Khamis, Februari 26, 2009

Soseh Soseh: Beli tiket demi M Nasir

petikan Harian Metro 26 Februari 2009

KONSERT belum bermula, M Nasir sudah mendapat suntikan semangat daripada kawan-kawan. SS dengar pun terbit rasa bangga kerana dalam bidang seni, kita biasa dengar rakan artis menikam sesama sendiri. Berlainan pula untuk Konsert Alam Muzik-M Nasir, rakan artis tidak lokek melabur duit sendiri.

SS diberitahu, untuk konsert itu, Awie beli enam tiket berharga RM250. Nak diikutkan Awie boleh dapat percuma untuk dia dengan pasangan. Lagipun SS maklum pelbagai konsert hebat Wings dulu adalah di bawah penganjuran Box Office, diterajui Ali Bakar yang juga menganjurkan konsert M Nasir ini.

Tapi Awie lain, dia tidak mahu tiket percuma. Sekalipun sekarang ini kita sedang berhadapan dengan krisis ekonomi global, Awie sanggup laburkan RM1,500 semata-mata kerana M Nasir.

Untuk konsert M Nasir ini, tiket dijual pada harga RM45, RM85, RM150, RM200 dan RM250. Konsert diadakan di Istana Budaya bermula 27 Februari, 28 Februari dan 1 Mac ini.

Jika sebelum ini, ketika mengumumkan konsert itu Ali pening kepala kerana tiada penaja, berbeza kini dia boleh senyum bangga. Apa tidaknya konsert belum berlangsung, tetapi tiket habis dijual.

Selain Awie, superstar Anita Sarawak artis pertama yang menghubungi Ali untuk beli tiket. Mulanya penganjur mahu memberi tiket khas, tetapi Anita menolak kerana mahu sokong kawan.

SS difahamkan Anitalah artis pertama yang membeli tiket konsert itu. Malang pula tiket sudah ada, tetapi kelmarin Anita menelefon pihak penganjur, dia tidak dapat hadir. Kebetulan pada hari persembahan konsert M Nasir itu, Anita terikat dengan persembahan khas majlis makan malam.

Bila SS dengar artis kita ikhlas bantu sesama mereka, rasa sejuk di hati. Selain Anita dan Awie, penghibur lama kita, Rahim Maarof dan Nash dari Lefhanded pun sudah membeli tiket konsert itu.

Memang sudah lama kita dahagakan konsert begini. Cadangan SS, kejayaan konsert M Nasir diharap dapat mencetuskan semangat artis rock lain untuk beraksi dalam sebuah konsert kelak.

Manalah tahu, IB berkenan menganjurkan sendiri konsert rock lain, kombinasi rock nusantara. Andai kata terlaksana, maknanya M Nasir pula kena laburkan duit untuk menyokong kawan-kawan pula.

Apapun, sejauh mana hebatnya M Nasir, sama-samalah kita tunggu Konsert Alam Muzik itu.

Tiada ulasan: