Rabu, Jun 29, 2005

Spider - Bawa haluan sendiri

Oleh WANDA IDRIS
petikan Utusan Malaysia 29 Jun 2005

PERSOALAN tentang kedudukan kumpulan Spider dengan syarikat Luncai Emas sudah terjawab!

Kini kumpulan yang dianggap paling popular negara itu sudah bebas daripada label tersebut apabila Luncai Emas menyerahkan surat pelepasan kepada kumpulan tersebut bulan lalu.

Biarpun ada yang melontarkan kata-kata kononnya Spider lupa daratan kerana tindakan itu, namun kumpulan tersebut mempunyai alasan sendiri mengapa ingin keluar daripada label yang memperkenalkan mereka ke dalam industri hiburan tempatan.

Selain mahu melebarkan sayap, Tony Iskandar yang ditemui Mega selepas sidang akhbar Sunday Nite Live kumpulan itu di Planet Hollywood baru-baru ini memberitahu:

``Sampai bila kami mahu bersama. Setelah lapan tahun, sudah tiba masanya untuk kami perlu berdikari dalam mencari kepuasan sendiri.

``Kami tiada masalah dengan Luncai Emas lebih-lebih lagi dengan M. Nasir sebab dialah yang banyak mengajar kami tentang industri ini... Tentang selok belok dunia kreativiti.

``Tentang lupa daratan atau lupa diri tu, biarlah orang nak kata apa pun. Terpulang... Mereka tidak berada di tempat kami. Kalau mereka berada di tempat kami, mereka akan faham.''

Bagaimanapun, kata pemain bass Spider itu lagi, mereka masih belum bebas secara total dengan Luncai Emas.

Ini kerana syarikat tersebut hanya melepaskan mereka dengan beberapa syarat terutama sekali dalam pemilihan syarikat rakaman untuk Spider bernaung selepas ini.

``Keputusan syarikat mana yang menjadi pilihan masih tidak ada. Semuanya masih dalam perbincangan dan pastinya Luncai Emas akan mendapatkan tawaran terbaik untuk kami,'' tambah Tony.

Mengakui mendapat tawaran terbaik daripada beberapa syarikat rakaman antarabangsa dan tempatan sejak menjuarai Anugerah Juara Lagu yang lepas, tegas Tony, biarpun tidak lagi menjadi artis Luncai Emas, mereka akan tetap bekerjasama dengan M. Nasir selepas ini.

Malah Spider yang turut dianggotai oleh Tam sebagai vokal, Nafi (gitar) dan Ayie (dram) kini sedang sibuk mencari material terbaik untuk pembikinan album terbaru mereka.

``Hubungan kami macam keluarga. Apa yang berlaku ialah kami keluar sebagai artis rakaman untuk mencari haluan sendiri.

``Tetapi kerja-kerja seni misalnya lagu-lagu ciptaan kami masih di bawah Luncai Emas Publishing.

``Malah untuk album baru yang sedang kami usahakan, kami tetap akan bekerjasama dengan M. Nasir,'' katanya.

Berkenaan kedudukan kumpulan itu dengan NAR Records, kata Tony, syarikat itu masih kekal sebagai unit promosi dan pengedaran album mereka sehingga mereka mempunyai syarikat baru.

Menyentuh mengenai persembahan mereka di pusat hiburan popular itu pada 10 Julai dan 24 Julai depan, kata Tony, mereka tidak akan membuat apa-apa gimik istimewa pada persembahan itu nanti.

``Kalau nak gimik pun, mungkin daripada pilihan lagu. Sebab selama ini kalau kami buat show, kami hanya menyanyikan lagu-lagu sendiri.

``Tapi pada persembahan itu nanti, kami merancang untuk membawa lagu-lagu tahun 80-an dan 90-an.

``Mungkin tak semestinya lagu yang didendangkan nanti pernah menjadi hits, tetapi lagu itulah yang kami suka dan selalu main semasa jamming.

``Kami mahu berkongsi bersama-sama peminat lagu-lagu yang kami minati dan dalam masa yang sama menghiburkan mereka,'' jelasnya sambil memberitahu antara lagu pilihan untuk dimainkan pada malam persembahan itu nanti termasuk lagu-lagu daripada kumpulan Search, Lefthanded, Wings dan CRK.''

Ahad, Jun 19, 2005

Terima kasih M. Nasir...

petikan Utusan Malaysia 19 Jun 2005

KECOH satu Malaysia apabila `sifu' buat statement berani bahawa Mawi adalah pelajar yang sepatutnya disingkirkan pada konsert minggu kedua yang lalu, bukan Eliza.

Bila ada isu hangat seperti biasa, kami di Pancaindera juga terkena tempiasnya. Bertalu-talu meja kami menerima panggilan telefon pembaca dan peminat setia AF yang tak puas hati dengan komen-komen yang diberikan oleh M. Nasir. Ada emak-emak orang, bapa-bapa orang, nenek dan datuk-datuk pun ada. Macam-macam ada!

Rata-ratanya tidak berpuas hati dengan komen pedas yang diberikan M. Nasir selepas konsert AF3 kedua minggu lalu. Yang siap dengan maki hamun pun ada. Terkejut sungguh! Gara-gara si jejaka Mawi, nampaknya banyak orang mula hilang kawalan.

Relakslah beb! Bagi kami pula, eloklah kalau sesekali M. Nasir terlepas. Bahasa-bahasa orang yang tidak hipokrit macam M. Nasir perlu untuk orang kita. Supaya masyarakat tahu menilai mana satu kaca, mana satu intan, mana satu berlian.

Rasa-rasanya M. Nasir tak pernah takut kepada segala kata kutukan dan cacian dalam menyatakan kebenaran. Itu namanya telus. Takkan pelajar yang nyanyi sumbang, lupa lirik dan menggeletar di pentas hendak dipuji bagai nak `rak' sebab hendak jaga undian. Tak adil untuk pelajar lain pula. Hendak jadi pengetua yang adil, M. Nasir kena jujur dan tidak berselindung. Walaupun pahit untuk ditelan, atas nama kebenaran kena cakap jugalah. Dah tak bagus, kenalah cakap tak bagus.

Kami pun hairan bila M. Nasir pun dikutuk dan disindir hanya kerana `sepatah' kata jujur yang diucapkannya. Berfikirlah aduhai rakyat Malaysia, setelah berkenalan dengan Mawi yang baru sebulan dalam dunia hiburan, dengan mudah kita melupakan jasa-jasa `sifu' kepada industri ini? Kami pun suka melihat orang baik macam Mawi masuk AF, tetapi biarlah berpada-pada minatnya.

Lagi satu, kalau M. Nasir hendak bercakap `aku' dengan pelajar-pelajar, apa masalahnya? Bukankah lebih mesra, lebih dekat dan rapat dengan penggunaan `aku' sebagai ganti nama? Itu pun hendak jadi masalah ke? Peninglah.

Kepada `sifu' teruskan perjuangan anda. Rancangan realiti televisyen perlu melahirkan penyanyi yang tulen dan berkarisma untuk membantu industri hiburan yang semakin nazak.

Kami percaya kualiti rancangan realiti televisyen pada masa depan akan semakin hebat di pandangan semua pihak, apabila ia dikendalikan oleh orang hebat macam M. Nasir.

Selasa, Jun 14, 2005

Misha minta lagu M Nasir

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
petikan Berita Harian 14 Jun 2005

PEMINAT Misha Omar nampaknya terpaksa bersabar sehingga ke awal tahun depan sebelum mereka dapat menikmati lagu baru penyanyi kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Penyanyi Bunga-Bunga Cinta ini tidak akan melahirkan album baru dalam masa terdekat.

Walaupun syarikat rakamannya, Sony BMG ada mencadangkan supaya album solo ketiga Misha dikeluarkan September ini, pihak pengurusan Misha berasakan tempoh itu tidak sesuai untuk kemunculan album baru.

Bukan saja tarikh berkenaan cukup hampir dengan kehadiran bulan puasa, bahkan ia juga amat dekat dengan sambutan Aidilfitri. Selepas itu, orang ramai sibuk dengan musim cuti Krismas dan sambutan tahun baru pula. Waktu itu dilihat sebagai bukan masa terbaik untuk mempromosikan album baru.

Jadi, peminat Misha hanya boleh memiliki album terbaru artis berkenaan seawal-awalnya Januari atau Februari tahun 2006. Namun begitu, tidak bermakna segala kerja berkaitan projek terbabit akan dilakukan apabila hampir waktu pengeluaran. Sebaliknya, Misha kini sudah mula mencari lagu sesuai.

Banyak juga lagu sudah diterima dan banyak juga hasil karya yang terpaksa diketepikan berikutan kesamaan bunyinya dengan lagu sedia ada. Nyata, kali ini Misha inginkan sesuatu yang cukup kuat dan memberikan nada berbeza, bagi mengukuhkan lagi kedudukan sebagai antara penyanyi disegani dewasa ini.

Justeru, antara pencipta terkenal yang dihampirinya ialah M Nasir, yang kini bergelar Pengetua Akademi Fantasia musim ketiga. Komposer terkemuka itu sendiri sudah agak lama tidak mencipta lagu untuk penyanyi wanita, biarpun suatu ketika dulu dia cukup sinonim dengan penyanyi Ella.

Difahamkan, M Nasir turut bertanya pada Misha, apakah dia berani membawakan lagu hasil tangannya? Kerana percayakan keupayaan diri, Misha bersedia menyahut cabaran berkenaan. Jika projek terbabit terlaksana, gabungan kedua-dua artis berbakat ini pasti menjadi tumpuan semua peminat mereka.

Mengenai perkembangan lain penyanyi yang juga mencapai kejayaan menerusi lagu Pulangkan itu kini sibuk menjalani penggambaran rancangan terbaru TV3, Felisa Beauty Makeover.

Selain itu, sebagai duta Laurier pula, dia kini menjelajah ke seluruh negara dalam siri promosi barangan keluaran Kao (Malaysia) Sdn Bhd itu, yang mendapat kerjasama syarikat rakamannya. Siri promosi bernama Sesi Ilham Bersama Misha Omar itu bermula 21 Mei lalu di Shah Alam dan dijangka berakhir bulan depan. Selain Lembah Klang, Misha juga berkunjung ke Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Di samping menghiburkan peminatnya dengan persembahan nyanyian, Misha turut melayan orang ramai yang ingin bergambar serta mendapatkan tanda tangannya. Bagaimanapun, sesi paling dinanti pastinya saat Misha mengadakan permainan dan peraduan untuk peminat.

Ketika menjayakan promosi terbabit di Kelana Jaya, Petaling Jaya, baru-baru ini, Misha dan peminat kelihatan cukup terhibur bersama agenda yang diatur. Mereka bergelak tawa menyaksikan peserta bergoyang dalam acara gelang rotan dan telatah lucu mereka yang cuba meniru gaya Misha beraksi.

Sepanjang promosi itu juga, peminat boleh menyertai Peraduan Sesi Ilham Bersama Misha yang berlangsung 15 Mei sehingga 31 Julai ini. Penyertaannya cukup mudah, iaitu membeli mana-mana produk Laurier dan mengisi borang disertakan. Borang boleh didapati di semua pasar raya terdekat.

Setiap penyertaan ke-100 akan memenangi jemputan eksklusif ke Sesi Ilham Bersama Misha Omar di Planet Hollywood. Hanya 350 peminat bertuah akan mendapat jemputan itu. Bukan itu saja, pada malam kemuncak nanti, 10 peminat akan memenangi cabutan bertuah, lima pemenang memenangi percutian 3 hari 2 malam bersama Misha, manakala lima lagi memenangi jamuan makan malam bersama penyanyi itu

Isnin, Jun 13, 2005

Konsert AF3 -- Mawi yang patut tersingkir - M. Nasir

Oleh WANDA IDRIS
petikan Utusan Malaysia 13 Jun 2005

LUPA lirik lagi! Dia melakukan perkara yang sama pada malam minggu dia dipilih semula untuk menyertai Akademi Fantasia 3 (AF3) minggu lalu dan pada minggu ini, dia melakukannya lagi. Itulah fenomena terbaru (AF3) yang dibawa oleh peserta pujaan ramai peminat rancangan realiti TV, Mawi.

Biarpun melakukan kesilapan yang boleh dianggap paling besar dalam `dunia persembahan' tetapi nyata anak muda dari Kulai, Johor ini terus mendapat sokongan padu daripada peminat fanatiknya.

Lalu pada malam minggu itu, Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor hampir kebanyakan tepukan gemuruh dan laungan bergema demi Mawi.

Menduduki ranking tertinggi undian, persembahan vokal Mawi atau Asmawi Ani juga sebenarnya tidaklah memberansangkan sangat. Tidak sekadar lupa lirik, vokalnya juga tidak konsisten.

Malah pengetua AF3, M. Nasir menganggap, Mawi yang sepatutnya tersingkir pada malam tersebut berdasarkan kepada persembahannya itu.

M. Nasir dalam temuramah Imbasan Akademi Fantasia selepas konsert mingguan itu mengakui dia amat kecewa dengan persembahan Mawi dan menganggap Mawi mengalami kejutan budaya sebaik dipilih menyertai akademi bermula minggu lalu.

``Berdasarkan kepada persembahan dan kredibiliti, pelajar yang lain berusaha bersungguh-sungguh walaupun ada yang tahu keputusan (undian) minggu lepas.

``Mungkin ini satu kejutan budaya bagi Mawi. Saya tak tahu sama ada saya boleh maafkan dia. Tunggu sajalah hari Isnin nanti.''

Mungkin ramai yang marah dengan kenyataan itu dan menganggap kesalahan Mawi itu patut dimaafkan. Alasannya kerana dia baru menyertai akademi selama seminggu bersama Marsha sedangkan 12 peserta lain sudahpun menjalani latihan selama dua minggu.

Tetapi apalah gunanya menduduki tangga terbaik jika mutu persembahan tidak membanggakan.

Jangan jadikan populariti untuk terus meraih undian. Mawi perlu membuktikan bahawa dia berbakat dan memang patut mendapat kedudukan teratas yang menjadi impian setiap peserta.