Isnin, Januari 22, 2007

Siapa paling 'over' dalam AJL 21?

petikan Mstar 22 Januari 2007
Radin Sri Ghazali dan Wahida Asrani

Kemuncak Anugerah Juara Lagu sudahpun melabuhkan tirainya dengan satu kemenangan yang dirasa adil untuk semua yang bertanding.

Malam yang mempertaruhkan 12 buah lagu daripada 11 orang penulis serta 11 orang komposer berentap untuk merebut gelaran Juara Anugerah Juara Lagu 21.

Sememangnya, penampilan Adibah Noor menerusi lagu yang mengangkatnya di persada muzik tempatan, Terlalu Istimewa, hasil karya Azlan Abu Hassan telah membuktikan bahawa dia memang salah seorang peserta favourite di kalangan penonton di Stadium Bukit Jalil dan juga di rumah.

Nyanyian Adibah yang syahdu serta meresap di dalam jiwa itu diringi oleh koir kanak-kanak.

Adibah ternyata mempunyai vokal yang mantap pada malam itu dan dia berjaya memukau penonton-penonton di stadium sehinggakan mereka berdiri sambil bertepuk tangan sebaik sahaja selesai persembahannya itu.

Berbaloilah dirinya dinobatkan sebagai juara vokal terbaik pada malam itu jua.

Walaupun penyanyi yang bersuara besar ini memulakan cabarannya pada malam tersebut agak hambar menerusi duet bersama kumpulan lawak popular Senario menerusi Zapin Cinta SMS, ternyata Adibah sedar dan bangkit untuk menyanyikan lagu yang diberikan khas kepada arwah adik Nurul Ghani yang merupakan seorang mangsa sifat kerakusan manusia.

Manakala, penyanyi serta komposer tersohor M.Nasir pula memberi persembahan yang bertenaga menerusi lagu nyanyiannya Juwita Citra Terindah walaupun berada dalam keadaan yang sederhana sahaja.

Namun, keasyikkan serta penghayatan lagu yang ditujukan kepada golongan wanita yang sempurna membuatkan lagu tersebut menonjol daripada lagu-lagu yang turut bertanding dalam kategori pop rock.

'Kesempoian' Sifu M Nasir mengkin membawa tuah kepadanya pada malam tersebut untuk merangkul juara kategori pop rock.

Jika malam AJL dipenuhi dengan nyanyian bernada tinggi dan suara lantang, lain pula dengan juara Akademi Fantasia 2, Zahid dengan lagunya Warkah Buat Laila.

Bak kata Zahid, tugas yang digalaskan olehnya untuk membawa lagu ciptaan Ayob Ibrahim dan Habsah Hasssan agak berat dan khuatir jika dia gagal untuk membawa kesempurnaan kepada lagu yang pernah memenangi Lagu Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) 2005.

Namun, vokal Zahid yang tidak keterlaluan serta sederhana bagaikan kunci kejayaan apabila lagu tersebut meraih gelaran Juara Kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif.

Persembahan yang turut diiringi dengan pemain-pemain alat muzik tradisional baik dari kaum India, Cina dan Melayu.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Zahidlah anak didik AF yang paling menonjol dalam AJL21 berbanding dengan Bob dan Mawi.

Hazami yang pernah menjanjikan persembahan dramatik berjaya menunaikan janjinya menerusi persembahan lagu Mungkir Bahagia.

Dia diiringi sekumpulan koir yang mengenakan topeng serta melakukan pantomin dramatis sewaktu persembahan lagu tersebut.

Wajah Hazami yang benar-benar menghayati lirik lagu tersebut membuatkan para penonton terharu dengan persembahan keseluruhan guru vokal tersebut.

Berbaloi jua usaha Hazami apabila dia dinobatkan sebagai persembahan terbaik pada malam itu.


Persembahan Hazami berjaya memukau panel juri apabila dia diberi kemenangan menerusi persembahan terbaik pada malam itu

Namun, terdapat beberapa kekecewaan pada beberapa persembahan pada malam itu.

Kumpulan Pretty Ugly menerusi dendangan lagu Diari Seorang Lelaki ternyata bagaikan tidak sesuai untuk bergelar finalis pada malam itu.


Terlalu selamba... Begitulah kata-kata yang dapat menggambarkan Neves Pretty Ugly yang kurang menyerlah menerusi vokalnya yang tenggelam timbul dan aksinya yang amat bersahaja

Nyanyian Neves yang lintang pukang serta tidak konsisten merosakkan penyusunan lagu yang baik.

Kononnya mahu kelihatan selamba, namun keselambaan Neves membawa padah kepada keseluruhan persembahan kumpulannya itu.

Aksi lawak yang tidak menjadi menerusi duet Lagu Jiwa Lagu Cinta tidak menjadi apabila M.Nasir dan Mawi kelihatan seperti 'seniman jalanan' untuk acara berprestij itu.

Malah, ini menunjukkan tahap kesungguhan mereka yang bagaikan tidak berminat untuk bertanding.


Apa yang dibuat oleh Mawi? Persembahan gila-gila M.Nasir dan Mawi kurang menjadi pada malam AJL. Kelihatan persembahan mereka agak bersahaja seumpama memberi persembahan pada sebuah konsert biasa

Gambar tambahan dari Forum CariDengan menggunakan rambut palsu serta aksi Mawi berbaring di atas pentas mungkin dapat mencetuskan gelak ketawa di kalangan para penonton tetapi ternyata mereka tersungkur di hadapan mata pihak juri dengan gimik yang tidak menjadi tersebut.

Antara lagu-lagu lain yang turut bertanding adalah Hantaran Hati (Bob dan Aspalela Abdullah), Ku Seru (Misha Omar), Candak (Siti Nordiana), Tak Tercapai Akalmu (Elyana) dan Secebis Harapan (Nora)

Malam yang berkonsepkan Fusion Glamor itu diacarakan oleh Ally Iskandar, Fara Fauzana dan Cheryl Samad.


Ima bersama Too Phat berjaya menggegarkan stadium Bukit Jalil dengan aksi gelek daripada anak didik Inul

Antara selingan kepada malam tersebut adalah persembahan medley oleh beberapa orang artis tempatan dan dari negara jiran seperti Too Phat dan Ima (How Me Seksi), Yassin, Too Phat dan Daly Ahli Fiqir (Alhamdulillah) dan Ruffedge bersama Noraniza Idris dalam Onjak Sekaki.

Pemenang Anugerah Khas Mstar

Penyanyi paling banyak attitude :

Elyana (Tak Tercapai Akalmu)

Hazami (Mungkir Bahagia)

Penyanyi terlampau selamba :

M.Nasir (Juwita Citra Terindah)

Neves (Pretty Ugly) - (Diari Seorang Lelaki)

Penyanyi yang paling 'over' :

Mawi (Lagu Jiwa Lagu Cinta)

Senario (Zapin Cinta SMS)


Kontroversi juri lagi?

Setiap kali berlangsungnya Anugerah Juara Lagu, tidak sah jika 'kontroversi' tidak tercetus. Kali ini, sekali lagi khidmat juri profesional yang membuat penilaian terhadap lagu dan persembahan malam tadi dipertikaikan.

Pemilihan Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Farisha Pawan Teh sebagai salah seorang juri dan Pengurus Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3, Azhar Borhan sebagai Ketua Juri untuk AJL21 telah menimbulkan tanda-tanya banyak pihak memandangkan sebelum ini pihak TV3 berkali-kali menegaskan tidak mahu campur tangan di dalam penilaian keputusan AJL.

Mengulas hal ini, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Farid Ridzuan berkata, tidak timbul isu menggunakan 'orang sendiri' di dalam penjurian tersebut, tambahan pula AJL adalah produk stesen itu sendiri.

"Kita percaya kepada ketelusan. Jika orang ingin mempersoalkan kelayakan Azhar sebagai Ketua Juri, saya tidak nampak mengapa ia salah. Azhar sebelum ini pernah menjadi ahli Akademi di RIM hampir 15 tahun.

"Pemilihan juri pada malam ini jika kita lihat adalah seimbang dari segala aspek. Lagipun, saya rasa keputusan malam ini juga bukan diluar jangkaan," ujar beliau.

Dalam pada itu, Azhar turut menambah isu penjurian memang sering tercetus setiap kali AJL diadakan. Namun, tegasnya, barisan juri yang membuat penilaian pada AJL21 ini bukanlah calang-calang orang.

"Mereka (juri) yang lebih kepada penciptaan, mesti akan menilai dari aspek teknikal, manakala yang lain akan menghalusi aspek lain pula. Kami gabungkan banyak elemen di dalam penilaian ini," ujarnya.

Ditanya akan kelebihan Terlalu Istimewa, berbanding lagu Warkah Buat Laila yang pernah dinobatkan sebagai Lagu Terbaik pada Anugerah Industri Muzik tahun lalu, Azhar menjelaskan, lagu nyanyian Adibah Noor itu mempunyai pakej lengkap untuk bergelar Juara Lagu.

"Ia ada mesej mendalam selain melodi dan gubahan lagu yang baik. Bukan itu saja, kita mengambil kira peranan penyanyi juga.

"Tidak dinafikan, Warkah Buat Laila adalah sebuah lagu yang bagus. Tapi, dari segi keberkesanan, Terlalu Istimewa lebih mempunyai impak yang 'istimewa'," ujar Azhar.

Tiada ulasan: