Jumaat, Februari 23, 2007

Mesra Sokmo di Terengganu

petikan Utusan Malaysia 23 Februari 2007

PARA peminat di Terengganu, jangan lepaskan peluang untuk beramah mesra dengan artis pujaan anda pada beberapa acara Mesra Sokmo Cit Cat 7 anjuran Azwan Ali Productions dengan kerjasama kerajaan Terengganu bermula 23 hingga 26 Februari ini.

Meraikan enam tahun penganjuran program tersebut, penerbitnya, Azwan Ali yang hari ini dalam perjalanan ke Terengganu mengakui merasai debaran yang luar daripada kebiasaan.

Ini kerana selain ia telah menjadi antara acara yang dinanti oleh industri, Mesra Sokmo Cit Cat 7 adalah bukti kerja keras Azwan selama ini.

“Sebab ada yang memandang rendah kerja-kerja yang saya lakukan selama ini dan mahukan Azwan Ali berkubur. Saya berdoa semoga kejayaan projek ini dapat menutup mulut-mulut golongan minoriti itu,” kata Azwan Ali.

Walaupun sibuk menguruskan acara tahunan yang buat julung kalinya diadakan di Terengganu itu, Azwan masih sempat menjalani penggambaran Tipu Kiri Tipu Kanan, terbitan Astro Shaw sejak dua minggu lalu.

Program tahunan itu dijayakan bersama oleh Astro sebagai penyiar rasmi, manakala majalah HAI sebagai majalah rasmi. Rakaman program sepanjang tiga hari itu akan ditayangkan selama satu jam pada cuti umum 1 dan 2 Mei ini di Astro Ria.

Program Mesra Sokmo Cit Cat 7

24 Februari

*Pukul 12 tengah hari - lebih 40 artis meraikan anak- anak yatim Asrama Darul Falah di A&W Batu Burok.

*2.30 petang - dari Batu Burok kesemua artis berarak ke Dataran Shah Bandar. Peminat yang menyertai perarakan, akan diberi hadiah sebagai cenderamata.

*3.00 petang - artis-artis menjayakan promosi Majalah Hai di Dataran Shah Bandar. Peminat dijemput untuk bergambar dan mendapatkan tandatangan artis.

*8.30 malam - diadakan Konsert Terbuka Mesra Sokmo Cit Cat 7 Terengganu di tempat yang sama. Nama-nama besar industri antaranya M. Nasir, Adibah Noor, Ning Baizura dan Faizal AF4 akan turut menjayakan konsert percuma ini. Pelbagai hadiah lumayan disediakan untuk penonton.

25 Februari

*10 pagi - sukaneka antara artis dan peminat diadakan di Muara Kelab Teluk Warisan.

*8.45 malam - Gala Malam Mesra Sokmo Cit Cat 7 berlangsung di Kelab Warisan Terengganu. Selain persembahan artis, 13 anugerah untuk artis juga diadakan. Anugerah yang dinamakan Mulut Laser itu dibahagikan kepada beberapa kategori termasuk Vokal Terbaik, Persembahan Terbaik, Artis Baru Paling Meletup dan Artis Paling Laser.

Pelakon veteran Aziz Sattar dan Datin Rosnani Jamil akan menerima Anugerah Khas Juri.

“Pemangku Sultan Terengganu dan beberapa kenamaan Terengganu dijangka hadir pada malam gilang gemilang itu,” kata Azwan.

Tiada ulasan: