Rabu, Januari 30, 2008

Loloq bernafas sendiri

petikan Harian Metro 30 Januari 2008
Oleh Rudy Imran Shamsudin

PENULIS lirik popular, Rosli Khamis, 50, atau Loloq yang dilaporkan koma akibat pendarahan dalam otak semalam sudah mula menunjukkan perubahan selepas menjalani pembedahan kelmarin.

Pencipta lirik lagu dendangan Mawi, Angan dan Sedar yang biasanya kelihatan petah itu kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pakar Damansara, Kuala Lumpur.

Seorang teman rapatnya, penyanyi Hattan sewaktu dihubungi memberitahu keadaan penulis lirik berasal dari Singapura itu kini stabil.

“Saya baru bercakap dengan M Nasir (mewakili keluarganya) yang katanya melalui pemeriksaan doktor keadaan Loloq semakin baik. Memang kelmarin dia koma, begitupun saya difahamkan doktor terpaksa meletakkan dirinya dalam kondisi begitu (koma) bagi membolehkan tubuhnya berehat selepas pembedahan buang darah beku di kepalanya,” katanya.

Hattan menambah, menurut doktor, penulis skrip filem Aduh Saliha dan Orang Minyak itu memerlukan satu atau dua hari lagi bagi melihat perubahan ketara selepas pembedahan dijalankan.

Bercerita lanjut mengenai punca kecederaan dialami, kata Hattan, dia sendiri tidak menerima penjelasan sebenar daripada keluarga Loloq mahupun M Nasir sendiri.

“Saya dan beberapa lagi rakan ke hospital, sayangnya kami tidak dibenarkan masuk melihat Loloq.

“Kami juga difahamkan hanya mereka yang disenaraikan ahli keluarga saja dibenarkan melawat. Waktu sama ahli keluarganya sudah pulang.

“Saya cuba juga bertanya kepada teman lain punca kepada keuzuran kesihatan Loloq tetapi mereka enggan mendedahkannya atas permintaan keluarga.

“Sebagai teman rapat walaupun berasa kurang senang dengan tindakan itu, saya akur bagi menghormati mereka yang kini sedang bersedih dan berasa tidak keruan atas apa berlaku,” katanya.

Seorang lagi teman yang banyak bekerja dengan Loloq, Amy Search sewaktu dihubungi memanjatkan rasa syukur apabila diberitahu alat bantuan pernafasan diberikan kepada Loloq sebelum ini sudah ditanggalkan.

“Ia menunjukkan tanda positif apabila Loloq sudah mampu bernafas sendiri. Sewaktu saya melawatnya kelmarin, jururawat bertanggungjawab menjaganya memberitahu keadaannya agak kritikal.

“Saya mendapat berita mengenai keuzuran Loloq ini menerusi Nasir. Memang saya terkejut apabila menerima perkhabaran ini memandangkan sebelum itu keadaannya baik saja. Kali terakhir saya mendapat berita Loloq berada di Tanah Suci untuk mengerjakan umrah.

“Mendengarkan berita ini memang saya berasa sedih apatah lagi ia berlaku secara tiba-tiba, namun tiada apa yang dapat kita lakukan selain daripada berdoa agar kesihatannya beransur pulih,” katanya.

Sementara itu RAP cuba menghubungi isteri Loloq, Hariah Yaacob bagi mendapatkan penjelasan lanjut, bagaimanapun dia enggan memberikan sebarang ulasan. Cuma menerusi sistem pesanan ringkas yang dihantar, dia berpesan agar semua peminat mendoakan agar kesihatan suaminya cepat pulih.

Selain menulis lirik dan skrip Loloq juga pernah berlakon dalam filem seperti Man Laksa dan Zombi Kampung Pisang. Dia juga juri rancangan Bintang Kecil yang diterbitkan dan disiarkan

Tiada ulasan: