Jumaat, Mei 18, 2007

M Nasir tolak Fasha Sandha untuk watak Saliha

petikan Berita Harian 18 Mei 2007
Oleh Zainuri Misfar

“KITA memang pernah mengundang Fasha Sandha untuk dicuba memegang watak Saliha, tetapi saya fikir dia kurang sesuai,” kata M Nasir.

Selain imej dan penonjolannya yang agak berlebihan atau over expose, Nasir juga berpendapat penampilan serta corak lakonan Fasha kurang mantap.

Jelas lagi, Fasha adalah antara beberapa pelakon yang sudah dikenali dipelawa selain hadir sendiri untuk membuat ujian pemilihan bagi watak utama filem Aduh Saliha. Antara mereka ialah Sharifah Aleeya dan adiknya, Sharifah Amani, Siti Elizad dan Natasha Hudson.

“Saya terima dan hargai mereka kerana meluangkan masa membuat ujian pemilihan ini. Memang lakonan mereka bagus, ada rupa dan nama. Tapi ada ciri-ciri tertentu yang saya berasakan mereka kurang sesuai sebagai Saliha,” katanya semasa ditemui di pejabat The Cameracrew Production Sdn Bhd di Subang Jaya, baru-baru ini.

The Cameracrew Production adalah syarikat yang bertanggungjawab menerbitkan filem Aduh Saliha.

M Nasir membayangkan mereka yang memegang watak Saliha itu seperti Erra Fazira yang hanya boleh dilihat oleh peminatnya di filem saja.

“Saya suka Erra. Dia seorang pelakon yang konsisten, kita hanya boleh melihatnya di filem saja. Tidak pernah kita tengok di TV, kecuali untuk persembahan tertentu, tetapi bukan berlakon. Tapi Erra kurang sesuai sebagai Saliha, apabila digandingkan dengan Mawi, akan nampak seperti kakak dan adik pula,” jelasnya lagi.

Nasir sekali lagi menegaskan calon Saliha bukan saja cantik tetapi menawan kerana ada perempuan yang memang nampak cantik tetapi belum tentu dapat menawan hati ramai orang. Selain cantik, penampilannya mesti matang, dengan wajahnya tidak keanak-anakan tetapi janganlah pula kelihatan seperti ‘berumur’.

Disebabkan pencarian Saliha yang sangat teliti menyebabkan dirinya dianggap sebagai hendak ‘menunjuk-nunjuk’ bagus dan cerewet.

“Apa salahnya cerewet,” jawab Nasir apabila dirinya dikatakan banyak sangat kerenah.

Jelasnya lagi, Mawi mempunyai peminat dari pelbagai golongan dan sebahagian besarnya berumur 30-an ke atas.

“Sebab itu, gadis cantik yang digandingkan dengan Mawi nanti boleh menawan hati peminat Mawi yang berumur lebih 30-an dan matang,” katanya lagi.

Siapa ‘Saliha’ menimbulkan banyak tanda tanya kerana ia tidak dapat diumumkan oleh penerbit dan pengarahnya ketika filem Aduh Saliha dilancarkan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim di Shah Alam, Selangor pada Mac lalu.

“Itu majlis mengisytiharkan kita hendak buat filem ini (Aduh Saliha), bukan nak umumkan siapa Saliha,” jelas Nasir.

Ditanya sampai bila hendak mencari Saliha, Nasir sekadar menjawab, “Sampai saya jumpa (Saliha).”

Katanya lagi, beliau tidak akan terikut-ikut dengan desakan dan kehendak media supaya mengambil mengambil pelakon atau bakat baru tertentu untuk memegang watak utama dalam filem arahannya itu.

“Saya tidak rasa tergugat dengan spekulasi media. Sampai sekarang saya masih mencari orang paling sesuai supaya hasilnya nanti adalah filem itu cantik dan produsernya gembira. Orang lain cepat sebab mereka sudah ada formulanya sendiri. Bukanlah kata cara mereka buat filem itu mudah, tetapi sudah kehendaknya begitu.

“Sesuatu yang baik itu bagi saya adalah dari nilai estetika dan komersial. Itu yang cuba kita buat, yang sudah ada dalam kepala,” katanya.

Sementara itu, penerbit filem Aduh Saliha, Jamal Maarif berkata, disebabkan Saliha masih belum ditemui, jadual penggambaran filem ini terpaksa disusun semula.

Katanya lagi, M Nasir juga sudah dan sedang menyiapkan beberapa lagu khas, seperti lagu tema selain muzik latar untuk filem ini.

“Kalau ikutkan cara saya, (penggambaran) filem ini sudah dimulakan. Tetapi kerana saya hendak buat filem dengan M Nasir, saya kenalah ikut cara dan keinginan dia.

“Walaupun sudah terkeluar dari jadual asal, tetapi ia tidak membabitkan kos yang besar. Buat masa ini kita sedang menyiapkan lakon layar, muzik latar dan sebagainya,” katanya.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kalau susah-susah ambil saja Nurul AF2 dari Sarawak tu. Dia pun ada bakat berlakon juga dan mudah pula mengalirkan airmata. Orangnya pun boleh tahan.

Tanpa Nama berkata...

ambil sahajelah si Heliza AF5 tu. kene jugak dier ngan si mawi.

Tanpa Nama berkata...

M-Nasir tolak FS .. memang keputusan yang tepat. Dah selalu sangat muka dia keluar Filem & TV, pastu plak TV commercial. Penonton sekarang nakkan kelainan.
Macam dulu asyik2 Erra..asyik2 Erra .. Citer Polis pun dia, citer hantu pun dia, citer romantic pun dia.. essshh.. "Jemu".
Kalo sebagai pelakon pembantu Dalam Filem "Aduh Saliha" saya sokong.