Ahad, Februari 05, 2006

Dua minggu Nasir beraksi

petikan Harian Metro 5 Februari 2006
Oleh ABIE ABDULLAH
abie@hmetro.com.my

MALAM ini komposer dan penyanyi terkenal, M Nasir menanti debaran mendengar keputusan juri Anugerah Juara Lagu Ke-20 apabila ciptaannya, Aduh Saliha dipertandingkan bagi kategori Etnik Kreatif.

Bagaimanapun, Nasir mempunyai agenda lain yang tidak kurang pentingnya.

Selama dua minggu bermula minggu depan (12 dan 19 Februari), suami Marlia Musa ini bakal beraksi di Planet Hollywood dalam siri Sunday Nite Live.

Menurut Pengarah Pemasaran Planet Hollywood, Sharina Ahmad, persetujuan Nasir untuk menyertai siri popular anjuran premis hiburan terkenal itu sebagai satu penghormatan buat mereka.

“Ini persembahan pertama Nasir untuk Sunday Nite Live di Planet Hollywood. Beliau antara artis unggul yang selalu kami ingin tampilkan di Planet Hollywood.

“Menjadi harapan kami supaya peminat Nasir tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk menyaksikan persembahan beliau yang pastinya hebat,” katanya.

Sharina berkata, Nasir tidak perlu diperkenalkan lagi kerana namanya sebati di persada muzik Malaysia sejak era 1980-an.

“Kami mengagumi bakat beliau yang bukan hanya penyanyi, malah terbukti sebagai penulis lirik, komposer dan produser. Keunikan bakat muziknya juga menonjolkan bakat sebenarnya,” katanya.

Peminat boleh menantikan ‘trademark’ persembahan Nasir yang akan diiringi oleh pakar muzik diketuai Pengarah Muzik, Nan.

Beliau juga menjanjikan persembahan memukau untuk peminatnya dengan mempersembahkan ‘evergreen’ hinggalah karya terbaru daripada album barunya yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

“Peminat tidak akan kecewa. Saya akan memberikan persembahan terbaik untuk peminat. Persembahan di Planet Hollywood membawa mereka ke alam dunia seni saya. Itu janji saya,” kata Nasir.

Nasir yang juga bekas ketua kumpulan Kembara yang popular pada era 1980-an, turut berjaya dengan album solo yang mengisi lagu popular seperti Mentera Semerah Padi, Tanya Sama Itu Hud Hud dan Bonda.

Sunday Nite Live di Planet Hollywood memperlihatkan persembahan secara langsung yang membabitkan barisan artis popular Malaysia.

Hanya yang terbaik, terulung dan juga bakat unik dapat dilihat secara dekat dan intimasi di premis berkenaan.

“Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan artis terkenal tanah air, Nasir yang akan menyajikan anda dengan dua segmen selama 45 minit bagi setiap persembahan dengan barisan lagu yang pasti menghiburkan,” kata Sharina mengenai persembahan yang bermula jam 10.30 malam itu.

Katanya, bayaran masuk untuk menyaksikan persembahan Nasir ialah RM35, termasuk satu minuman percuma.

Tiada ulasan: