Jumaat, Oktober 07, 2005

Deklamasi Angkasapuri jana semangat artis

petikan Berita Harian 7 Oktober 2005
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

MALAH acara berkenaan yang dinantikan oleh ramai pencinta seni budaya tempatan mempamerkan daya tarikan tersendiri apabila program yang disiarkan secara langsung menerusi TV2 itu baru-baru ini turut membuktikan pengisiannya juga menarik dan mampu meninggalkan kesan mendalam di hati penonton.

Rancangan yang disiarkan selama dua jam bermula jam 9 malam itu bergemerlapan dengan kemunculan artis lama dan baru, yang turut menjayakannya.

Antaranya ialah Ramli Sarip, Kopratasa, Ibnor Riza, Datuk Rahim Razali, M Nasir, Fauziah Ahmad Daud, Abu Bakar Omar, Khir Rahman, Nik Sayyidah, Safura, Sherie Merlis, Anjang, Amir Uk’s, Fauziah Nawi, Bob, Sabri Yunus, Syafinaz, Karen Kong Chen Tshe dan Suresh.

Manakala antara deklamator puisi yang tampil pada malam berkenaan pula ialah Datuk A Samad Said, Syukri Abdullah, Lim Fheng Fheng, Alida Yunos, Masli N O, Mazlan Tahir, Roslan Madun, Wan Hanafi Su dan tidak ketinggalan, Tengku Khalidah Bidin.

Selain bacaan puisi dan nyanyian lagu puitis, turut dimuatkan ialah segmen mengenang penulis terkenal, Allahyarham T Alias Taib, yang menghembuskan nafas terakhir pada 18 Ogos tahun lalu. Ketika itu, beliau dalam perancangan mengikuti kursus penulisan sastera di Iowa University, Amerika Syarikat selepas mendapat fellowship untuk tujuan berkenaan.

Beliau mula menulis pada 1960 dan karya pertamanya mendapat tempat dalam majalah Angkatan Baru pada 1964. Puisi pertamanya, Persembahan, disiarkan pada 1964 dan cerpen pertamanya, Dunia Pelayan, disiarkan setahun kemudian. Antara antologi yang dihasilkannya ialah Laut Tak Biru Di Seberang Takir, Pemburu Kota dan Seberkas Kunci.

Sementara itu, Menteri Penerangan, Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dalam kata-kata aluannya memuji usaha murni RTM mengadakan program terbabit yang dilihatnya amat bererti ke arah mengangkat martabat seni sastera tanah air.

“Usaha ini yang bermula sejak lima tahun lalu, kini diteruskan bagi memupuk minat berpuisi di kalangan masyarakat, termasuk generasi muda hari ini. Melalui kegiatan seperti ini, kita juga mampu menyediakan ruang kepada masyarakat untuk mencernakan minda dan meluahkan rasa melalui tautan bahasa puitis yang indah sifatnya,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa bertuah kerana minat terhadap kegiatan berpuisi di tanah air yang kini kian berkembang meliputi pelbagai golongan, hinggalah kepada ahli korporat dan pemimpin negara.

“Malah, ketika peringkat awal menerajui kerajaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri pernah menampilkan puisi Ku Cari Damai Abadi yang amat puitis dan mampu meninggalkan kesan mendalam, lebih-lebih lagi apabila ia dilagukan.

“Ini jelas menampakkan kesungguhan usaha pemimpin kita untuk kesejahteraan bangsa Melayu dan negara seluruhnya,” kata Abdul Kadir yang menganggap Deklamasi Angkasapuri bukan sekadar membuka ruang untuk berkarya dan menikmati keindahan seninya, bahkan pada masa sama menjadi wadah membangunkan minda, mengukuhkan jati diri dan menyatukan seluruh rakyat.

Tiada ulasan: