Sabtu, Februari 07, 2009

Konsert Unplugged untuk Palestin di TV2 malam ini

petikan Berita Harian 7 Februari 2009

DALAM kerancakan kerajaan, media, pertubuhan dan golongan selebriti menganjurkan acara dan aktiviti amal demi mengumpul dana terhadap mangsa peperangan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza rentetan kekejaman rejim Zionis, RTM juga tidak mahu ketinggalan menerbitkan sebuah Konsert Unplugged Prihatin Palestin diadakan malam ini secara langsung dari Auditorium Perdana, Angkasapuri di TV2 jam 9 malam ini.

Konsert Unplugged Prihatin Palestin yang akan berlangsung selama satu jam setengah ini membabitkan penyertaan artis popular yang pastinya mampu menjadi tarikan penonton untuk melekat di depan kaca TV.

Antaranya seperti M Nasir mendendangkan lagu Masirah dan Di Sebalik Cermin, Hattan (Palestin Jangan Kau Menangis dan Kembalilah), Kopratasa ( Tragedi Di Utara dan Mesti Berani), Khatijah Ibrahim (Rintihan Dari Palestin), Dr. Wan Zawawi (Anak Dunia dan Mencari Amerika).

Turut mengambil bahagian ialah Rendra Zawawi dengan persembahan puisi berjudul No Mask, diikuti Milli’z menyampaikan nukilan bertajuk It’s In You, Azmyl Yunor (Senja), Najwa Mahiaddin (Innocent Soul), Tony Leo (Liberty), Nick Davis, Pete Teo (Shine) dan Izzy Mohamed (Never Fade Away).

Selain persembahan artis, konsert ini juga sarat dengan pengisian visual serta klip video yang diselang selikan dengan persembahan artis terbabit.

Bermula dengan Segmen Pertama: Peluru Setan Dunia memaparkan video klip serangan Amerika di Iraq, klip serangan Israel di Lebanon dan klip serangan Israel di Palestin.

Selepas itu diteruskan dengan Segmen Kedua: Neraka Ciptaan Zionis yang mengetengahkan klip mangsa peperangan di Iraq, Lebanon dan di Palestin.

Seterusnya menyusul Segmen ketiga memaparkan klip video tunjuk perasaan di Eropah, di Asia Tengah dan di dunia Arab. Penonton dapat menyaksikan paparan Segmen Keempat: Sebuah Renungan Pahit iaitu klip wajah anak kecil yang luka parah, tiada arah dan cacat anggota sebelum diakhiri dengan Segmen Kelima: Biarkan Merpati Terbang yang pastinya dapat memberikan gambaran sebenar kepada penonton tentang kekejaman rejim Zionis terhadap masyarakat yang tidak berdosa.

Konsert ini diterbitkan Ani Sabrina On dari Unit Hiburan TV, RTM.

1 ulasan: