Jumaat, Februari 12, 2010

Denting Dengung : Wings Jadi Pencabar

Denting Dengung

Sejak Konsert Bagaikan Sakti tempoh hari, agak kurang pula berita mengenai sifu. Apa pun, di sini aku nak kongsi bersama satu lagi keratan Bi-Pop - Denting Dengung bertajuk "Wing Jadi Pencabar". Keratan ini telah diterima dari Saudara Sharrul Rizal Hashim (Dunia Search).
Terima kasih bro.
nota : Tarikh Denting Dengung ini diterbitkan tidak dapat dikenal pasti. Mungkin awal tahun 2000 kot?.

Khamis, Februari 11, 2010

Edry Gementar Bekerja Dengan Bintang Besar Dalam 'Magika'

petikan mstar 11 Februari 2010
Oleh WAHIDUZZAMAN

NAMA dan kredibiliti Edry Abdul Halim atau lebih dikenali sebagai Edry KRU dalam bidang penghasilan muzik memang tidak perlu disangkal lagi. Setelah hampir 18 tahun berkarya sebagai komposer, Edry meneruskan kembaranya dalam bidang pengarahan filem pula.

Terbaru, bapa kepada tiga orang anak ini tampil dengan sentuhan sulungnya yang juga filem kelima terbitan KRU Studios, Magika.

Bagi Edry, pengalaman bergelar pengarah filem buat kali pertama ternyata membuatkan dirinya gementar.

Bukan kerana bimbang atau takut menggalas tanggungjawab besar itu semata-mata, namun yang lebih membuatkannya 'kecut perut' adalah kerana diapit oleh bintang-bintang besar tanah air.

Katanya, walaupun cabaran untuk menyempurnakan filem fantasi itu bukan satu tugas mudah, tapi dia mengakui lebih gementar apabila harus bekerjasama dengan nama-nama seperti M. Nasir, Ziana Zain, Ning Baizura, Mawi, Aznil Hj Nawawi, Fauziah Ahmad Daud dan Sharifah Amani.

"Memang saya gementar apabila bekerja di sekeliling nama-nama besar seperti M. Nasir, Ziana Zain, Aznil dan ramai lagi.

"Maklumkah, ini filem pertama arahan saya dan banyak perkara yang perlu saya pelajari. Sedangkan mereka semua profesional dan sudah biasa dengan bidang lakonan dan filem.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan proses penggambaran berlangsung seperti yang dirancang," kata Edry yang begitu teruja dengan tayangan amal filem itu di e@The Curve, baru-baru ini.

Meskipun Magika dibarisi oleh bintang-bintang besar, Edry amat bertuah kerana proses penggambaran berjalan dalam keadaan yang relaks dan baik sekaliatas dasar persahabatan yang terjalin antara mereka selama ini.
Edry diapit oleh nadi Magika bersempena tayangan amal filem itu, baru-baru ini.

Edry turut mengakui peluang bekerjasama dengan nama-nama besar dan berpengalaman itu banyak membantunya dalam membina keyakinan diri untuk menghasilkan mutu kerja yang memuaskan.

"Saya amat bertuah dapat bekerja dengan nama-nama besar yang rata-ratanya sahabat. Sebahagian besar daripada pelakon-pelakon filem ini seperti Mawi, M. Nasir, Aznil, Ning, Ziana dan ramai lagi sudah lama saya kenali.

"Sedikit sebanyak ia membantu saya mendapatkan keserasian dan kelancaran sepanjang proses mengarah filem ini.

"Bekerja di samping mereka juga banyak membantu saya dalam membina keyakinan diri untuk buat yang terbaik.

"Mereka profesional dan tahu apa yang saya mahukan. Tak perlu saya terangkan banyak kali.

"Sebab itulah, walaupun kami terpaksa jalankan penggambaran dalam musim hujan, semuanya berjalan dengan baik dek peranan dan kredibiliti pelakon-pelakon hebat ini," ujarnya lagi.

Mengulas mengenai penglibatan nama-nama besar dalam filem Magika, Edry percaya faktor utama yang menarik perhatian mereka untuk membintangi filem itu adalah konsep filem itu sendiri.

"Saya percaya faktor utama yang menarik minat nama-nama besar ini membintangi Magika adalah konsep filem itu sendiri. Magika bukanlah sekadar filem fantasi dan alam bunian sahaja.

"Di sebalik itu, suntikan elemen ketimuran dan kemelayuan yang ditekankan menerusi watak-watak mitos orang Melayu itu diterjemahkan dalam bentuk yang menarik.

"Selain jalan cerita, watak-watak seperti Badang, Mahsuri, Nenek Kebayan dan ramai lagi menarik hati pelakon-pelakon ini untuk turut serta dalam Magika.

"Malah, elemen nilai kekeluargaan yang diterapkan, di samping mesej yang kuat mungkin jadi tarikan utama kepada pelakon-pelakon ini," katanya yang mempamerkan air muka yang bersinar kerana gembira dengan hasil filem sulungnya itu.

Tambah Edry, dia amat bersyukur kerana dapat menyiapkan filem yang menelan belanja sebanyak RM2 juta itu dalam masa 27 hari walaupun dibatasi oleh musim hujan sepanjang tempoh penggambaran, kira-kira setahun yang lalu.