Jumaat, Mei 26, 2006

Mahkamah Sesyen: Tertuduh dibebaskan

petikan Harian Metro 25 Mei 2006

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, semalam, melepaskan tanpa membebaskan Zulfaqar Ghazali yang dituduh memperdayakan pengarah urusan sebuah syarikat animasi sebanyak RM40,000, selepas pengadu dalam kes itu tidak dapat dikesan.

Perintah itu dibuat Hakim Akhtar Tahir selepas dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Yusoff bahawa pengadu kes itu tidak dapat dikesan untuk hadir di mahkamah bagi memulakan perbicaraan.

Othman juga memaklumkan kepada mahkamah, beliau sudah menulis surat kepada pihak pendakwaan untuk menarik balik aduan terhadap Zulfaqar.

Zulfaqar, yang dituduh memindahkan wang RM40,000 itu ke akaun Mohamed Nasir Mohamad atau lebih dikenali sebagai penyanyi dan komposer M Nasir, kelihatan terpinga-pinga dengan perintah pelepasan itu dan kemudian mengangkat tangan memohon kepada mahkamah untuk bercakap.

“Yang Arif, memang dirancang supaya pengadu tidak datang kerana polis paksa M Nasir untuk keluarkan wang RM40,000 daripada akaun yang sepatutnya untuk bayar upah peguam saya, untuk dibayar kepada pengadu.

“Saya hendak nama saya bersih sama sekali, saya tahu saya ada hak dan saya benar,” katanya.

Pada 26 April 2005, Zulfaqar, 41, dari Bukit Damansara mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memperdaya pengarah urusan Syarikat Jutakira World Animation Sdn Bhd, Norlina Nordin, wang sebanyak RM40,000 bagi menjual 13 episod cerita animasi ‘Rimba’ keluaran syarikat berkenaan.

Dia dituduh berniat curang mendapatkan peluang perniagaan itu sehingga mendorong Norlina memindahkan wang syarikat sebanyak RM40,000 ke akaun M Nasir sebagai upah untuk tugas itu sedangkan tertuduh mengetahui ia tidak boleh dilakukan.

Zulfaqar yang bekerja sendiri, didakwa melakukan kesalahan itu di Bank Pembangunan Malaysia, Tingkat 18, Menara Bank Pembangunan, Jalan Sultan Ismail, kira-kira jam 9 pagi, 21 November 2004.

Bagi kesalahan itu, Zulfakar dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan sebat, serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.


Saudagar Mimpi ... Opss....ni apa citer ni???

Tiada ulasan: