Ahad, Januari 21, 2007

AJL 21 milik Azlan atau M. Nasir?

petikan Mingguan Malaysia 21 Januari 2007
Gambar dari laman AJL21

Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN


Milik siapakah trofi Juara Lagu 21? Apakah benar bagai diteka bahawa malam ini bakal menjadi milik komposer muda Azlan Abu Hassan? Itu desas-desusnya, tetapi sama ada ramalan itu benar atau tidak, jawapannya hanya akan kita ketahui menjelang detik-detik Anugerah Juara Lagu 21 (AJL 21) malam ini.

Lagu Terlalu Istimewa ciptaan komposer itu yang akan didendang oleh Adibah Nor dikatakan mempunyai peluang cerah untuk diangkat sebagai juara pada pertandingan yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil ini.

Rata-rata karyawan seni menganggap jika tidak diangkat sebagai lagu yang paling hebat sekalipun, Terlalu Istimewa dipercayai mampu menawan juri untuk diangkat sebagai juara kategori Balada kerana kelainan melodinya.

Lagu berlirik mudah itu memberi kesan yang cukup besar kepada pencipta, penyanyi dan pendengar kerana ia adalah dedikasi khas kepada kanak-kanak mangsa rogol yang meninggal dunia, Nurul Huda Abdul Ghani pada Januari 2004.

Malah ia juga dikatakan sebagai sebuah lagu yang menepati tema yang diangkat oleh penganjur iaitu Rentak Kita Rentak Dunia.

Azlan akan bersaing dengan komposer lain seperti Zulkifli Mahat pencipta lagu Secebis Harapan yang dinyanyikan oleh Nora, Mungkir Bahagia ciptaan dan nyanyian Hazami manakala Ajai mempertaruhkan lagu Ku Seru dendangan Misha Omar.

Seperti diperkatakan, untuk Terlalu Istimewa memenangi kategori Balada bukanlah sesuatu yang sukar kerana keindahan yang ada di dalam pembikinan lagu berkenaan berbanding dengan saingannya.

Bagaimanapun untuk yakin bahawa lagu berkenaan meraih tempat utama seterusnya diiktiraf sebagai juara AJL 21 masih boleh diragukan.

Ini kerana saingan yang lebih sengit menanti Azlan terutamanya melalui hasil ciptaan komposer dari kategori Pop Rock. Kategori berkenaan mempertaruhkan dua lagu ciptaan M. Nasir iaitu Juwita Citra Terindah dan Lagu Jiwa Lagu Cinta yang dinyanyikan secara duet oleh M. Nasir dan Mawi.

Selain itu kategori yang sama turut mempertandingkan lagu Diari Seorang Lelaki nyanyian Pretty Ugly dan Tak Tercapai Akalmu oleh Aidit Alfian.

M. Nasir dilihat mempunyai banyak peluang untuk membolot anugerah dalam kategori ini melalui lagu Juwita Citra Terindah seterusnya mengungguli juara AJL 21. Begitu juga dengan melodi Lagu Jiwa Lagu Cinta yang juga dikatakan mempunyai peluang yang sama rata dengan Juwita untuk meraih kemenangan.

Apatah lagi M. Nasir dan Juara Lagu dilihat cukup sinonim setelah beliau mengungguli anugerah berkenaan selama beberapa tahun sebelum ini.

M. Nasir pernah mengungguli Juara Lagu melalui Isabella (1989), Tanya Sama Itu Hud-Hud (1994), Ghazal Untuk Rabiah (1997) dan Andalusia (1999).

Pun begitu saingannya tetap ada terutamanya melalui Tak Tercapai Akalmu nyanyian artis remaja, Elyana. Komposer lagu berkenaan, Aidit Alfian yang sememangnya terkenal dengan idea baru dilihat antara calon yang agak istimewa untuk mengungguli kategori berkenaan.

Ini menjadikan cabaran untuk kategori pop Rock dilihat lebih mendahulu kategori lain bagi mewarnai Juara Lagu 21. Bagaimanapun segalanya masih belum pasti. Lain orang lain seleranya dan kami pasti setiap juri yang diberi tanggungjawab memilih pemenang juga mempunyai cita rasa yang berbeza dengan apa yang diramalkan.

Bagi kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif pula persaingan dilihat lebih ketara antara lagu Warkah Buat Laila ciptaan Ayob Ibrahim dan juga Hantaran Hati ciptaan Nik Nizam.

Dua lagi lagu yang bertanding dalam kategori berkenaan ialah Zapin Cinta SMS ciptaan Anuar Dahlan dan Candak ciptaan Suhaimi Mohd. Zain.

Dengan tema Rentak Kita, Rentak Dunia, Anugerah Juara Lagu yang bakal berlangsung malam ini bukan sekadar satu anugerah atas dasar kelangsungan semata-mata.

Sebaliknya ia adalah manifestasi kerja keras dan kecekapan idea karyawan seni di negara ini untuk sepanjang tahun 2006 yang lalu. Rentak Kita, Rentak Dunia telah dipilih sebagai tema Anugerah Juara Lagu ke-21 demi menggalak penciptaan lagu yang selari dengan aliran muzik dunia walaupun masih mengekalkan ciri-ciri identiti tempatan.

Sehingga kini pencipta dan penggubah tempatan telah menampilkan kreativiti mereka ke arah ini melalui karya berbentuk fusion yang menggabungkan pelbagai irama, rentak atau gubahan muzik.

“Kreativiti ini amat perlu dan harus digalakkan untuk mengangkat industri muzik kita ke satu tahap yang lebih dinamik dan dapat diiktiraf hingga ke peringkat antarabangsa,’’ kata Pengurus Besar Jabatan Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3, Azhar Borhan.

Orang ramai bukan saja berpeluang menyaksikan acara ini di stadium melalui pembelian tiket, malah penonton rumah juga dapat menghayati persembahan tersebut menerusi siaran secara langsung di TV3 mulai pukul 8.30 malam.

Artis seperti Mawi, M. Nasir, Misha Omar, Zahid, Nora, Pretty Ugly, Elyana, Adibah Noor, Hazami, Senario, Siti Nordiana, Bob dan Aspalela Abdullah akan mempersembahkan lagu-lagu yang dipertandingkan.

Untuk anugerah Juara Lagu pemenang akan menerima hadiah wang tunai RM25,000 berserta trofi. Manakala untuk juara setiap kategori bakal menerima RM12,000 beserta trofi. Selain itu Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik masing-masing akan menerima RM10,000.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tumpang tanya sikit,... dalam artikel ini mengatakan M,Nasir pernah mengungguli Juara Lagu melalui Isabella (1989). Seingat aku Isabella digubah oleh Search dan liriknya oleh Bob. Mana yang betul ni???

Tanpa Nama berkata...

U are cool dude! Caya la sifu & Mawi. Hang pa membuktikan yg korang mmg ada bakat melawak. Aku tersengih dan tergelak tak terhenti-henti tengok
aksi Sifu & Mawi dgn wig tu. Memang menghiburkan!

Tahniah juga kerana lagu Juwita menang Kategori Pop kali ini.

Saudagar Mimpi berkata...

Tak disangka-sangka dgn gimik Mawi & M Nasir pakai rambut palsu. Mungkin Lagu Jiwa Lagu Cinta ini dah terlalu biasa dinyanyikan di pentas umum. Gimik sebegini sememangnya perlu.
M Nasir juga pulang tanpa tangan kosong.
Tahniah sifu!

Oh ya encik anonymous, seingat Saudagar yg merujuk pada kulit album Search, lagu Isabella tu mmg ciptaan Search.

Tanpa Nama berkata...

Kemenangan M Nasir tanpa Mawi membuktikan, M Nasir masih "sifu" pada anak muridnya itu.