Ahad, Disember 18, 2011

Amy Search Hampir Titiskan Air Mata Lihat 15,000 Peminat


petikan mStar 18 Disember 2011
Oleh FERIDE HIKMET ATAK

Vokal Amy masih mantap dan memukau penonton. Foto THE STAR Oleh RICKY LAI.

SERI KEMBANGAN: Vokalis kumpulan Search, Amy, hampir menitiskan air mata apabila melihat seramai 15,000 penonton tidak henti-henti menyanyi bersama-samanya sepanjang konsert jelajah Fenomena 30 Tahun Search yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran MINES, di sini, malam Sabtu.

Amy berkata, perasaan terharu semakin memuncak ketika membawakan lagu terakhir iaitu Fantasia Bulan Madu lebih-lebih lagi mendengar gema suara nyanyian seluruh penonton yang berada di konvesyen berkenaan.

"Saya rasa, konsert ini adalah yang terbaik. Kami berpuas hati dengan persembahan dan respons yang diberikan peminat.

"Ia merupakan satu momen yang sangat indah lebih-lebih lagi ketika membawakan lagu Fantasia Bulan Madu sambil diringi suara nyanyian penonton, mereka membuatkan saya terduduk dan hampir mengeluarkan air mata.

"Semangat mereka membuatkan kami terharu," katanya yang ditemui selepas konsert tersebut.

Selain Amy, Search dibarisi Din, Kid, Nasir dan Yazid.

Persembahan energetik Search selama hampir tiga jam telah memukau para penonton yang tidak henti-henti menyanyi bersama-sama sepanjang 25 buah lagu dipersembahkan

Suntikan 'magis' Search bermula dengan lagu pembukaan, Panggung Khayalan diikuti dengan barisan lagu lain seperti Gothik Malam Edan, Fenomena, Metropolitan, Melayar Bahtera, Serigala Segalanya, Pemuzik Jalanan, Isabella, Melastik Ke Bintang, Cakap Memang Meriah, Rozana dan Bisa.

Malah pentas yang dibina khas agak menarik dan mesra penonton dimana Amy dapat beraksi lebih dekat dengan mereka.

Hampir 15,000 penonton membanjiri konsert.

Kelincahan Amy juga membuatkan dirinya hampir terjatuh saat mendendangkan lagu Isi dan Kulit.
Penonton juga diberi kejutan dengan kemunculan M.Nasir untuk berduet dengan Amy dalam beberapa seleksi lagu seperti Mat Rock, Paranoid dan Meniti Titian Usang.

Tambahan : M Nasir berduet dengan Amy. sumber : FB Fenomena 30 

"Ini adalah satu penghormatan buat saya apabila dijemput berduet dengan Amy.

"Ternyata perjuangan Search selama 30 tahun cukup hebat sehingga mencetuskan fenomena.

"Lihat saja penonton-penonton yang hadir, ia cukup jelas memberitahu,peminat Search masih lagi kekal malah bertambah dengan peminat generasi baru pula," ujarnnya.

Lagu-lagu lain yang juga dipersembahkan Search ialah Laila Namamu Teratas, Kejora, Mat Rock, Mentari Merah Di Ufuk Timur, Pawana dan Fantasia Bulan Madu.

Dalam pada itu, beberapa selebriti terkenal seperti Aizat, Ella, Ika (Mentor), Altimet, Nana dan Burn turut hadir menyaksikan konsert tersebut.

Siri jelajah bersempena dengan 30 tahun penubuhan kumpulan itu telah bermula di Stadium Batu Kawan, pulau Pinang dengan jumlah penonton sebanyak 7,000 orang dan Johor, seramai 10,000 penonton.

Gambar tambahan : M Nasir bersama Search. Sumber FB Fenomena 30

M Nasir & Search - Mat Rock