Selasa, April 24, 2007

Soseh-Soseh: Siti, M Nasir jayakan Hari Ibu

petikan Harian Metro 24 April 2007

JIKA sepanjang April penganjur berlumba-lumba mendapatkan penyanyi popular untuk menjayakan Minggu Setiausaha, bulan depan tidak kurang hebatnya untuk persembahan Hari Ibu yang diraikan pada minggu kedua setiap bulan Mei.

Apa yang SS dengar setakat ini ialah Mawi akan menghiburkan kaum ibu di Hotel Palace Of Golden Horses, Jamal Abdillah pula disambar Hotel Quality City centre dan Restoran Seri Melayu memilih gandingan penyanyi Nash dan Aziz Sattar.

Tapi penganjur yang satu ini, Mahir Entertainment & Production (MEP) nampaknya sungguh berani apabila mempertaruhkan tiga nama hebat dalam industri untuk menjayakan persembahan di Dewan Perdana Felda, Jalan Maktab Off Jalan Semarak Kuala Lumpur pada 20 Mei nanti.

Tiga nama gah yang SS maksudkan itu ialah Datuk Siti Nurhaliza, M Nasir dan Adibah Noor. Tidak cukup dengan itu, persembahan mereka selama tiga jam itu nanti diiringi pemuzik diketuai Aubrey Suwito.

Setahu SS setiap tahun MEP memang tampil dengan pemilihan penyanyi terkenal dan popular seperti Siti, Datuk Sharifah Aini, Anita Sarawak, Khatijah Ibrahim dan Fauziah Latiff.

Siti juga pernah digandingkan dengan Jamal beberapa tahun lalu tetapi inilah kali pertama menggandingkan tiga artis hebat ini. Bagaimanapun SS difahamkan, hanya Siti dan M Nasir yang akan menyanyi manakala Adibah tampil sebagai pengacara.

Walaupun Adibah merupakan penyanyi hebat dan menang pada Anugerah Juara Lagu ke-21 tahun lalu, nampaknya penyanyi Terlalu Istimewa ini tidak keberatan diundang sebagai pengacara. Sebelum ini Adibah juga sudi menjadi pengacara untuk Minggu Setiausaha yang dijayakan bersama Camelia.

Tapi SS difahamkan, peminat Adibah berpeluang mendengar alunan merdu suara Adibah apabila turut menyanyikan dua lagu termasuklah lagu popularnya, Terlalu Istimewa.

SS difahamkan, gandingan Siti dan M Nasir dipilih untuk memberikan kepuasan kepada mereka yang ingin meraikan insan istimewa dan berbaloi dengan bayaran ditetapkan. Ia juga satu projek amal apabila mendapat kerjasama daripada Yayasan Nurjiwa bagi membantu mereka yang memerlukan pertolongan.

Tiada ulasan: