Isnin, Februari 06, 2006

Gemilang, Kata dan Aduh Saliha ungguli AJL20

petikan Berita Harian 6 Februari 2006
Oleh Farihad Shalla Mahmud dan Nurulhisham Abdul Latiff


WAJAH GEMBIRA: Hazami, Jaclyn dan Mawi bersama trofi yang dimenangi dalam Anugerah Juara Lagu ke-20 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC),malam tadi. Lagu Gemilang ciptaan Aubrey dan Asmin menang Anugerah Juara Lagu dan kategori Balada, sementara lagu Kata menang kategori Pop Rock dan Aduh Saliha ciptaan M Nasir juara kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif.

KUALA LUMPUR: Lagu Gemilang ciptaan komposer Aubrey Suwito dan lirik oleh Asmin Mudin menjulang trofi Anugerah Juara Lagu ke-20 (AJL20) yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan Aubrey, Asmin dan penyanyinya, Jacyln Victor membawa pulang trofi dan wang tunai RM25,000.

Terdahulu, mereka turut menerima trofi dan wang tunai RM12,000 apabila lagu Gemilang diumumkan sebagai juara kategori Balada.

Bagi kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif pula, kemenangan berpihak kepada lagu Aduh Saliha ciptaan M Nasir dan lirik oleh Rosli Khamis atau Loloq yang disampaikan oleh Mawi, manakala trofi kategori Pop Rock diraih lagu Kata yang lirik dan lagu dihasilkan bersama oleh Hazami, Tris dan Arab serta didendangkan sendiri oleh Hazami.

Bagi kedua-dua kategori itu, masing-masing membawa pulang RM12,000

Malah Hazami juga menyerlah apabila beliau meraih anugerah Vokal Terbaik, yang membolehkannya menerima trofi dan wang tunai RM10,000.

Sementara itu Mawi membawa pulang trofi dan wang tunai RM10,000 selepas diumumkan pemenang Persembahan Terbaik menerusi lagu Aduh Saliha.

Hadiah disampaikan Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Abdul Mutalib Mohamed Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Farid Ridzuan.

Turut bersaing dalam kategori Pop Rock ialah Gaia ciptaan Pacai dan Zainal Abidin, lirik oleh Pacai dan dinyanyikan sendiri oleh Zainal, Pop Yeh Yeh (VE/ Zaf & Cham/VE) dan Tak Tahu, (Edry/Adam).

Manakala kategori Balada diwakili Wajah (Othman Mohamad/Habsah Hassan/Jaclyn Victor), Elergi Sepi (Azlan Abu Hassan/Julfekar/Azharina) dan Awan Yang Terpilu (Lin Li Zhen/Loloq/Ning Baizura).

Bagi kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif, lagu lain yang turut layak ke final ialah Taat (Rosli Md Kasa/Tok Wan/Rohana Jalil), Semalakama (Pak Ngah/Ce’Kem/Zehra Zambri), Ayuh Juragan (Noraniza Idris/Fedtri Yahya/Noraniza Idris).

Sementara itu, Jaclyn menyatakan rasa terharu dengan kemenangannya dan mengucapkan terima kasih kepada media yang banyak memberi pengaruh pada kerjayanya.

“Saya tak sangka menang kerana disaingi ramai penyanyi berpengalaman. Saya sudah buat yang terbaik untuk kedua-dua lagu,” katanya.

Hazami pula berkata, beliau sudah melakukan yang terbaik untuk pertandingan itu dan gembira kerana menang anugerah Vokal Terbaik dan Juara Pop Rock.

“Kami dinilai oleh mereka yang mahir dalam bidang ini,” katanya.
Bagi Mawi, beliau puas hati dengan persembahannya dan berterima kasih kepada peminat yang mengundinya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).


Tambahan Petikan dari Berita Harian 7 Februari 2005


Komen M Nasir:

“Kini Irama Malaysia tidak banyak di keluarkan. Penyanyi juga tidak mahu menyanyikan irama berkenaan. Lagu Irama Malaysia popular dulu pun kerana Siti Nurhaliza. Aduh Saliha pula agak susah untuk dinyanyikan kerana ia muzik beritma dan memerlukan penghayatan.

“Mawi memberikan keadilan kepada lagu ini. Mawi melepasi tahap yang saya harapkan. Kami pula mencipta lagu pop untuk dijual. Apabila ada pertandingan, lagu berkenaan dinilai. Bagi saya, ada banyak konflik di sini.”

Komen Loloq:

“Saya mencadangkan supaya sistem penjurian diadakan secara telus dengan markahnya diketahui umum supaya tiada penyelewengan. Siapa yang mengarut, gua hentam!”

Tiada ulasan: