Selasa, Mac 19, 2013

Pentas Konsert Di Malaysia Kualiti Rendah - M. Nasir


petikan Mstar 19 Mac 2013
Oleh FERIDE HIKMET ATAK

AMPANG: Kemudahan pentas untuk tujuan persembahan di negara ini masih berkualiti rendah membuatkan penyanyi tempatan terpaksa menggunakan pentas yang sama jika ingin mengadakan konsert.

Karyawan Datuk M.Nasir berkata, jumlah pentas yang benar-benar berkualiti adalah terhad mengakibatkan para artis gagal memberikan persembahan terbaik kerana berada pada tempat yang salah.

“Bilangan pentas bagus boleh dikira dengan jari dan keadaan itu membuatkan para penyanyi lebih senang menggunakan khidmat lokasi pentas yang sama setiap kali mengadakan konsert.

"Ramai penyanyi gagal memberikan persembahan terbaik kerana mereka berada di pentas yang salah. Sebenarnya pemilihan pentas amatlah penting bagi yang ingin mengadakan konsert,” katanya. Beliau temui pada sidang media konsert ‘M.Nasir Sang Pencipta’ di restoran Istana Bambu, di sini, Selasa.

Tambah penyanyi lagu Mustika itu, keadaan tersebut juga membuatkan dia lebih senang beraksi di pentas Istana Budaya (IB) kerana mempunyai kelengkapan yang cukup.

Katanya, sesebuah pentas yang berprestij perlu meliputi beberapa perkara termasuklah daripada segi teknikal bagi konsert akustik atau elektrik selain reka bentuknya yang turut memainkan peranan bagi menarik perhatian penonton.

Sementara itu mengenai konsertnya, ia bakal diadakan pada 7 hingga 9 Jun 2013 di Panggung Sari IB anjuran Bombbay Worldwide.

Beritahu M.Nasir, konsert berkenaan adalah berbeza dari segi konsepnya kerana ia diselitkan dengan unsur-unsur lakonan muzikal selain menggabungkan elemen audio dan visual menerusi visual mapping yang diadunkan.

"Saya akan berlakon tanpa dialog tetapi hanya menerusi lagu-lagu yang saya bawakan.

"Kalau boleh saya mahu menghidupkan suasana keterujaan penonton dalam mengembara bersama penyampaian lagu-lagu itu.

"Ada juga beberapa koreografer yang ditampilkan dan semua itu masih lagi dalam persiapan. Insya-Allah para penonton akan terhibur dengan persembahan saya nanti," katanya.

Bagi yang ingin menempah tiket, layari www.ticket2u.biz atau hubungi talian Hotline di 03-41478600 atau IB Box Office iaitu 03-21618134.

Tiket-tiket dijual pada harga RM65, RM85, RM145, RM185, RM225, RM245, RM265, RM325 dan RM455.

Tiada ulasan: