Isnin, April 21, 2008

Tidak popular bukan tak bermutu

petikan Harian Metro 21 April 2008
Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hemtro.com.my

BUKAN pilihan peminat sebaliknya ia adalah keputusan sebulat suara diputuskan juri profesional yang dipertanggungjawabkan mengadili lagu yang bertanding pada tahun ini.

Itulah kenyataan yang harus diterima apabila majlis Anugerah Perlindungan Hak Cipta Penerbit Muzik (MACP) ke-12 mengiktiraf pendatang baru dalam bidang seni suara, Hafiz Hamidun, sebagai juara Lagu Terbaik.

Mungkin sebilangan peminat sukar menerima kemenangan sulung bekas penyanyi nasyid ini, namun apa yang menarik perhatian karya Hafiz, Kau Yang Satu, berjaya menambat hati juri profesional untuk menewaskan empat penyanyi lain yang turut bertanding.

Hafiz yang juga memenangi anugerah Melodi Terbaik dalam Pertandingan Juara Kepada Juara yang julung kali diadakan bagi Anugerah MACP tahun ini, mengatasi Datin Seri Siti Nurhaliza, Kaer Azami, Ash Nair dan kumpulan Silent Scream.

Berdasarkan keputusan 100 peratus juri profesional, karya Hafiz dinilai memenuhi lima kriteria yang ditetapkan iaitu susunan muzik, lirik, melodi, vokal dan persembahan terbaik yang juga mempertandingkan kategori individu. Empat juri profesional yang terbabit, Adnan Abu Hassan, Ramlan Iman, Nasser Abu Kasim dan Profesor Rahman Saari.

Akui penyanyi berusia 24 tahun ini, meskipun lagunya, Kau Yang Satu tidak popular seperti lagu Hati nyanyian Siti atau Izinkan Ku Pergi (Kaer) tetapi ia tidak dijadikan faktor lagu ciptaan sendiri itu gagal pada mata juri profesional.

“Mungkin lagu ini tidak tepat atau bersesuaian dengan kehendak masyarakat yang mendengar dan menilainya. Memang sejak album solo pertama saya muncul di pasaran, kebanyakan pembeli dan peminat terdiri di kalangan pelajar.

“Mereka lebih menyokong album sebegini berbanding segelintir pendengar yang menganggap album dan lagu saya tidak mempunyai nilai komersial atau terlalu berat kerana membawa mesej ketuhanan. Malah ketika saya menghasilkan album ini dulu, ramai memandang rendah kemampuan yang saya miliki sebagai penyanyi dan komposer untuk album sendiri.

“Bagaimanapun, pada aspek lain saya melihat lagu itu diterima positif juri profesional pertandingan ini dan ia kejayaan paling bermakna buat saya” katanya.

Dalam Pertandingan Juara Kepada Juara yang dijadikan acara kemuncak Anugerah MACP pada tahun ini diadakan di Auditorium RTM, Kuantan, Pahang, Hafiz berjaya membawa pulang hadiah utama untuk Lagu Terbaik berupa wang tunai RM10,000 bersama trofi.

Mengulas kemenangan diterima, Hafiz menyifatkan anugerah ini pembakar semangatnya untuk terus berkarya dengan lebih gigih. Tidak dinafikan, Hafiz berkata dua anugerah ini menjadi bukti kesungguhannya menghasilkan album solo bergenre balada dan pop nasyid berbaloi sejak album pertama yang turut menggunakan namanya sebagai judul berada di pasaran 10 bulan lalu.

“Saya menganggap peluang menghasilkan album solo dan usaha meraih sambutan peminat cabaran besar buat saya. Biarpun lagu ini kurang mendapat sambutan peminat tetapi saya berpendapat album ini berjaya memenuhi format pertandingan.

“Terus terang saya katakan, saya tidak kisah mahupun berkecil hati dengan tanggapan masyarakat terhadap album saya kali ini jika mereka tidak boleh terima. Namun, saya meletakkan tekad untuk terus berkerja keras selepas ini.

“ Saya belum puas dengan pencapaian dikecapi dan perancangan untuk album akan datang, saya ingin menampilkan pelbagai genre lagu berbeza seperti irama Malaysia, lagu rakyat dan juga pop nasyid,” katanya.

Berkongsi sama kejayaan bermakna pada malam itu, kejutan juga berlaku pada kumpulan Silent Scream yang berjaya membolot tiga anugerah menerusi lagu Evolusion. Mereka menang Lirik Terbaik, Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik.

Bagi kumpulan ini yang dianggotai, John Oommen selaku vokalis, Tan Hiang Liang (bass), Irwan Haadi (gitar), Yam Wern-Jhien (keyboard) dan Andrew Yap (dram), mereka tidak membuat sebarang jangkaan untuk menang pada pencalonan pertama ini.

John selaku ketua kumpulan berpendapat anugerah tidak hanya mengangkat nama mereka dikenali ramai tetapi mengiktiraf kumpulan muzik yang berasal dari underground terbabit dalam arena arus perdana.

“ Sebaik nama kumpulan kami diumumkan menang, ia kejutan buat kami. Sebagai kumpulan muzik, fokus utama kami hanya mahu membuat persembahan dan soal menang dalam majlis anugerah, itu perkara nombor dua.

“Pada setiap persembahan yang dilakukan, kami mementingkan kepuasan penonton dalam berhibur dengan muzik kami. Jika penonton puas dengan persembahan kami, kami juga gembira untuk terus bermain muzik,” katanya.

Berkecimpung dalam arena muzik underground sejak sepuluh tahun lalu, kumpulan rock ini yang ditubuhkan ketika mereka masih berada di bangku sekolah.

“Sehingga kini, dalam setiap persembahan yang dijayakan, sambutan diterima begitu baik dan menggalakkan. Peminat masa kini semakin terbuka dalam menerima kehadiran kumpulan muzik baru seperti kami.

“Lagu Evolusion yang dipertandingkan membawa mesej positif kepada peminat untuk mengubah cara permikiran ke arah usaha memajukan diri sendiri. Bagi kami, bermain muzik adalah tanggungjawab yang harus diteruskan dan augerah ini sebagai satu galakan agar kami meneruskan perjuangan seni ini,” katanya.

gambar dari murai.com.mySementara itu, dalam sembilan anugerah MACP yang disediakan, komposer M Nasir menguasai kemenangan berganda bagi kategori Komposer Dengan Pendapatan Tertinggi dan turut menang kategori Lagu Melayu Persembahan Terbanyak menerusi Aduh Saliha nyanyian Mawi.

Lebih bermakna, Rosli Khamis atau Loloq juga diberi penghargaan anugerah kategori Penulis Lirik Dengan Pendapatan Tertinggi manakala Michael Wong memenangi dua kategori, Lagu Cina Persembahan Terbanyak dan Lagu Pendapatan Luar Negara Tertinggi.

Dalam kategori Lagu Inggeris Persembahan Terbanyak, anugerah diberikan pada kumpulan VE menerusi lagu Party Like This dan Lagu Luar Negara Persembahan Terbanyak dimenangi, Tippu, yang membawa lagu Paakaatha.

Pada majlis itu, anugerah Khas iaitu Nadi Cipta diberi pada Manan Ngah yang mengiktiraf sumbangan seni dan jasa beliau dalam bidang muzik tanah air. Penyanyi Nurfatima pula menerima anugerah Komposer Muda Berpotensi (bawah 25 tahun) kerana aktif dalam penciptaan lagu penyanyi tempatan lain.


Komen pemenang lain:

“Saya bersyukur kerana lagu saya masih mendapat perhatian peminat dan turut bersyukur kerana berpeluang menyampaikan sebuah anugerah buat Loloq.” - M. Nasir


“Pemuzik adalah golongan yang cukup istimewa dalam masyarakat kerana muzik dianggap ejen pembentuk budaya. Lalu, muzik memerlukan lebih banyak usaha dan keseimbangan agar terus survival pada masa akan datang. Saya dengan rendah hati menerima anugerah ini.” - Manan Ngah


“Biarpun sedikit kecewa dengan album dulu tetapi ia tidak menghalang minat saya untuk menjadi komposer. Anugerah ini menjadi inspirasi untuk lebih berkarya pada masa akan datang dan jika boleh saya mahu memberi fokus pada bidang penciptaan lagu dan nyanyian.” - Nurfatima



Keputusan penuh Anugerah MACP 12:

1. Lagu Inggeris Persembahan Terbanyak - Party Like This (VE)

2. Lagu Cina Persembahan Terbanyak - Tong Hua (Michael Wong)

3. Lagu Melayu Persembahan Terbanyak - Aduh Saliha (Mawi)

4. Lagu Luar Negara Persembahan Terbanyak - Paakaatha (Tippu)

5. Lagu Pendapatan Luar Negara Tertinggi - Tong Hua (Michael Wong)

6. Komposer Muda Berpotensi (bawah 25 tahun) - Nurfatima

7. Penulis Lirik Dengan Pendapatan Tertinggi - Rosli Khamis (Loloq)

8. Komposer Dengan Pendapatan Tertinggi - M. Nasir

9. Nadi Cipta - Manan Ngah



Keputusan Pertandingan Juara Kepada Juara:

1. Susunan Muzik Terbaik - Hati (Siti Nurhaliza)

2. Lirik Terbaik - Revolution (Silent Scream)

3. Melodi Terbaik - Kau Yang Satu (Hafiz Hamidun)

4. Vokal Terbaik - Revolution (Silent Scream)

5. Persembahan Terbaik - Silent Scream

6. Lagu Terbaik - Kau Yang Satu (Hafiz Hamidun)

Tiada ulasan: