Khamis, April 27, 2006

Seminar Industri Muzik cari formula satukan penggiat seni

petikan Utusan Malaysia 27 April 2006
Oleh MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH

BERSATULAH semua penggiat seni! Itulah kesimpulan dan seruan yang dibuat oleh para peserta Seminar Industri Muzik anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dihadiri kira-kira 30 penggiat seni, seminar yang bertemakan ‘Ke Arah Masa Depan Yang Lebih Cemerlang’ itu menjadi perdebatan menarik dalam mencari arah tuju muzik Malaysia pada masa depan.

Nama-nama besar yang hadir memberikan sokongan pada seminar itu antaranya M. Nasir, Ajai, Loloq, Hattan, Norman KRU, Farihin, Nash, Siti Hajar, Yantzen, Cat Ruffedge dan beberapa ahli kumpulan rock tanah air.

Puas meluahkan pendapat masing-masing sehingga membuatkan suasana menjadi panas seketika, ahli panel seminar itu dan para peserta akhirnya menemui jawapan kepada permasalahan industri muzik di Malaysia masa kini.

Walaupun ada yang tersasar daripada tajuk seminar kerana terlalu mengikut emosi, kehadiran mereka wajar diberi pujian. Kehadiran itu menunjukkan tanggungjawab mereka sebagai anak seni di Malaysia.

Penyanyi lagu Biso Benar, Hattan, misalnya, memperkatakan tentang kebenaran industri muzik yang perit untuk ditelan.

Kata Hattan, seminar itu hanya tinggal seminar apabila semua yang hadir pada hari itu pulang ke rumah.

“Dalam dunia muzik Malaysia, sejarah membuktikan tiada tindakan susulan selepas sesuatu ketetapan diambil,” kata Hattan.

Dengan bahasanya yang bernada panas, Hattan turut mempersoalkan kehadiran artis-artis baru pada seminar itu.

“Mana artis-artis baru di Malaysia? Album tidak laku, bising. Tetapi bila ada seminar, tidak mahu tunjukkan muka. Memang mereka tiada tanggungjawab langsung kepada industri muzik. Mereka hanya hendak jaga periuk nasi sendiri,” luah Hattan.

Kata Hattan, pemimpin atasan persatuan-persatuan yang memperjuangkan kebajikan artis tanah air perlu duduk semeja terlebih dahulu untuk membetulkan keadaan yang semakin buruk sekarang.

“Apa yang perlu dilakukan adalah menyelesaikan masalah yang wujud antara para pemimpin atasan.

“Itulah punca kenapa kita semua tidak boleh bersatu hingga munculnya berbagai persatuan artis,” kata Hattan.

Bagi Hattan, perpecahan yang berlaku di kalangan penggiat seni harus ditangani segera.

Pendapat Hattan itu selari dengan pandangan panjang lebar yang dikemukakan oleh komposer Farihin.

Terlalu terbuka

Jelas Farihin, kekuatan akar umbi di kalangan penggiat seni wajar diberikan perhatian. Sikap suka menuding antara satu sama lain perlu dihentikan segera.

“Sekarang ini kecoh bila band muzik dari Indonesia senang mencari makan di negara kita seolah-olah pemuzik tempatan dianaktirikan.

“Tetapi pernahkah kita mempersoalkan mengapa mereka senang diterima oleh peminat muzik di tanah air kita?

“Sebetulnya kita wajib belajar bagaimana muzik mereka dihasilkan untuk sama-sama bersaing secara sihat,” kata Farihin dalam nada serius.

Farihin juga sempat menasihati penyanyi tempatan yang ingin memperluaskan langkah ke luar negara agar menilai bakat sendiri terlebih dulu sama ada telah diterima di tanah air sendiri.

Namun Ajai pula mempunyai pandangan peribadinya tersendiri. Kata komposer muda kreatif itu, keterbukaan yang keterlaluan untuk menerima pemuzik luar terutama dari Indonesia boleh membunuh industri muzik tempatan.

Kata Ajai, ketegasan perlu ada dalam konteks membenarkan kebanjiran pemuzik luar.

“Artis Malaysia sangat susah untuk menembusi pasaran industri muzik Indonesia tetapi perkara sebaliknya berlaku di sini.

“Di Indonesia, anak-anak seni di sana mempunyai semangat persatuan yang kuat. Mereka ada hak menentukan kemasukan artis asing.

“Dan kalau dibenarkan masuk ke sana, artis Malaysia perlu mengikut garis panduan, misalnya kena menukar lirik lagu ketika membuat persembahan di sana bagi mencerminkan budaya Indonesia,” kata Ajai.

Bagaimanapun, jelas Ajai, tidak mustahil kumpulan muzik Malaysia berupaya mencipta populariti seperti pada zaman kegemilangan Search, Slam dan Exist dulu.

Seminar sehari yang padat dengan pembentangan kertas kerja itu turut menampilkan wakil-wakil penggiat seni daripada golongan akademik seperti Prof. Madya Mohd. Abdul Rahman dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Dr. Mohd. Hassan Abdullah dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

Norman KRU juga mencuri perhatian para peserta seminar apabila dia membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk Industri Muzik Pada Abad Ke-21: Membuka Dimensi Baru.

Sementara itu, Pengerusi Karyawan Freddie Fernandez ketika ditemui selepas berakhirnya seminar itu berkata, Karyawan telah merangka pelan tindakan susulan seminar tersebut.

Karyawan bercadang membawa rumusan permasalahan dalam industri tanah air kepada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Mengulas tentang kehadiran artis baru yang mengecewakan pada seminar itu, Freddie mengakui sikap artis-artis sendiri yang patut dipersalahkan.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

nak comment dikit,memang band indo tuh lebih unggul dari muzik malaysia. karena mereka hanya memikirkan berkarya , tak kesah lah apa tuh "periuk nasi".