Ahad, Oktober 25, 2009

Nasir, Mawi kumpul dana

petikan Harian Metro 24 Oktober 2009

MENYEDARI banyak badan kebajikan memerlukan bantuan menyediakan infrastruktur untuk pelajar, Puteri Group of Companies dengan kerjasama Akademi Tahfiz Al-Hidayah (ATAH) akan menganjurkan majlis makan malam amal bagi mengumpul dana.

Selain meraikan anak yatim ATAH, majlis yang berlangsung di Grand Ballroom, Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, jam 8 hingga 11 malam pada 1 November ini diserikan dengan persembahan artis terkemuka tanah air iaitu M Nasir, Mawi dan Nash serta pendatang baru, Shazroul.

Sumbangan yang berjaya dikumpul pada malam amal itu akan disalur kepada beberapa badan kebajikan seperti Madrasah Al-Yamani, Kampung Baru bagi membina sebuah asrama perempuan, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Addin, Padang Rengas, Kuala Kangsar (pembinaan surau), Baitul Mal Insaniah, Kuala Terengganu (menampung belanja operasi) dan ATAH (baik pulih asrama putera dan puteri).

Pihak swasta, kerajaan dan individu yang bermurah hati dialu-alukan menghulur sumbangan melalui tajaan meja jamuan dan sumbangan tunai.

Segala sumbangan hendaklah melalui cek berpalang di atas nama ATAH Edu & Services. Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi talian 03-21612382.

Tiada ulasan: