nasir menanggapi watak-watak remaja di jalanan yang terbius dengan muzik pop. Mereka mahu menjadi penyanyi dan tinggal di rumah setinggan demi menggapai cita-cita. Sistem yang licik mengaut untung ke atas warga yang lemah dan lurus.

Kerana itu Nasir sangat menyerlah biarpun hanya mengarah dua filem sebelum dia merentasi fragmen-fragmen hitam digam daripada menghasilkan karyanya di tv. Filem Rozana Cinta 87 lebih lembut berbanding Kembara Seniman Jalanan. Tetapi jangan salah anggap dengan ``cinta'' dalam judul filem ini.

Cintanya bukan cinta biasa. Filemnya juga bukan filem biasa. Ini filem remaja yang meletakkan semuanya anak muda beraksi tanpa orang tua di dalam layar ini. Daripada aspek ini Nasir telah menghantarkan mesej bahawa inilah filem remaja tanpa leteran orang tua yang sangat retorik itu.

Ini adalah filem anak muda yang tidak berbasa basi kelangsungan banyak filem Melayu yang lalu. Nasir mentafsir gejolak jiwa dan idealisme remaja di sebalik kelir cinta yang tulus. Dalam Rozana Cinta 87, kalau diteliti watak golongan dewasa hanya hadir dalam voice over telefon dari luar negara.

Nasir ternyata memberikan satu mercu tanda filem dekad 80-an dengan sedikit perubahan yang radikal.

Ahad, November 09, 2003

Kopratasa - uji sentuhan M. Nasir

petikan Utusan Malaysia 9 November 2003

Oleh SITI ROHAYAH ATTAN

SATU-satunya kumpulan yang sering diingati sebagai pejuang lagu-lagu puisi secara konsisten ialah Kopratasa. Kumpulan yang mampu bertahan hampir 20 tahun dengan dianggotai Siso, Sani Sudin dan Usop ini mengakui mereka veteran dari segi usia jika dibandingkan dengan penyanyi atau kumpulan lain.

Namun, usia mereka yang melebihi 40 tahun ini sebenarnya bukan halangan untuk meneruskan perjuangan terhadap lagu-lagu puisi. Bara yang membakar itu dibuktikan dengan kemunculan album ketujuh berjudul Mulia yang diterbitkan oleh rakan baik mereka, M. Nasir.

Selepas enam album yang sinonim dengan konsep lagu-lagu puisi ternyata kumpulan ini masih mampu berada di hati peminat meskipun irama pop, rock dan dangdut mahupun R&B silih berganti.

Kopratasa yang dikenali dengan lagu Masihkah Kau Ingat ciptaan Sani Sudin pernah menerima sentuhan M. Nasir dalam album sulung mereka, Keringat Dalam Pasrah pada 1987. Kejayaan album itu membawa kepada kelahiran album lain iaitu Kunci (1988), Episod (1989), Sesetia Malam (1996), Nikmat (1997) dan Antologi (1998).

``Saya mengucapkan terima kasih kepada M. Nasir kerana masih sanggup menerbit dan mengeluarkan duit untuk album Kopratasa.

``Setelah lama tidak muncul dengan album baru, beliau merealitikan harapan kami. Orang lain mungkin sudah tidak mempedulikan lagi lagu-lagu puisi,'' kata Siso ketika pelancaran album tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada majlis itu beberapa artis naungan FMC menerima anugerah platinum kerana kejayaan jualan album dan cakera padat video (VCD). Ini termasuklah Mamat dengan albumnya Mamat - Dulu... Sekarang yang terjual melebihi 20,000, album Nana & Achik - Istimewa Untukmu (25,000), Kumpulan Spin - Demi ((70,000 unit) dan VCD Prahara (50,000 unit).

Selepas lima tahun tanpa karya baru, Mulia yang diterbitkan oleh Matahari dan Luncai Emas menjadi sandaran untuk Kopratasa mengukur penerimaan masyarakat terhadap rentak lagu puisi.

Kali ini penglibatan M. Nasir bukan sekadar penerbit malah agak dominan dengan menyumbang secara bersama tujuh daripada 11 lagu. Apakah ini caranya bagi Kopratasa untuk mengembalikan kegemilangan mereka atau dalam erti kata lain Kopratasa menumpang populariti M. Nasir?

``Kopratasa dan M. Nasir adalah kawan. Dari segi pengalaman dalam muzik saya rasa antara Kopratasa dan M. Nasir adalah sama tetapi jika diukur populariti memang M. Nasir lebih popular. Tetapi, itu tidak bererti kami menumpang popularitinya.

``Sumbangan M. Nasir atas kehendak syarikat rakaman dan sebagai artis kami akur kepada kehendak itu. Dari satu sisi, kami juga mahu mencuba sama ada `resipi' atau sentuhan M. Nasir menjadi atau sebaliknya,'' kata Siso yang amat menghargai sumbangan M. Nasir memberi peluang Kopratasa kembali dengan album baru.

Lagu yang mendapat sentuhan M. Nasir termasuklah Mulia, Di Dalam Dalam, Dara dan Bulan, Pelita Kecil, Ke Pintu Asar, Adat Berkawan dan Alang-Alang.

Memandangkan album kali ini agak sedikit berubah dari segi lirik berbanding enam album terdahulu, Kopratasa mempertaruhkan tiga lagu yang akan mampu menarik perhatian peminat iaitu Mulia, Dara Dan Bulan serta Ketukan Di Pintu. Ini kerana ketiga-tiga lagu tersebut dihasilkan mengikut mood terkini.

``Kesemua lagu di dalam album ini mempunyai kelebihan masing-masing. Namun, tiga lagu tersebut mempunyai keistimewaan tersendiri. Lagu Mulia adalah sambungan daripada lagu Permata (Buat Isteriku) yang dihasilkan dalam album keempat manakala Dara, Bunga Dan Bulan pula menampilkan irama Latin Arab. Ketukan Di Pintu pula mengembalikan rentak asal Kopratasa sebelum ini.

``Dari segi konsep memang agak berubah kerana kali ini kami memberi penekanan kepada puisi lagu. Dulu kami mengarah kepada puisi asli,'' tambahnya yang berharap album Mulia dapat memberi satu cahaya baru kepada muzik semasa.

Sebenarnya, kumpulan ini hampir dilupakan satu ketika dulu kerana setelah melahirkan album ketiga, ahli-ahlinya menyepikan diri hampir tujuh tahun tanpa sebarang album hingga ada yang menyangka kumpulan ini telah berkubur.

Hakikatnya, pada tempoh itu masing-masing mencari haluan sendiri bagi melahirkan album solo. Sani misalnya menghasilkan album solo berjudul Kopi dan Roti (1993) dan Dalam Rimba Karya (1997) manakala Usop pula menampilkan album Menuju Abadi (1990) yang diterbitkannya bersama Ramli Sarip.

Kemunculan kembali Kopratasa pada 1996 dengan album keempat, Sesetia Malam telah mengundang tuah apabila lagu Permata (Buat Isteriku) yang didasarkan daripada puisi karya Allahyarham Aziz HM mendapat tempat di hati pendengar. Selain itu,lagu ciptaan Siso, Dondang Mustika juga mencatat kejayaan tersendiri apabila lagu yang dipetik daripada album Antologi itu berjaya ke Juara Lagu kategori Irama Malaysia pada tahun 2000.

Lagu yang termuat dalam album ini Mulia (M. Nasir/Usop) manakala lagu lain ialah Di Dalam Dalam (M. Nasir/Sani Sudin), Ketukan Di Pintu (Sani Sudin/Che Din Osman), Dara, Bunga dan Bulan (M. Nasir/Loloq), Melayu Baru (Siso) dan Pelita Kecil (M. Nasir/S. Amin Sahab).

Ke Pintu Asar (M. Nasir/Keon), Bukan Apa-Apa (Usop/Khalid Salleh), Adat Berkawan (M. Nasir/Loloq) dan Alang-Alang (M. Nasir/Siso).

Menariknya, album yang berada di pasaran sejak 23 Oktober lalu menampilkan sebuah puisi karya penulis Seberang Takir, Kuala Terengganu, Allahyarham J.M. Aziz berjudul Berkolek Bersajak.