Jumaat, April 06, 2007

Yasmin bawa watak Puteri Pohon Menangis

petikan Berita Harian 6 April 2007

SEGALA-GALANYA lancar apabila watak Saliha seperti menjadi milik Yasmin Isa sehinggalah tiba pada tarikh 21 Mac lalu, rupa-rupanya dia tidak ada ‘jodoh’ untuk disatukan dengan Mawi dalam filem Aduh Saliha.

Sedikit sebanyak, ia agak membingungkan juga kerana ia dibuat pada saat akhir, tetapi Yasmin tidak mengikut perasaan kecewa apabila masih mampu tersenyum apabila dihampiri wartawan.

Beliau masih baru dalam dunia lakonan. Pembabitannya dalam lakonan secara aktif hanya bermula setahun lalu apabila berlakon dalam beberapa drama seperti Marabuka yang turut dibintangi Hani Mohsin. Yasmin berasal dari Alor Gajah, Melaka pernah berlakon dalam drama Cinta Ikon dan Curahan Kasih. Sebelum itu, beliau sering juga muncul di kaca TV tetapi untuk pelakon iklan memperagakan produk kecantikan, syampu, makanan segera dan telekomunikasi.

Bagi pelakon berusia 27 tahun itu, dia tidak kisah tidak dipilih sebagai pelakon yang membawa watak Saliha kerana mendapat peluang berlakon di bawah arahan M Nasir sudah membanggakan kerana ini adalah percubaan pertamanya untuk muncul di layar perak. Katanya, sikap cerewet bakal pengarah Aduh Saliha itu memang sudah diketahui sejak menjalani uji bakat mencari watak Saliha lagi.

“Memang saya datang buat uji bakat untuk pegang watak Saliha. Dia (M Nasir) pula memang seorang yang sangat cerewet. Saya rasa macam beruntung kerana dalam cerewetnya terpilih juga menjadi salah seorang pelakon Aduh Saliha,” jelasnya lagi.

Yasmin berasakan beliau gagal memenangi hati M Nasir untuk memegang watak Saliha disebabkan faktor kurang pengalaman atau ada sebab lain yang tidak dapat memenuhi cita rasa pengarah itu.

Bagaimanapun, sumber dari kalangan orang paling hampir dengan M Nasir mengatakan Yasmin pada mulanya memang Saliha yang dicari-cari sehinggalah perubahan akhir dengan membuat uji bakat sekali lagi semata-mata mencari calon paling layak untuk digandingkan dengan Mawi.

Mengulas perkara itu, beliau yang agak bingung sedikit, tidak menafikan watak Saliha ditawarkan untuk dirinya.

“Memang pada awalnya saya diberikan watak Saliha, tetapi entah bagaimana, tiba-tiba M Nasir ‘menarik balik’ tawaran watak itu. Sebaliknya, saya diberikan watak lain iaitu Puteri Pohon Menangis, berpasangan dengan Nasir Bilan Khan,” katanya.

Tiada ulasan: