Jumaat, November 30, 2007

Aduh Mawi, Aduh Nasir!

petikan Berita Harian 30 November 2007
Oleh Farihad Shalla Mahmud

Filem belum siap tetapi kontrak sudah tamat

KALI terakhir dia berada di lokasi penggambaran filem Aduh Saliha di Sabah iaitu pada bulan Ramadan yang lalu sebelum bercuti untuk menyambut Hari Raya. Waktu itu, sempat jugalah Mawi menyiapkan 20 peratus penggambaran filem yang diarahkan penyanyi, pelakon dan komposer tersohor, M Nasir itu. Janjinya, sebaik saja selesai bercuti, Mawi akan kembali menghabiskan baki lakonan yang perlu dilunaskan segera.

Malah masih terngiang-ngiang di telinga bahawa seminggu selepas Aidilfitri, dia harus segera ke Keningau, Sabah bagi menyiapkan penggambaran filem Aduh Saliha. Namun, ibarat menanti buah yang tak gugur, selepas lebih sebulan berehat, sehingga kini jejaka dari Felda Taib Andak ini masih setia menunggu bilakah masanya untuk dia kembali memulakan penggambaran.

"Sehingga kini saya masih menunggu lampu hijau daripada syarikat produksi untuk memulakan penggambaran. Sementara menunggu itu sempat juga memenuhi undangan pertunjukan pentas, buat rakaman dan sesi fotografi. Jadi tak adalah terasa sangat," jelas Mawi sambil mengakui masih belum mendapat apa-apa petunjuk bila produksi terbabit akan memulakan penggambaran.

Ditebak bahawa penggambaran itu tergendala disebabkan masalah kewangan yang dihadapi penerbit filem itu, The Cameracrew Productions Sdn Bhd, seperti yang digembar-gemburkan dalam beberapa ruangan gosip sebelum ini, Mawi hanya menggerak-gerakkan jari telunjuknya sebagai isyarat yang dia tidak tahu menahu akan perkara itu.

"Saya memang tak tahu apa-apa pasal itu. Kalau hendak tahu tanya sendiri dengan produksi terbabit," ujar Mawi berkali-kali. Bagaimanapun, sebagai artis yang jadual hariannya cukup padat, Mawi menaruh harapan penggambaran filem yang menelan belanja sebanyak RM1.5 juta dapat diselesaikan secepat mungkin kerana dia mempunyai banyak komitmen lain yang perlu dilunaskan.

"Apabila berlaku keadaan seperti ini, ia membuatkan saya tertunggu-tunggu. Penantian itu bagi saya satu penyiksaan. Apapun saya menanti apakah penjelasan mereka berhubung penangguhan penggambaran ini," ujar si pelantun Angan dan Sedar ini.

Begitu pun, sesuatu yang mengejutkan yang terpacul dari mulut penyanyi sensasi ini adalah, kontrak lakonannya dengan produksi terbabit sebenarnya sudah pun tamat sebulan lalu. Dan ini menimbulkan persoalan apakah status kontrak Mawi ketika ini kerana kalau mengikut perancangan awal, filem itu sepatutnya siap sepenuhnya sebelum Aidilfitri lalu.

"Apa yang saya tahu sebenarnya kontrak saya dengan syarikat terbabit sudah pun tamat sebelum Hari Raya hari tu. Jadi, saya pun tak pasti apakah status saya ketika ini. Mungkin mereka ada menghubungi pihak Maestro berkenaan hal ini. Tetapi, setakat ini saya memang tak tahu perkembangan lanjut perkara ini," ujar Mawi yang ditemui selepas menjalani rakaman program Oh Lelaki di Astro, Seri Kembangan, baru-baru ini.

Dalam program yang dikendalikan Nana dan Fara Fauzana itu, Mawi menceritakan mengenai transformasi fesyen iaitu sebelum terkenal sehinggalah sekarang. Selain Mawi, turut diundang di studio ialah pereka terkenal, Bon Zainal.

Walaupun terpaksa menunggu lebih lama serta status kontraknya yang tinggal tanda tanya, Mawi berkata dia akan tetap menyelesaikan tanggung jawabnya itu sehingga selesai.

"Alang-alang sudah berlakon, mesti habiskan juga. Walaupun saya akui bukan senang hendak berlakon sebab kena banyak bermain dengan perasaan tapi sebab memang teringin hendak mencuba, kena teruskan juga," balas Mawi sambil mengakui hatinya terbuka untuk berlakon semata-mata kerana teringin bekerja di bawah arahan M Nasir.

Bukan Mawi namanya andai tiada kontroversi melingkari diri dan ada dakwaan yang menyatakan Mawi gagal membawakan wataknya sebagai Man Hero dengan baik sehingga pengarah 'naik hantu' dengannya. Ketika diajukan soalan ini kepada si empunya diri, Mawi menafikan kesahihan cerita itu.

"Setakat ini saya rasa pengarah puas hati dengan apa yang saya berikan. Kalau tak, mesti dia suruh saya lakonkan balik sesuatu adegan itu. Lagipun saya dah serasi bekerja dengannya. Biasanya, dalam lakonan, sebelum mula penggambaran, saya akan tanya dulu dia (M Nasir) apa yang dia hendak dan saya akan cuba buat apa yang dia mahukan," jelas Mawi yang semakin lali dengan fitnah yang dilemparkan terhadapnya.

Ditanya apakah dia serik untuk berlakon selepas apa yang berlaku, tiada jawapan yang terkeluar dari mulut anak muda ini. Sebaliknya Mawi membiarkan pihak media menafsir sendiri apa yang tersirat jauh di lubuk hatinya.

Mengulas lagu Angan dan Sedar yang terpilih ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-22 untuk kategori pop rock, Mawi berkata sebagai penyanyi, dia hanya menjalankan tugas yang diamanahkan padanya dengan baik dan kemenangan itu sebenarnya milik pencipta lagu terbabit, M Nasir.

"Lagu ini sebenarnya unik. Susah untuk kita dengar melodi sebegini pada waktu kini. Apapun, saya berterima kasih kepada juri kerana percaya dengan lagu ini," jelas Mawi yang berjanji akan memberikan persembahan terbaik sewaktu peringkat akhir yang dijadualkan berlangsung tahun depan.

Tiada ulasan: