Rabu, Mac 04, 2009

Kegemilangan seorang sifu

petikan Utusan Malaysia 4 Mac 2009
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my

Muzik perlu ada jiwa dan keasliannya. Penghayatannya harus teguh dan setiap keaslian perlu ketara."

Itu adalah terjemahan berhubung falsafah seni seorang seniman.

Dan pada tiga malam berturut-turut, Istana Budaya (IB) yang berdiri megah di tengah-tengah pusat bandaraya Kuala Lumpur telah 'dikerdilkan' oleh aura seniman M. Nasir.

IB pada tiga hari berkenaan telah menyaksikan satu transformasi yang sangat besar.

Alam muzik M. Nasir yang kental jiwa dan keasliannya telah mengubah senario iklim pementasan muzik di dewan berprestij itu.

Himpunan kembara seni seorang seniman besar seperti beliau pada konsert yang dinamakan sebagai Konsert Alam Muzik M. Nasir bukan sebarang pementasan.

Hampir sembilan tahun M. Nasir tidak mengadakan sebarang persembahan dalam sebuah konsert berskala besar untuk peminat serta mereka yang menghargai karya-karyanya.

Mungkin salah satu puncanya juga adalah apabila masih lagi ada pihak dari sektor swasta dan korporat yang masih lagi skeptikal dan berfikiran sempit apabila mahu menaja persembahan artis tempatan.

Namun itu bukanlah penghalang buat lelaki bernama Mohd. Nasir Mohamed atau nama pentasnya M. Nasir. Selama tiga malam berturut-turut bermula 27 Februari lalu, IB bergema dengan karya saktinya yang telah menjangkau usia lebih daripada 30 tahun.

Seharusnya, usaha M. Nasir untuk melagukan karyanya yang tidak terhitung jumlahnya itu di pentas gah itu memang wajar dipuji. Walaupun tanpa sebarang penajaan, konsert tersebut tetap berjalan dengan lancar.

Lebih manis lagi apabila semua tiket habis dijual sebelum malam pertama membuka tirainya. Sudah pasti ia membuktikan peminat setia seniman ini sememangnya menunggu saat ini untuk berhibur dengan lagu-lagu dendangannya.

Kali terakhir suami kepada pelakon dan aktivis teater, Marlia Musa ini mengadakan konsert adalah pada tahun 2000 menerusi Konsert Andalusia di Stadium Negara.

Malah, trek rekodnya sebelum ini juga menunjukkan bahawa konsert yang dipersembahkannya seperti Konsert Canggung Mendonan, Konsert Akar Manifestasi Akustika juga Konsert Gembala yang semuanya mendapat sambutan yang cukup hangat.

Apabila M. Nasir kembali ke pentas untuk mendendangkan lagu-lagu karyanya, sudah pasti ia merupakan satu peluang yang cukup ditunggu-tunggu.

Masakan tidak, kredibilitinya di atas pentas tidak perlu dipertikaikan lagi. Apabila dia muncul sahaja di atas pentas, maka terhamburlah magis yang memukau penonton dan peminatnya.

Ramai yang tertawan dengan persembahannya. Entah kuasa apa yang telah membawa penonton ralit melihat beliau menyanyi dan beraksi di atas pentas itu.

Karisma yang ada dalam dirinya cukup membuktikan tiada siapa yang mampu menggantikan tempatnya.

Dia adalah M. Nasir yang memiliki aura dan magis yang masih lagi utuh meskipun sudah berusia 52 tahun.

Bersama 10 orang pemuzik yang diketuai oleh pemuzik terkenal, Aznan Alias, Konsert Alam Muzik M. Nasir sudah cukup membuktikan pelayaran seninya yang mencecah tiga dekad itu didokumentasikan dalam konsert hebat ini.

Memulakan persembahan dengan lagu yang mempunyai maksud yang cukup mendalam, Di Balik Cermin Mimpi dengan memaparkan seorang kanak-kanak yang melagukan karya itu di atas skrin, sudah cukup menggambarkan perjalanan konsert ini.

Ternyata telahan itu tidak silap. Mengenali M. Nasir, beliau bukanlah seorang penyanyi dan penghibur yang gemar berceloteh panjang di atas pentas kerana lagu-lagunya menjadi perantara komunikasi antara dirinya dengan penonton.

Memilih lagu-lagu terbaik

Menyedari terlalu banyak lagu ciptaannya sepanjang tiga dekad menjadi seorang artis ternama, Nasir dilihat cuba sebaik mungkin untuk memilih lagu-lagu terbaik untuk didendangkannya pada malam itu.

Ada di antaranya yang cukup mesra telinga dan ada juga yang jarang sungguh diperdengarkan tetapi, Nasir mempunyai seribu satu alasan mengapa dia berbuat demikian.

Menariknya tentang persembahan bekas pengetua Akademi Fantasia musim ketiga ini sepanjang hampir tiga jam itu adalah dia mampu melagukan apa saja jenis lagu dan ternyata ia cukup menghiburkan.

Bukan itu sahaja, kesemua lagu yang disampaikan oleh Nasir semuanya adalah lagu penuh iaitu sebanyak 17 buah lagu. Apa yang mengagumkan adalah apabila melihat figura tersohor ini membuat persembahan tanpa berasa lelah dan penat.

Rangkaian lagu-lagu seperti Gong Impian, Hati Emas dan Rajawali Terbang Tinggi ternyata telah berjaya menghangatkan Panggung Sari dengan tepukan gemuruh penonton yang sememangnya menantikan lagu-lagu itu dinyanyikan.

Selain daripada diri penyanyinya sendiri, konsert ini juga sebenarnya terletak kepada kekuatan sistem bunyi yang cukup hebat dan bagus tanpa ada sebarang gangguan teknikal.

Bukan itu sahaja, permainan grafik yang mengiringi setiap lagu yang disampaikan juga begitu menyakinkan dan menggambarkan setiap perjalanan lagu.

"Saya memang jarang menyampaikan lagu ini tetapi istimewa untuk anda, saya akan menyanyikan lagu istimewa ini khusus pada malam ini," kata Nasir sebelum menyampaikan lagu Falsafah Cinta yang pernah dinyanyikan secara duet bersama Rahim Maarof satu ketika dulu.

Malam bertambah hangat apabila persembahan diteruskan dengan lagu Dah Lagu Tu? yang diserikan dengan kehadiran tiga penari wanita bertubuh gempal yang berjaya menimbulkan suasana gamat di dalam panggung.

"Saja nak cari kelainan. Berat itu menawan," kata Nasir berseloroh sambil disambut dengan laungan dan pekikan penonton sebelum menamatkan set pertama persembahan dengan lagu Keroncong Untuk Ana dan Bukalah Hatimu.

Oh ya, tiga wanita montel itu diperkenalkan kepada audiens dengan jolokan tiga artis wanita Hollywood iaitu Beyonce, Britney dan Rihanna. Comel bukan!

Meneruskan set kedua dengan lagu-lagu seperti Balada Seorang Teman, Mentera Semerah Padi, Raikan Cinta dan Phoenix Bangkit terus membuktikan kredibiliti dan keunggulan Nasir sebagai penghibur tiada tandingannya.

Ini juga dapat dibuktikan apabila dia menyampaikan lagu Langgam Pak Dogo yang mempunyai nuansa folk yang cukup menghiburkan.

Melagukan lagu tersebut dalam pelbagai dialek, Nasir juga sempat memberitahu lagu tersebut mempunyai kaitan dengan sahabat karibnya, Allahyarham Loloq.

"Cerita lagu ini adalah tentang Loloq," katanya ringkas sebelum menyampaikan tiga lagu terakhirnya, Keroncong Nostradamus, Sahabat Gua dan Ada.

Mungkin konsertnya akan menjadi satu kenangan yang indah dan manis kalau penulis lirik terunggul itu ada bersama dan meraikannya dengan Nasir.

Menutup tirai persembahan dengan lagu Apokalips, ternyata, Konsert Alam M. Nasir memberikan seribu kepuasan kepada peminatnya yang sekian lama mendamba persembahan sebegini dari insan seni sepertinya.

Siapa tahu, peluang akan dibuka selepas ini untuk mengadakan persembahan di tempat yang lebih besar untuk peminat dan pemuja karya M. Nasir untuk menikmati alunan muziknya yang akan sentiasa bugar dan diminati selamanya.

Tiada ulasan: