Rabu, Januari 02, 2008

Azam tahun baru iringi persembahan

petikan Harian Metro 2 Januari 2008
Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my

MESKIPUN sambutan tahun baru diadakan di merata tempat di ibu kota, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur yang menjadi lokasi tradisi setiap tahun tetap menjadi pilihan utama warga kota apabila lebih 30,000 pengunjung membanjiri tempat bersejarah itu seawal jam 6 petang kelmarin.

Menerusi Konsert Sinaran Kuala Lumpur 2008 yang dipersembahkan Kumpulan AmBank, pengunjung bukan saja dihiburkan dengan persembahan kebudayaan dan pertunjukan bunga api, malah turut diserikan dengan nyanyian daripada lima artis terkemuka tanah air, Datuk M Daud Kilau, Mila, Mawi, M Nasir serta Awie & Wings.

Konsert kali ketiga kelolaan AmBank ini dianjurkan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan juga Majlis Tindakan Pelancongan Kuala Lumpur serta mendapat kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan). Ia dihoskan Raianna A Rahman dan Bob Lokman dan turut disiarkan secara langsung di RTM1 dari jam 11.30 malam hingga 1 pagi.

Membuka tirai persembahan, penonton dihiburkan dengan pertunjukan kumpulan gendang yang dinamik dan mengagumkan dari Thailand, Singapura, Sri Lanka, Vietnam dan Venezuela yang menyertai Festival Gendang Antarabangsa Kuala Lumpur 2007.

Mencerminkan perpaduan negara, penonton kemudian diserikan dengan kebudayaan tradisional masyarakat majmuk terdiri daripada persembahan muzik ghazal Melayu, tarian Melayu dari Artis Budaya DBKL dan Artis Cilik DBKL, tarian singa Cina oleh Kumpulan Kun Seng Keng serta Kumpulan Tarian India.

Turut ditampilkan, nyanyian masyarakat Cina dan India (dari penghibur Ice dan Ravetti) serta medley hit popular dari kumpulan The Singing Shop manakala Pengerusi AmBank, Tan Sri Azman Hashim menyanyikan sendiri beberapa lagu kesukaan ramai.

Sementara menantikan detik 12 tengah malam, persembahan kemuncak daripada artis popular dimulai penghibur malar segar, Datuk M Daud Kilau menyampaikan dua lagu popularnya, Cik Mek Molek dan Gila Judi sebelum disusuli juara Akademi Fantasia muism kelima (AF5), Mila mendendangkan lagu Wajah Rahsia Hati dan Untukmu Oh Sayang.

Merancakkan lagi suasana, penyanyi dan komposer, M Nasir meneruskan persembahan dengan menyanyikan tiga lagu iaitu Rajawali, Apokalips dan Juwita Citra Terindah.

Seterusnya, penampilan juara AF3, Mawi menjadi tumpuan utama malam itu apabila kehadirannya di pentas mendapat sorakan dan tepukan gemuruh penonton. Bijak berinteraksi bersama peminat, Mawi menyampaikan lima lagu popularnya, Angan & Sedar, Cinta Zulaikha, Gadis Melayu, Kian dan Perempuan.

Persembahan kemudian direhatkan seketika sementara menantikan detik kiraan 10 saat terakhir oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di pentas utama. Sejurus menjelmanya detik awal 2008, percikan bunga api mewarnai ruang udara bandar raya selama 10 minit berlatarkan lagu patriotik.

Selesai sambutan rasmi, pentas persembahan dirancakkan dengan kemunculan Awie & Wings menyampaikan beberapa rangkaian lagu popular mereka seperti Peronda Jaket Biru, Bujang Senang dan Ranggi Metropolis sebagai penutup tirai sambutan tahun baru.

Hadir sama memeriahkan sambutan, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid serta Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Sewaktu ditemui, Mawi berkata, ini kali kedua dia mengadakan persembahan tahun baru di Dataran Merdeka dan kali ini dia hanya mengambil satu persembahan saja kerana mahu memberi tumpuan penuh.

Katanya, tahun sebelumnya dia agak kelam-kabut kerana mengadakan persembahan malam tahun baru di dua tempat iaitu di Dataran Merdeka dan juga KLCC.

“Azam tahun baru saya ialah ingin belajar muzik dengan lebih mendalam dan mungkin akan menumpukan kepada piano sebagai permulaan. Selain itu, saya juga akan kembangkan bisnes yang kian berjalan lancar dengan pembukaan pejabat baru Mawi World Sdn Bhd.

“Saya juga akan mengeluarkan barangan sekolah berjenama Mawi seperti pakaian, beg dan alat tulis dengan kerjasama Carrefour apabila mereka menyediakan satu ruang untuk meletakkan barangan ini di tempat mereka,” katanya yang akan kembali menyambung penggambaran filem Aduh Saleha Mac ini.

Bagi Mila, peluang pertama kali mengadakan persembahan sempena tahun baru di Dataran Merdeka disifatkan sebagai pengalaman baru yang cukup berharga.

Katanya, dia bukan saja teruja malah seronok kerana dapat menghiburkan ramai peminat.

“Pada 2008 ini, saya mahu memberi tumpuan penuh kepada album solo yang akan menjengah di pasaran tidak lama lagi. Saya juga mahu melakukan persembahan terbaik dan meningkatkan mutu nyanyian serta memperbaiki kelemahan yang ada.

“Sempena tahun baru juga, keluarga saya baru saja berpindah ke Kuala Lumpur kelmarin (Ahad) untuk memulakan kehidupan baru di sini. Dengan adanya mereka di sini, saya harap perjalanan seni saya akan lebih lancar dan fokus,” katanya.

M Nasir pula berkata, menjelang Mac ini dia akan menyambung kembali penggambaran filem Aduh Saleha yang tertangguh beberapa ketika sebelum ini.

Katanya, perubahan ini adalah perkara biasa dalam pembikinan sesuatu filem dan ia bukannya isu besar.

“Saya berharap 2008 akan mengubah senario hiburan tanah air supaya lebih berpihak kepada kita dan bukannya orang luar,” katanya.

Sementara itu, Azman berkata, beliau sangat berpuas hati dengan sambutan tahun baru kali ini dan berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu menjayakan majlis ini.

“Perdana Menteri berpuas hati dengan sambutan ini dan Alhamdulillah cuaca berpihak kepada kita walaupun hujan renyai sedikit. Malah persembahan kali ketiga anjuran AmBank ini kian meriah setiap tahun dan orang ramai terhibur dengan konsep muhibah yang ditampilkan,” katanya.

Tiada ulasan: