Sabtu, Disember 13, 2008

Gamelan Melayu alami kepupusan?

petikan Utusan Malaysia 13 Disember 2008
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED metra.mohamed@utusan.com.my

SULTAN Ahmad Shah memukul kenong sebagai gimik pelancaran buku Joget Pahang : Gamelan Melayu, The Classical Ensemble Of The Pahang Royal Court dan cakera padat Gamelan Klasik di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KESENIAN muzik gamelan Melayu sememangnya sudah tidak asing lagi di kalangan masyarakat di negara ini sejak zaman berzaman.

Seni muzik itu dikatakan lahir di Jawa, Indonesia, di mana sumber sejarah menyatakan bahawa gamelan Melayu mula bertapak di Istana Pahang pada kurun ke-19.

Sepanjang perkembangan gamelan di Tanah Melayu, lebih 60 buah lagu telah dicipta tetapi apa yang mendukacitakan, hampir separuh daripada lagu-lagu terbabit dikatakan lenyap begitu sahaja.

Namun, daripada 30 buah lagu yang masih tinggal, hanya 12 lagu sahaja yang selalu dimainkan sehinggalah kini di mana keadaan itu dilihat sebagai cukup membimbangkan.

Ibarat ‘hidup segan mati tak mahu’, irama gamelan masih terus berkumandang, tetapi ia kini sekadar mengisi ruang pada majlis-majlis rasmi sahaja.

Gamelan bakal berhadapan dengan kepupusan ditelan arus pemodenan andai tidak ada usaha untuk mengembalikan kegemilangannya.

Justeru, atas rasa penuh tanggungjawab, pihak Lembaga Muzium Negeri Pahang telah menjalankan penyelidikan berkaitan kesenian muzik gamelan.

Kajian itu membawa kepada usaha-usaha memastikan ia kekal terpelihara melalui penerbitan buku Joget Pahang : Gamelan Melayu, The Classical Ensemble Of The Pahang Royal Court.

Selain itu, cakera padat lagu-lagu gamelan klasik turut diterbitkan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW).

Dilancarkan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di acara Festival Fesyen Islam di Kuala Lumpur, baru-baru ini, ia merupakan suatu bentuk pendokumentasian untuk memastikan gamelan tidak hilang ditelan zaman.

Menurut Menteri KPKKW, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, pihaknya percaya penghasilan buku serta cakera padat berkenaan akan memberi ruang kepada semua pihak untuk memahami serta menghayati kesenian muzik gamelan.

“Para penyelidik dan golongan profesional boleh menjadikan dua sumber itu sebagai bahan lengkap untuk mencari idea-idea baru dalam mengutuhkan lagi seni muzik gamelan,’’ katanya pada majlis tersebut.

Jelas Mohd. Shafie, cakera padat gamelan klasik mengetengahkan gubahan-gubahan baru oleh penggubah lagu tersohor seperti Ajai, M. Nasir dan Edrie Hashim.

“Info ringkas yang disediakan di dalam cakera pada itu ditulis dalam tujuh bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Jepun, Perancis, Arab dan Sepanyol.

“Ini merupakan salah satu strategi pemasaran memandangkan muzik gamelan sudah dikenali ramai terutamanya masyarakat di Barat,’’ katanya.

Bagi yang ingin mendapatkan info atau cakera padat tersebut sila hubungi Lembaga Muzium Negeri Pahang menerusi talian 09-4221459 atau 09-4221371.

Dua penerbitan itu hanya di jual di ibu pejabat muzium berkenaan yang beralamat di Jalan Sultan Ahmad, Pekan, Pahang.

Tiada ulasan: