Rabu, Ogos 17, 2011

M. Nasir, Jamal serikan lebaran

petikan Utusan Malaysia 17 Ogos 2011

Oleh NUR AZHARI ZAINOODDIN
Gambar SAHARUDDIN ABDULLAH
BUAT pertama kali Hujan dan M. Nasir akan berkongsi pentas menghiburkan penonton.

BAGI menyerikan sambutan lebaran tahun ini, TV9 membawakan satu rancangan khas, Ekspresi Dato M. Nasir dan Jamal Abdillah.

Pastinya sambutan Aidilfitri kali ini akan lebih meriah apabila penonton disajikan dengan lagu-lagu malar segar dua bintang ternama ini.

Sudah tentu alunan suara mereka mendendangkan lagu-lagu seperti Seroja, Gerhana, Keranamu Kekasih dan Satu Hari Di Hari Raya akan membuatkan para penonton terkenang nostalgia lalu.

"Sudah tentu kemeriahan Syawal akan lebih terasa apabila kita dapat bersama dengan keluarga mengimbau nostalgia lalu melalui lagu-lagu dua bintang hebat ini.

"Lagipun ini adalah kali pertama TV9 menyatukan mereka di atas pentas sempena Hari Raya.

"Jadi kita harap ia akan memberikan kepuasan kepada penonton dalam menyerikan lagi kemeriahan Syawal," jelas penerbit konsert berkenaan, Ahmad Shaifullizzam Mohd. Arshad atau lebih suka disapa Gbam yang ditemui selepas rakaman konsert berkenaan baru-baru ini.

Merancakkan lagi konsert yang akan disiarkan melalui dua episod itu, beberapa artis jemputan lain turut diundang bagi bersama berkongsi pentas dengan dua nama besar ini.

Antara artis yang bakal bersama menyerikan konsert itu nanti adalah Fauziah Ahmad Daud, Francissca Peter, Mawi, Hujan dan Awi Rafael.

"Bagi memberikan suatu kelainan pada rancangan ini, kita akan gabungan dua nama besar ini dengan bakat-bakat baru yang mula menyinar seperti Hujan dan Awi Rafael.

"Kita lihat gabungan ini juga merupakan pembuka jalan kepada bakat-bakat baru ini untuk bersama menimba pengalaman dengan mereka yang ternama," tambah Gbam.

Rancangan istimewa yang berdurasi sejam setiap episod itu akan disiarkan pada 2 dan 3 Syawal nanti bermula pukul 11 pagi.

Antara persembahan yang akan disajikan kepada penonton adalah kolaborasi antara Jamal Abdillah bersama Fauziah Ahmad Daud dan Fransisca Peter.

Selain itu, M. Nasir akan berduet dengan Hujan Band mendendangkan lagu medley Aku Yang Terasing dan Juwita Citra Terindah.

Tiada ulasan: