Selasa, November 02, 2010

Hanya ‘Jauhari’ kenal lagu Spider

petikan Utusan Malaysia 2 November 2010

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar MOHD FARIZWAN HASBULLAH

TIGA tahun sepi tanpa album baru, Spider berharap KitaSatu mampu mengembalikan ingatan para peminat terhadap mereka.

SPIDER bolehlah dianggap bertuah kerana berjaya menambat hati Luncai Emas Sdn. Bhd., pada suatu sesi uji bakat yang dianjurkan oleh syarikat rakaman milik M. Nasir itu pada 1997.

Kumpulan berasal dari Johor Bahru itu juga mempunyai keistimewaan tersendiri sehingga mereka kemudiannya diambil bernaung di bawah syarikat rakaman tersebut.

M. Nasir mengakui, Spider bukan sahaja berbakat tetapi hanya ‘jauhari’ yang faham bidang muzik sahaja yang mengenali konsep lagu-lagu yang mereka persembahkan.

“Bagi orang yang ‘jauhari’ dalam dunia muzik, mereka boleh kenal konsep muzik dalam lagu-lagu Spider,” katanya pada sesi pradengar album terbaru Spider berjudul KitaSatu baru-baru ini.

Pada majlis yang diadakan di pejabat syarikat rakaman Universal Music (M) Sdn. Bhd. di Petaling Jaya, Selangor itu, beliau mengulas genre muzik yang dimuatkan dalam album itu.

Semasa mengulas ‘jauhari’ yang merujuk kepada pepatah Melayu berbunyi ‘hanya jauhari yang mengenal manikam’, dia menjelaskan kepelbagaian muzik Spider.

Menerusi album kelima Spider itu, mereka menampilkan pelbagai konsep muzik termasuklah pop, balada, ska, rock dan country yang diadunkan dalam gaya yang tersendiri.

“Walaupun ada pelbagai konsep muzik tetapi pada dasarnya irama ska menjadi teras dalam lagu-lagu Spider. Contohnya, ada lagu balada dalam album ini seperti yang berjudul KitaSatu.

“Tetapi elemen ska tetap ada dalam lagu itu. Malah, kalau ada yang kata lagu itu ada pengaruh atau persamaannya dengan lagu lama Spider, Relaku Pujuk, ia tidak menghairankan.

“Ini kerana, ‘tangan’ yang membuat lagu itu adalah orang yang sama juga. Cuma kali ini lagu itu (KitaSatu) adalah sebuah lagu baru yang ada kepelbagaian tersendiri,” ujarnya.

KitaSatu yang mengandungi tujuh lagu terbitan Luncai Emas Sdn. Bhd. dan diedarkan oleh Universal Music (M) Sdn. Bhd. itu akan berada di pasaran mulai 9 November ini.

Lagu-lagu yang dimuatkan dalam album itu berjudul Ajaib, KitaSatu, Rasakan Resapkan, Bukan Salah Aku, Tapi Bagaimana, KitaSatu (Akustika) dan Tapi Bagaimana (Akustika).

Selain M. Nasir yang juga merupakan Pengarah Urusan Luncai Emas Sdn. Bhd. turut menulis lirik lagu-lagu yang berjudul Rasakan Resapkan, Bukan Salah Aku dan Tapi Bagaimana.

Presiden Universal Asia Pasifik, Sandy Monteiro yang turut serta pada majlis itu turut mengakui, Spider merupakan kumpulan rock yang mempunyai ramai peminat ketika ini.

Menurut Sandy, dia yakin Spider melalui album itu mampu menarik perhatian para peminat, sambil menyifatkan mereka sebaris dengan kumpulan rock legenda tanah air yang lain.

“Kami sudah lama ingin bekerjasama dengan Luncai Emas dan Spider. Saya dapati selepas era tahun 1980-an dan 1990-an Spider adalah kumpulan rock tempatan paling berpotensi.

“Biasanya dalam sebulan saya ada dua atau tiga hari sahaja di Malaysia, tetapi apabila dapat tahu Spider akan mengadakan majlis pradengar album ini, saya tidak mahu ketinggalan menghadirinya,” ujarnya.

Disebabkan kualiti dan kepelbagaian muzik, Sandy juga yakin album terbaru Spider itu mampu mencatat jualan yang memberangsangkan sama seperti album-album terdahulu mereka.

Apatah lagi katanya, jualan album itu juga boleh dirangsang menerusi format digital atau muat turun yang kini menjadi salah satu trend terbaru dalam jualan album di negara ini.

“Album ini boleh capai jualan tahap platinum menepati sasaran kita sehingga 30,000 unit termasuk format fizikal (cakera padat dan kaset) dan muat turun secara digital.

“Kami juga akan kembangkan populariti Spider, contohnya dengan mengadakan kolaborasi lagu-lagu dalam album ini dengan artis-artis lain. Ia akan membantu penjualan album ini.

“Sasaran kami juga ialah untuk mencalonkan album ini dalam Anugerah Industri Muzik Malaysia pada tahun depan dengan menepati syarat harus ada lima lagu dalam sebuah album,” jelasnya.

Tiada ulasan: