Khamis, September 28, 2006

Mawi hero filem Aduh Saliha

petikan Harian Metro 28 September 2006
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

BINTANG popular, Asmawi Ani, 26, atau Mawi sudah bersedia untuk bergelar pelakon filem. Penyanyi yang bakatnya dicungkil melalui Akademi Fantasia Musim Ketiga (AF3) itu berkata kalau boleh dia mahu mencuba pelbagai cabang seni.

Ketika ditemui di majlis bersahur bersama Mawi baru-baru ini, anak kelahiran Felda Taib Andak itu menjelaskan dia sudah diberitahu mengenai perancangan terbaru M Nasir mahu menghasilkan filem dari lagu popular Aduh Saliha.

“Tidak banyak yang saya tahu tetapi M Nasir memang ada bercakap dengan saya mahu menghasilkan filem Aduh Saliha dan saya memegang peranan utamanya. Apa pun ia sekadar cakap mulut dan belum ada hitam putih.

“Dalam bercerita M Nasir jelaskan kepada saya filem itu nanti bertemakan misteri dan komedi. Mendengarkan perancangan M Nasir itu timbul rasa minat kerana sejak dulu saya simpan hasrat nak cuba semua cabang seni,” katanya.

Namun begitu, jelas Mawi, dia yakin filem itu bukan semata-mata mahu menjual namanya, sebaliknya dihasilkan dengan begitu teliti dan menepati selera penonton tempatan.

“Sebelum penggambaran dimulakan mesti mereka memberikan latihan kepada semua pelakon. Mana boleh filem itu dihasilkan secara syok sendiri, takut nanti tidak mendapat sambutan, sekali gus gagal di pasaran.

“Penonton filem tempatan semakin bijak, walaupun menampilkan pelakon popular tetapi andai jalan ceritanya kurang menarik ia tetap tidak mendapat sambutan,” katanya.

Mawi turut memberikan beberapa syarat jika ada produksi mahu dia menjayakan sesebuah filem. Pertama, skrip harus bagus dan kedua, tiada adegan romantis terutama bersentuhan antara dia dan pelakon perempuan.

“Saya tidak kisah siapa juga pelakon yang digandingkan dengan saya nanti. Saya juga tidak ada pelakon paling diminati dan rasanya semua punya bakat tersendiri. Tapi kalau artis luar saya minat dengan Salma Hayek,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, sepanjang Ramadan ini Mawi turut sibuk di studio bagi menghasilkan album terbaru Idola Ku Tercinta menampilkan gandingan bintang AF3 itu dengan penyanyi yang pernah diminatinya.

“Dalam album itu saya akan bergandingan penyanyi yang saya minati dari zaman sekolah hinggalah sekarang. Antaranya seperti Jefry Din, Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy), M Nasir, Ramli Sarip, Hattan, Jamal Abdillah dan beberapa penyanyi popular masa kini seperti Yassin dan Datin Siti Nurhaliza.

“Sepatutnya kami sudah masuk studio dalam waktu terdekat ini, namun Datin Siti minta tunda kerana dia sibuk menguruskan rumah tangganya yang baru dibina,” katanya.

Sempena menyambut Ramadan, Mawi turut meluangkan masa beramah mesra dengan peminatnya pada 15 Oktober ini anjuran Maestro Talent & Management, Mawi World Sdn Bhd dan Kelab Sahabat Mawi Malaysia.

Majlis yang bakal berlangsung di Royal Ballroom Palace of the Golden Horses ini turut menganjurkan pelbagai aktiviti seperti pertandingan azan yang menyediakan hadiah berupa pakej umrah, berzanji bersama Mawi dan solat Tarawih berjemaah.

Selain Mawi, ia turut diserikan lagi dengan persembahan bintang Akademi Fantasia Musim Keempat, Diddy, Zila dan kumpulan nasyid Wariqissalam dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor.

Mawi yang pernah menganggotai kumpulan nasyid itu juga akan berduet dengan mereka.

Kepada peminat yang berminat menyertai majlis berbuka puasa bersama Mawi boleh menempah meja dengan harga RM5,000 hingga RM1,500 sementara ahli berdaftar Mawi boleh menempah meja dengan harga RM1,000.

Rabu, September 27, 2006

Sambutan Cipta Ekspres menggalakkan

petikan Berita Harian 27 September 2006
Oleh Zul Husni Abdul Hamid

Tiga puluh komposer, penggiat berkampung tiga hari di Port Dickson cari ilham

DALAM usaha proaktif untuk membangunkan industri muzik tempatan, Music Author’s Copyright Protection (MACP) Berhad dengan sokongan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKwa) menganjurkan bengkel Cipta Ekspres selama tiga hari di Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Membawakan tema, Muzik Jenama Malaysia, 30 komposer dan penggiat seni terkenal berkolaborasi bersama ahli kumpulan masing-masing mencari ilham dan menghasilkan buah fikiran dalam mencipta lagu berteraskan ciri kesenian Malaysia.

Pengerusi MACP, Habsah Hassan berkata, sambutan terhadap penganjuran yang memasuki tahun ketiga itu paling memberangsangkan berdasarkan banyak nama terkenal seperti M Nasir, Adnan Abu Hassan, Johan Nawawi, S Atan dan Zul Mahat yang hadir.

Pemilihan peserta, katanya, berdasarkan cabutan undian yang dijalankan wartawan untuk berlaku adil kerana lebih 2,000 ahli yang menaungi persatuan itu dan ini menyukarkan MACP untuk mengumpulkan mereka semua.

“Jika dilihat kebanyakan peserta adalah nama senior. Namun ini bukan bermakna MACP membelakangkan karyawan muda. Beberapa muka baru turut terpilih menyertai bengkel ini, bagaimanapun mereka menarik diri pada saat akhir kerana ada komitmen lain.

“Kami tidak boleh menghalang kerana faham bengkel sebegini tidak mendatangkan pulangan wang. Apabila mereka menarik diri, kami tiada jalan lain kecuali mengundang ahli jawatankuasa untuk memenuhi kekosongan itu,” katanya.

Jika pada dua acara terdahulu, MACP tidak memfokuskan bengkel itu kepada tema khusus, tahun ini mereka mengangkat tema Jenama Muzik Malaysia bagi menggalakkan penghasilan lagu berteraskan muzik tempatan.

Peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan, seterusnya bekerjasama menghasilkan sebuah lagu lengkap yang didendangkan artis jemputan seperti Nora, Ziana Zain, Syura, M Nasir dan To’ki.

“Dari segi matlamat, penganjurannya belum mencapai 100 peratus kerana masih banyak lagi ruang yang perlu diteroka. Insya-Allah usaha seperti ini akan terus dipergiatkan bagi meneroka sisi baru dalam penciptaan lagu,” katanya.

Habsah tidak menafikan, bengkel anjuran MACP mempunyai matlamat besar malah ingin mengembangkannya di peringkat tertinggi namun usaha itu tidak akan bermakna jika tidak disokong banyak pihak lain.

“Sokongan banyak pihak diperlukan untuk memastikan karya yang dihasilkan tidak tenggelam begitu saja. Sebagai contoh lagu Awan Yang Terpilu nyanyian Ning Baizura yang dicipta ketika bengkel seperti ini.

“Ia menjadi sebutan apabila dirakamkan semula dan mendapat sokongan stesen radio. Begitu juga harapan yang kami letakkan untuk lagu yang dihasilkan dalam bengkel kali ini. Justeru, sokongan pihak seperti KeKKWa akan membantu untuk memperkuatkan lagi usaha itu,” katanya.

Sepanjang tiga hari bengkel, 10 lagu berjaya dicipta iaitu Sayang Pantun Budi (ciptaan S Atan, Asmin Mudin dan Yusri Yusuf), Nur Suci (Wan Zul, Azam Dungun), Apa Adanya (Khairil Johari Johar, Aidit Alfian, Ad Samad dan Audi Mok) dan Miliknya (Fauzi Marzuki dan Bob Lokman).

Lagu lain yang dihasilkan adalah Joget Si Bunga Kekwa (Ramlan Iman, Salamiah Basiron, Keon dan Is Wow), Dalam Nyata dan Fantasi (Is Wow, Azmeer dan Keon), Qalbu (Johari Teh, To’Ki dan Bob Lokman), Pengemis (M Nasir, Andi Rahman, Arab dan Anuar Dahalan), Ku Tetap Menanti (Adnan Abu Hassan, Ayub Ibrahim, Azam Dungun) dan Sayangnya (Johan Nawawi, Zul Mahat dan Bob Lokman).

Bagaimanapun katanya, menyedari suasana pasaran album yang kurang memberangsangkan MACP bercadang menerbitkan sendiri di samping mencari jalan baru untuk memasarkan lagu terbabit.

“Mungkin kami akan menjualnya menerusi internet sekiranya tiada pihak yang menghargai usaha ini. Tetapi, kami akan memastikan penerbitan album tidak bercanggah dengan peranan MACP kerana persatuan ini perlu melindungi ahlinya,” katanya
Tambahan artikel BiPop 26 September 2006


tambahan artikel BiPop 26 September 2006

Joget Si Bunga Kekwa bawa tuah
Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

LUNAK suara Syura dan merdunya irama tradisi Melayu akhirnya membawa kemenangan buat lagu Joget Si Bunga Kekwa karya bersama Ramlan Imam, Salamiah Basiron, Keon dan Is Wow dalam Cipta Xpres MACP 2006.

Acara itu berlangsung di Residence Desa Lagoon Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan, Isnin lalu.

Sementara itu tempat kedua dikongsi bersama oleh lagu Apa Adanya karya Khairil Johari Johar, Aidit Alfian, Ad Samad dan Audi Mok dendangan Ziana Zain serta lagu Sayangnya (Johan Nawawi, Zul Mahat dan Bob Lokman, nyanyian M Nasir dan Nora) Dengan pengumuman itu, bermakna usaha Perlindungan Hak Cipta Muzik Malaysia (MACP) mencari lagu yang berkonsepkan Muzik Jenama Malaysia tercapai menerusi bengkel penciptaan lagu yang berlangsung selama empat hari di pusat perangingan itu.

Ramlan berkata, Joget Si Bunga Kekwa sebenarnya satu ekperimentasi beliau dan rakan-rakanya dalam menghasilkan lagu berentak Irama Malaysia atau etnik Melayu.

"Kami sama sekali tidak menyangka bahawa lagu itu akan menjadi pilihan juri. Saya tahu lagu berkenaan agak catchy tetapi pada masa yang sama, kami tidak terlintas ia akan memenangi pertandingan ini. Ia dirasakan sebagai sebuah lagu yang tidak tipikal daripada melodi yang sedia ada," katanya.

Seramai 30 karyawan seni yang terdiri daripada komposer, penggubah lagu, penulis lirik dan pemuzik handalan seperti S Atan, M Nasir, Adnan Abu Hassan, Johari Teh serta Fauzi Marzuki memerah idea bersama ahli kumpulan masing-masing untuk mencipta lagu baru dalam bengkel terbabit. Bengkel berkenaan anjuran MACP dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa).

Ia sejajar pelan induk kementerian di bawah Program Pembangunan Industri Muzik Malaysia. Komposer dan pemuzik itu diberi peluang berkumpul di tempat yang selesa untuk mencipta lagu yang serasi dengan tema itu.

Ia juga bermatlamat untuk melahirkan karya yang berasaskan ciri-ciri kesenian Malaysia dengan elemen muzik kontemporari.

Bagi Johan Nawawi, bengkel itu memberi peluang kepada ahli MACP bekerjasama menghasilkan karya dalam suasana tenang tanpa gangguan.

"Ia sebagai dorongan kepada kami supaya dapat melahirkan ciptaan yang segar, asli, berasaskan muzik Malaysia yang boleh menjadi kebanggaan kita semua.

"Walaupun masa yang ditetapkan agak suntuk namun dengan keperluan yang disediakan, kami berkongsi ilmu untuk melahirkan daya kreatif tinggi dan menghasilkan lagu yang lebih mencerminkan identiti sendiri.

"Ini adalah kali pertama saya berkesempatan menyertai bengkel ini selepas tiga kali diadakan," katanya.

Selain lagu Joget Si Bunga Kekwa, Apa Adanya dan Sayangnya, lagu lain yang dipertaruhkan ialah Sayang Pantun Budi ciptaan dan lirik S Atan, Asmin Mudin dan Yusri Yusuf dendangan Syura, Nur Suci (Fauzi Marzuki, Wan Zul dan Azam Dungun - Azmeer) serta Miliknya (Fauzi Marzuki dan Bob Lokman - M Nasir).

Tidak ketinggalan lagu Dalam Nyata Dan Fantasi (Is Wow, Azmeer dan Keon - Azmeer & Is Wow), Qalbu (Johari Teh, To'ki dan Bob Lokman), Pengemis (M Nasir, Andi Rahman, Arab dan Anuar Dahalan - M Nasir) dan Ku Tetap Menanti (Adnan Abu Hassan, Ayub Ibrahim dan Azam Dungun - Nora).

Selasa, September 26, 2006

Propa: Sifu M Nasir mulakan filem cinta Aduh Saliha!

petikan Berita Harian 26 September 2006
Oleh CK

DALAM diam-diam dikatakan sifu M Nasir, kini sudah bersiap sedia dengan skrip dan sedang dalam proses praproduksi untuk memulakan penggambaran filem muzikal cinta, Aduh Saliha!

Judul ini sudah tentu diambil pada lagu Mawi yang meletup dulu. Tentu ramai peminat Mawi tertunggu pula versi filemnya.

CK dapat rasakan, filem ini ada nilai komersial dan sudah tentu Mawi akan jadi hero. Soalnya, siapa akan jadi heroin dan bawa watak Saliha kelak? Mungkin kalau ada kejutan, M Nasir boleh ajak Ina (bekas tunang Mawi) berlakon sama, tentulah lagi gempaq.

Apapun, CK nak tunggu hasil kerja M Nasir kali ini. Dulu filem arahannya, Merah boleh tahan juga tapi kali ini biarlah lebih baik daripada Merah, jangan harap komersial kerana ada Mawi saja. Tak gitu, Nasir?

Khamis, September 14, 2006

Cipta Ekspres cari identiti muzik Malaysia

petikan Berita Harian 14 September 2006
Oleh Rozdan Mazalan

MUSIC Authors Copyright Protection (MACP) bekerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan (KeKKWa), akan mengenal pasti identiti sebenar lagu berwajah Malaysia melalui melalui bengkel yang akan diadakan mulai 16 hingga 19 September ini.

Bengkel yang diberi nama Cipta Ekspres akan diadakan di Residence Desa Lagoon Resort Port Dickson, Negeri Sembilan bersama 30 peserta iaitu komposer, penulis muzik, pemuzik, dan penyusun muzik yang bergabung tenaga melahirkan lagu beridentiti Malaysia.

Pengerusi MACP, Habsah Hassan berkata bengkel kali ketiga diadakan itu bertujuan mencungkil identiti muzik Malaysia sekali gus memperkenalkan muzik berwajah baru itu ke negara luar.

“Kita gembira kerana penganjuran bengkel kali ini mendapat kerjasama KeKKWa yang turut berminat berikutan matlamat murni kita untuk martabat muzik Malaysia ke peringkat antarabangsa melalui lagu.

“Muzik Malaysia kita terlalu universal dan kita perlu mencari wajah sebenar yang mewakili seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan pelbagai budaya.

“Selain itu, skop muzik kita juga masih banyak yang belum diterokai dan muzik Malaysia sebenarnya tidak terikat pada irama Malaysia saja,” katanya pada sidang media, baru-baru ini.

Katanya, tiga lagu terbaik yang dihasilkan akan dipilih untuk diketengahkan hingga ke peringkat antarabangsa dan akan diperdengarkan pada hari akhir bengkel berlangsung.

“Bengkel ini bukanlah pertandingan mencipta lagu, sebaliknya salah satu inisiatif untuk menghasilkan lagu yang mewakili wajah dan jiwa Malaysia,” katanya.

Antara 30 nama peserta daripada 2000 ahli MACP yang akan menyertai bengkel ini yang diumumkan pada sidang media itu ialah M Nasir, Aidit Alfiat, Adnan Abu Hassan, Arab, Azmeer, Bob Lokman, Johan Nawawi, Fauzi Marzuki, Bell, Azam Dungun, Andy (Flop Poppy), Amran Omar, Lan Laga, S Atan dan To’Ki.

Selain itu, tiga artis seperti Ziana Zain, Syura dan Nora diberi pengiktirafan untuk menyanyikan lagu terbaru yang dihasilkan melalui bengkel itu pada malam terakhir 19 September nanti.

Sehubungan itu, lagu hasil Cipta Ekspres ini diharap akan mencerminkan identiti Malaysia yang menjadi matlamat KeKKWa dan MACP untuk melahirkan lagu yang dapat menembusi pasaran antarabangsa.

Isnin, September 11, 2006

Malam Mawi

petikan Berita Harian 11 September 2006
Oleh Zul Husni Abdul Hamid dan Farihad Shalla Mahmud

Anugerah Era 2006 (AE’06) berakhir tanpa sebarang kejutan, sebaliknya menyaksikan juara AF3 unggul dengan tujuh kemenangan

ENAM tahun lalu, ketika AE pertama kali berlangsung, Arena Of Stars, Genting Highlands menyaksikan penyanyi tersohor, Siti Nurhaliza unggul dengan empat kemenangan. Siti mengulangi kejayaan pada AE’02 apabila meraih tiga kemenangan, termasuk mempertahankan trofi Vokal Wanita Pilihan.

Bagaimanapun, bersilih ganti tahun tiada seorang pun artis yang mampu memecah pencapaian penyanyi dari Kuala Lipis, Pahang itu. Siti terus selesa, biarpun pernah tewas tetapi namanya jarang tercicir dalam senarai pemenang.

Bagaimanapun, AE’06 menyaksikan sebutir lagi bintang terus bergemerlapan di langit seni. Biar teruk dilambung dugaan, biar payah jalan yang dibina malah bukan sedikit keringat dan air mata yang menitis.

Tetapi, hari ini dia muncul sebagai wira seni baru. Selepas setahun, usia yang barangkali terlalu muda untuk mengecap kemasyhuran seperti yang diciptanya, dia membuktikan bakat adalah segala-galanya.

Sabtu lalu, Asmawi Ani atau Mawi melakar sejarah tersendiri, malah melakar sebuah lagi catatan baru dalam diari penganjuran AE.

Daripada tujuh pencalonan yang diterima, anak Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu merangkul lima kemenangan.

Sebuah pencapaian yang cukup mengagumkan, apa lagi bakat bintang realiti sepertinya sering kali diragui. Sebelum ini banyak pihak meramalkan populariti yang dinikmatinya tidak mungkin bertahan lama.

Telahan itu akhirnya dimakbulkan Tuhan bertukar menjadi doa dan malam kelmarin, Mawi menutup mulut mereka yang selama ini kurang yakin dengan kemampuannya untuk bertahan lama sebagai anak seni.

Dia menerima trofi Artis Harapan Pilihan, menewaskan dua teman seangkatannya di Akademi Fantasia (AF) 3 iaitu Felix dan Idayu, serta mengenepikan saingan daripada bintang Malaysian Idol, Nikki dan Adibah Noor.

Mawi juga menghampakan sifunya, M Nasir dalam kategori Vokal Lelaki Pilihan, sekali gus menafikan peluang Adam, Hazami dan Zahid.

Lagu nyanyiannya bersama M Nasir, Lagu Jiwa Lagu Cinta mengungguli kategori Video Muzik Pilihan, manakala Kian pula diangkat peminat sebagai Lagu Pop Pilihan. Untuk kategori itu, Mawi menewaskan Siti yang mempertaruhkan lagu Biarlah Rahsia, selain lagu nyanyiannya sendiri, Lagu Jiwa Lagu Cinta.

Tidak cukup kejayaan itu, Mawi terus unggul apabila Aduh Saliha yang memperkenalkan namanya sebagai penyanyi diangkat pemenang Irama Global Pilihan.

Malam milik Mawi terus bersinar apabila dia menerima dua lagi anugerah khas, Anugerah Carta Era menerusi lagu Aduh Saliha, selain mempertahankan trofi Artis Pilihan SMS DiGi yang dimenanginya tahun lalu.

Bagaimanapun, Mawi gagal mengekang populariti Zahid dan Nikki yang berpadu suara menerusi lagu Caramu untuk dijulang sebagai pemenang Vokal Duo/Berkumpulan Pilihan apabila tewas dalam kategori itu.Kejayaan Nikki dan Zahid membuktikan bintang realiti masih punya pengikut setia, biarpun mereka kini tidak lagi berada di puncak populariti. Zahid dan Nikki menewaskan gandingan Spider/Ella, Too Phat/Siti Nurhaliza dan Ruffedge.

Siti yang menerima tiga pencalonan, bagaimanapun tidak pulang tangan kosong apabila mempertahankan trofi Vokal Wanita Pilihan yang dimenanginya, tahun lalu. Ia adalah kemenangan keempat Siti selama enam tahun AE dianjurkan.

Dua tahun menyaksikan penguasaan Spider bagi kategori Band Pilihan, trofi itu berpindah tangan apabila dimenangi kumpulan popular Indonesia, Dewa 19. Kemenangan yang tidak mengejutkan apa lagi kategori itu didominasi kumpulan muzik terkenal dari negara jiran itu.

Lima tahun menanti, akhirnya trofi Lagu Nasyid Pilihan kembali semula ke tangan Rabbani yang memenanginya menerusi lagu Nawaitu. Untuk kategori itu, Rabbani menghadapi saingan nama besar dalam genre itu seperti Raihan, In-Team dan Brothers.

Jika pun ada kejutan, barangkali kemenangan Estrange yang mengungguli kategori Artis Inggeris Tempatan Pilihan. Mungkin populariti bintang AF4, Rich yang juga anggota kumpulan itu membantu Estrange mendapat undian besar penonton.

Bagaimanapun, kemenangan mereka masih menjadi tanda tanya terutama terpaksa berdepan dengan bukan calang-calang calon iaitu Jaclyn Victor, Pop Shuvit dan Too Phat. Di mana kelebihan Estrange?


Senarai pemenang Anugerah Era 2006

Artis Harapan Pilihan: Mawi
Vokal Wanita Pilihan: Siti Nurhaliza
Vokal Lelaki Pilihan: Mawi
Vokal Duo/Berkumpulan Pilihan: Nikki/Zahid
Band Pilihan: Dewa 19
Irama Global Pilihan: Aduh Saliha (Mawi)
Lagu Nasyid Pilihan: Nawaitu (Rabbani)
Artis Inggeris Tempatan Pilihan: Estrange
Lagu Rock Pilihan: Diari Seorang Lelaki (Pretty Ugly)
Lagu Pop Pilihan: ian (Mawi)
Pilihan Kaki Wayang Era: Baik Punya Cilok (Tayangan Unggul)
Video Muzik Pilihan: Lagu Jiwa Lagu Cinta (Mawi/M Nasir)

Anugerah Khas:

Anugerah Certa Era: Aduh Saliha (Mawi)
Anugerah Seni Era: Datuk Maria Menado
: Seniwati Zaiton Abdul Hamid
Artis Pilihan SMS DiGi: Mawi

Selasa, September 05, 2006

Akan datang...



Berita yang menggembirakan diterima dari Kelab Sahabat menyatakan Luncai Emas sudah memiliki laman webnya sendiri di http://www.luncaiemas.com.my Walaupun ia masih dalam pembinaan diharap dengan adanya laman rasmi ini menjadi jambatan komunikasi dan maklumat antara peminat & karyawan yang bernaung di bawah Luncai Emas.

Tahniah Luncai Emas!