Jumaat, Jun 29, 2012

M Nasir masuk DFP

petikan Harian Metro 29 Jun 2012
Oleh Esme Johari Wahab 
esme@hmetro.com.my

BAGAIMANA agaknya reaksi peminat melihat Datuk M Nasir menyanyi dengan iringan pemuzik orkestra profesional tanpa sebarang peralatan muzik elektrik?

Itu antara aura dinantikan apabila beliau menjayakan persembahan solo julung kali diiringi pemuzik memakai baju serba hitam ala klasikal yang akan diadakan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC dalam M Nasir with Malaysia Philharmonic Orchestra (MPO) pada 13 dan 14 Julai ini bermula jam 8.30 malam.
Beliau akan menyampaikan 20 lagu terbaik yang melonjak dirinya sebagai legenda baik secara solo mahu pun menjulang nama ramai artis hingga dikenali ramai.

MPO akan dipimpin oleh konduktor muzik, Kevin Field.

Bercakap mengenai prospek persembahan itu kelak, artis dianggap ‘sifu’ ini berkata, lagu-lagu terbabit akan dipersembahkan secara medley dan disusun mengikut kesesuaian mengikut pemuzik.

“Ini pengalaman kali pertama berada di DFP membuat persembahan tanpa peralatan muzik elektrik. Saya akan membawa sama pemuzik sendiri bermain alat-alat muzik tradisional seperti rebana, rendang dan percussion. Bagi saya, fokus penting apabila berada dalam suasana DFP kerana lagu-lagu dibawa oleh pemuzik jenis ‘sight reader’, profesional dan membabitkan penggunaan instrumen yang banyak di lokasi yang memang direka khusus untuk persembahan tanpa alat elektrik.

“Ada juga rasa berdebar-debar kerana MPO sebuah kumpulan muzik besar dan masih tidak dapat membayangkan bagaimana bunyi lagu-lagu dinyanyikan diberi susunan berlainan untuk pelbagai instrumen. Apapun, saya rasa yakin mendapat tempo apabila beberapa sesi latihan diadakan bersama MPO dalam masa terdekat.

“Bagi saya, ini satu lagu penanda aras kerana pasti ada satu tahap lain yang lebih tinggi daripada pernah dibuat sekarang. Saya mahu mencapai sesuatu terhebat sebagai menandakan kehadiran saya selama 35 tahun dalam kerjaya seni.

“Perasaan teruja memang ada, perasaan berdebar-debar juga ada. Apa dapat saya perkatakan, mereka yang hadir akan ke sana melihat M Nasir seperti seorang yang baru dan tidak pernah dilihat di venue yang sering menampilkan persembahan untuk elitist,” katanya dalam satu temuramah di pejabat Harian Metro, baru-baru ini.

Perjalanan karier seni M Nasir sejak pertengahan 70-an hingga sekarang, membawa beliau ke tahap sekarang. Bukan saja sebagai pelakon tetapi kemampuan beliau menulis lagu turut melonjak ramai artis hingga dikenali seperti Alleycats, Rahim Maarof, Search, Wings, Hattan, Misha Omar, Jamal Abdillah dan ramai lagi.

Malah, kolaborasi beliau bersama artis muda seperti Hafiz menerusi lagu Awan Nano membuktikan proses perubahan dilakukan berlainan era dilakukan beliau masih dapat diterima oleh peminat lama dan baru.

“Saya suka bekerjasama dengan artis baru. Saya suka perubahan disusuli dengan disiplin. Bagi saya, biarkan lagu-lagu lama disukai ramai berada di tahap zaman ia diminati kerana itulah zaman ia mencapai kemuncak. Ia tidak mampu diubah jika saya buat lagu baru untuk artis zaman itu pun.

“Masa berlalu dan saya suka mengikut keadaan. Seperti juga muzik klasikal, ia masih didengar hingga sekarang, cuma jika anda suka, anda boleh mendengarnya.

“Saya pernah membayar menonton muzik orkestra Mozart dan Beethoven kerana mereka berdua paling dikenali daripada kalangan komposer terbaik di zaman mereka era klasikal dan romantik,” katanya.

Lagu-lagu beliau seperti Hingga Akhir Nanti (Alleycats), Fantasia Bulan Madu (Search), Sejati (Wings) serta beberapa lagu nyanyian solo beliau seperti Mustika, Mentera Semerah Padi, Juwita Cinta Terindah dan Tanya Sama Itu Hud Hud juga masih mendapat tempat di hati peminat hingga sekarang.

Ditanya beliau bagaimana dikatakan lagu yang bagus, M Nasir memberitahu: “Lagu bagus adalah lagu yang sedap. Cukup dengan mendengar melodi yang lainnya hanya sekadar mengiringi, jika ia sedap, ia sedap, tiada perkataan lain. Jika hendak dikhususkan, lagu dan vokal seimbang (balance) dalam serba-serbi tanpa ada yang lain menguasai satu satu sama lain atau terlebih sana-sini,” katanya.

Sumber poster: Facebook

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Best ni...mesti pergi!