Jumaat, Februari 27, 2009

'Konsert Alam Muzik' Ubati Rindu Peminat

petikan Gua.com.my 27 Feb 2009
by Li Ee Kee


Sembilan tahun sememangnya jangkamasa yang terlalu lama untuk menunggu satu konsert. Tapi bagi peminat, penyokong dan pemuja M. Nasir, berkat kesabaran dan doa mereka selama ini, akhirnya berjaya juga ‘Konsert Alam Muzik M. Nasir’ di pentaskan di Istana Budaya bermula malam ini. Walaupun ada ketika itu kelihatan ia tidak akan terjadi akibat kekurangan dana.

Semestinya para penaja mempunyai alasan mereka tersendiri untuk menolak peluang menaja konsert sifu, yang pencapaian dan baktinya kepada industri muzik tempatan terlalu panjang untuk di senaraikan. Tetapi jika ada yang telah menolak kerana menyangkakan nama M. Nasir tidak lagi laku, sudah menjadi pengetahuan umum bahawa kesemua tiket untuk konsert tiga malam ini telah habis dijual!

Tidak hairanlah yang raptai penuh malam tadi juga menyaksikan hampir 80% daripada tempat duduk dipenuhi dengan peminat, baik dari golongan tua atau muda, siap ada yang membawa anak-anak kecil mereka lagi, mungkin sebagai pendedahan kepada apa itu muzik Malaysia. Para artis seperti Fazley Zainal, Tam Spider dan Misha Omar turut tidak ketinggalan untuk menyaksikan sendiri kehebatan sifu.

Buat peminat setia Nasir, penantian mereka selama ini tidak disia-siakan. Lebih dari 20 lagu dari katelog muziknya, bermula dari zaman Kembara pada tahun 70-an hingga ke hari ini, telah dipersembahkan dengan penuh semangat dan emosi. Antaranya “Di Balik Cermin Mimpi”, “Hati Emas”, “Rajawali Terbang Tinggi”, “Raikan Cinta”, “Masirah”, “Gong Impian”, “Sahabat Gua”, “Kias Fansuri”, “Hijab Kekasih” dan “Demi Masa”.

Tiada cacat-cela dalam kualiti vokal Nasir dan kemerduan suaranya lebih menyerlah bila diperdengarkan di Panggung Sari yang kualiti akustiknya memang bertaraf dunia. Dia juga nampaknya benar-benar menghayati setiap detik persembahannya pada malam itu. Bukan sahaja suaranya yang menyanyi tetapi begitu juga setiap bahagian tubuh badannya. Seperti yang diakui beliau, “Saya kalau tak berjoget tak boleh.” Diajak juga para penonton untuk berjoget bersama tapi ramai yang lebih suka melihatnya berdansa.

Dan bagi mereka yang biasa melihat Nasir sebagai seorang yang serius dan pendiam, pasti ramai yang terkejut malam tadi melihatnya melawak.

Band pilihan Nasir yang terdiri daripada Zul Mahat (piano), Ahmad Firdaus Mahmood (keyboard pertama), Eddie Slam (keyboard kedua), Ujang Exist (drum), Jay Jay (gitar bass), Hanafi Spider (gitar kedua), Pa’ang (percussion), Hamzah Hashim (percussion kedua) dan Mohardiman (seruling), serta penyanyi latar yang terdiri daripada Eja @ Tijah Muhamad Nor, Yuaz Bahtiar Kassim, Juwanita Ismail dan Wan Mohd Azran Wan Hamzah, masing-masing telah memberikan satu sokongan muzikal yang padu kepada Nasir.

Hasilnya: satu persembahan mantap dan ikhlas yang rata-ratanya diterima baik peminat.

Antara ‘highlight’ konsert malam tadi termasuk persembahan tarian dari tiga penari montel yang lincah bergerak serta dendangan “Phoenix Bangkit Dari Abu” dan “Mentera Semerah Padi” yang begitu memberangsangkan sehingga mampu menaikkan bulu roma mereka yang mendengarnya.

Tiada ulasan: