Khamis, Oktober 18, 2007

Mawi serasi dengan Puteri Sarah Liyana

petikan Berita Harian 18 Oktober 2007
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

ASMAWI ANI atau lebih dikenali di kalangan peminatnya sebagai Mawi yakin keserasian boleh diwujudkan antara dirinya dengan Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, pelakon yang bergandingan dengannya dalam filem arahan M Nasir, Aduh Saliha.

Ketika hadir pada majlis meraikan kanak-kanak istimewa anjuran Casa Impian di One Utama, 5 Oktober lalu, jejaka dari Kulai ini memberitahu, sehingga minggu berkenaan, baru beberapa babak membabitkan dirinya dengan pelakon wanita berusia 22 tahun itu sudah pun dirakam.

"Memang sudah ada babak membabitkan kami yang dirakam baru-baru ini, tetapi semuanya masih babak yang tidak memerlukan saya dan dia berdialog. Semua babak yang dirakam hanya menunjukkan kami berpandangan dari jauh.

"Namun, saya berasakan, tiada masalah untuk mewujudkan keserasian antara kami berdua," katanya pada majlis yang turut diceriakan dengan celoteh Raja Azura.

Hadir sama pada petang itu ialah Pengarah Urusan Casa Impian Holdings Sdn Bhd, Datin Noorlinda Abdul Talib. Selain beramah mesra bersama kanak-kanak istimewa daripada Individual Mentally Challenge Programme (IMC), Mawi, Azura dan Noorlinda turut menyampaikan duit raya dan cenderahati kepada mereka.

Kata juara Akademi Fantasia musim ketiga ini, sehingga kini, kira-kira 20 peratus daripada penggambaran filem Aduh Saliha sudah berjaya disempurnakan.

"Bekerja dengan M Nasir pula sudah tentu ada cabarannya tersendiri. Paling penting, kita kena faham apa yang dia mahukan. Pada peringkat awal, memang ada ketikanya saya sendiri tidak mengerti kemahuannya.

"Bagaimanapun, selepas beberapa ketika, syukurlah kerana saya sudah boleh membaca apa yang diinginkan. Kiranya, saya semakin memahami watak yang hendak dilakukan," katanya mengenai peranan Man Hero yang dijayakannya dalam filem terbabit.

Ditanya, apakah babak paling sukar dilakonkannya setakat ini, Mawi menjelaskan, baginya kesemua babak susah untuk dilakonkan, berikutan dia masih baru dalam dunia lakonan, yang belum mempunyai sebarang pendedahan dalam filem. Apatah lagi watak yang diberikannya bukan calang-calang, iaitu seorang lelaki yang berada dalam kekeliruan selepas tersesat di alam lain.

Mawi juga tidak menganggap penggambaran yang dijalankan di kawasan hutan Keningau, Sabah, menjadi halangan besar untuknya. Bahkan, dia sendiri tinggal di bangunan pejabat pengawal hutan bersama krew dan pelakon lain pada minggu pertama penggambaran dijalankan, tatkala kebanyakan babak dirakam di hutan tebal. Kini, mereka sudah pun berpindah ke sebuah hotel di kawasan Keningau.

Sementara itu, bercerita mengenai pejabat Mawi World di Wangsa Maju, Mawi sekali lagi mendapat tajaan Casa Impian bagi tujuan hiasan dalaman dan kelengkapan perabotnya. Cuma kali ini, syarikat berkenaan tidaklah menaja sepenuhnya barangan yang digunakan, seperti ketika mereka melengkapkan Teratak Bonda di Felda Taib Andak.

Kata Mawi, dia sendiri sebenarnya tidak kisah bagaimana pejabat Mawi World itu nanti dihiaskan. Begitupun perbincangan bersama pihak Casa Impian akan dijalankan dalam masa terdekat, bagi mendapatkan idea terbaik serta membolehkan kerja pengubahsuaian dan hiasan dalam dilakukan seberapa segera. Mawi dijangka berpindah ke pejabat barunya pada musim perayaan ini.

"Saya berasa selesa dengan bilik tidur saya di kampung. Saya juga puas hati dengan kerjasama mereka ketika melengkapkan Teratak Bonda. Justeru, tidak salah untuk saya sekali lagi bekerjasama dengan Casa Impian, dalam mencantikkan pejabat kami pula," katanya mengenai premis yang turut menyediakan studio latihan menari.

Tiada ulasan: