Ahad, Ogos 25, 2013

Estetika, khazanah seni

petikan Kosmo! 25 Ogos 2013


MEMBESAR melihat, merasa dan menikmati karya seni dari jiwa yang besar menyatukan Datuk M. Nasir, S. Amin Shahab dan Hasnul Rahmat ke dalam sebuah filem dokumentari muzik berjudul Angin Menderu.

Mereka menyanyi riang dengan penuh harmoni dalam lunak bayu petang berlatarkan sebuah rumah tinggal di Parit Jambi, Johor tidak lama dahulu. Ketiga-tiga mereka bersiul dan berbicara tentang Melayu, akar budaya serta bangsa termasuk menyentuh tentang khazanah yang membawa mereka ke satu fasa yang sungguh indah jika dilukis dengan penuh estetika.

Wacana itu bersambung-sambung dalam tiga nada yang berbeza. Setiap seorang sama ada M. Nasir, Hasnul ataupun S. Amin Shabab, mereka adalah antara pengkarya yang bekerja dari jiwa dan raga untuk sebuah penghasilan yang bermakna jujur. Kepuasan mereka adalah dengan menikmati apa yang terhasil, berkongsi rasa bersama khalayak. Selebihnya, biar karya itu yang bergerak, membesar ataupun statik berdasarkan pemahaman umum.

Tiba masanya, buruk atau baik, setiap karya sama ada filem, drama, lagu, lirik mahupun lukisan, semuanya pasti tersemat kekal menjadi khazanah warisan untuk generasi akan datang.

"Dalam tamadun-tamadun hebat di Eropah, contohnya seni tampak serta hasil kerja tangan, itu yang mempengaruhi kehidupan mereka. Dalam bab seni muzik juga begitu. Seni muzik juga satu pergerakan kepada bangsa mereka. Kita sedang ke arah itu dan sudah tentu, seni yang dihasilkan akan menjadi khazanah. Ada yang tanpa sedar ia akan menjadi khazanah sebab apa sahaja yang dihasilkan, selagi ia dipelihara, bagus atau tidak bagus, itu perdebatan pada kemudian hari," lentur M. Nasir sampai menyifatkan evolusi kesenian muzik tempatan sudah memiliki budaya sendiri.

"Memang muzik kita dipengaruhi muzik luar, kita juga telah pergi jauh daripada muzik rakyat, kita sudah ada filharmonik, tapi walaupun kita dipengaruhi muzik luar kita telah cipta muzik ikut cara tempatan. Muzik sudah jadi bisnes serius, dulu pemuzik bukan pekerja tapi sekarang sudah jadi kerjaya," katanya melihat kebangkitan muzik Malaysia paling agresif sekitar 1980-an dan 1990-an.

Bercakap tentang seni sebagai khazanah, Hasnul melihat kebanyakan kerja seni tidak akan lengkap jika proses terakhir penyimpanan atau kelestarian karya tidak sempurna.

"Ia termasuk juga dengan keprihatinan terhadap warisan khazanah yang hanya disimpan tapi kurang diberi analisis atau penulisan yang mengangkat sesuatu karya dengan sempurna. Di situlah, pentingnya institusi penyimpan arkib, kalau simpan tak dapat melihat tak ada ertinya juga. Kalau dulu banyak filem Melayu klasik yang hilang, ia termasuklah muzik, lukisan dan sebagainya. Masih ada khazanah seni yang hilang walaupun usaha mendokumentasi seni telah dilakukan sejak zaman sebelum ada komputer sehingga sekarang," pelakon yang sedang bergerak sebagai pengarah, Hasnul pula meluahkan pandangan.

BERBEZA portfolio tetapi berkongsi aspirasi yang sama menjadi alasan untuk tiga nama ini terlibat dalam satu produksi.

Kepada pelukis, penulis lirik dan karyawan yang baru selesai penggambaran filem pertama arahannya, Rajawali: Aku Abang Long, S. Amin yang juga seorang pengumpul keris pula secara perlahan memberikan penyataan:

"Kita lebih kepada pemungut khazanah. Macam keris, keris asalnya dari Jawa tapi diterima sebagai hak orang Melayu. Lukisan pula, kita diajar melukis oleh British tak macam di Indonesia yang hidup mereka memang dalam kesenian walaupun dalam soal beragama. Kalau di Malaysia, bila berkarya lebih melangkaui batas pemikiran, kita akan dipanggil menghadap.

"Tapi, seni akan jadi khazanah yang berharga apabila pengkaryanya telah tiada atau ia dinilai sebagai sesuatu yang merakamkan makna. Macam lukisan saya yang diabadikan sebagai kulit empat buah album Kembara. Semua lukisan kulit album Kembara, Perjuangan, Generasiku dan Seniman Jalanan itu dibeli dan dipamerkan di Balai Seni Lukis Negara."

Seni intelektual atau hiburan

Seperti kata M. Nasir, bagus atau tidak bagusnya sesebuah karya, sampai waktunya ia tetap dikira khazanah, persoalan tentang seni intelek dan seni sebagai hiburan akan terbangkit untuk dihuraikan.

Jelas Hasnul, dia secara peribadi merasa terhibur terhadap kedua-dua kategori seni sama ada yang diklasifikasi sebagai bersifat intelek ataupun hiburan. Cantuman kedua-dua seni itu wujud dalam segala aspek pengkaryaan yang bersifat ringan atau berat, panggung berkondisi wayang mahal atau yang berpijat.

"Berat ringan estetika sesebuah karya seni selalunya dinilai berdasarkan tahap ilmiah seseorang," jelas Hasnol.

S. Amin yang selalu tampil bersahaja tetapi mudah dikenali sebagai seniman itu pula menyifatkan seni sememangnya untuk hiburan.

"Seni tetap seni tapi bagaimana interpretasi khalayak itu membezakan ia benar-benar bermakna atau tidak. Seni memang untuk hiburan, lukisan juga salah satu hiburan. Ia terpulang kepada pelukis dan masyarakat yang menilai seni itu. Macam Vincent Van Gogh yang melukis karya bunga matahari. Ketika hayatnya, lukisan itu hanya dihumban di bawah katil tetapi, setelah meninggal, lukisan itu berharga berjuta-juta. Nilai seni juga terletak kepada pengkarya itu sendiri. Bagi saya, lukisan saya adalah cerminan diri dan kembara yang saya lalui" jelas S. Amin yang cenderung menghalakan lukisan ke aliran surealisme namun, masih sedikit penerimaan dalam budaya tempatan.

Dalam konteks yang sama, lelaki yang bergelar sifu muzik pula berkata-kata.

"Apabila hiburan sudah jadi budaya, orang mula rasa untuk berfikir, zaman sudah maju dan tuntutan untuk menikmati seni yang bernilai tinggi mula ada. Seni yang bersifat elit memang kurang mendapat tempat, hal itu berlaku di seluruh dunia kerana karya sederhana atau pop akan mudah diterima ramai. Begitu juga dengan filem tetapi kelompok seni elit yang bercita-cita tinggi akan puas hati dengan kelompok dan karya mereka.

"Saya sendiri boleh menghargai apa sahaja bentuk seni, pengkaryaan ialah ekspresi diri. Apa-apa pun, karya bergantung rasa dan lazimnya rasa sedap itu universal. Kalau seseorang itu dididik dengan muzik klasik tentunya muzik klasik dirasakan, bagi orang lain mungkin tidak. Ia terpulang kepada pencari rasa itu sendiri," terjemah M. Nasir tentang kecenderungan seni secara umum.


SALAH sebuah adegan yang terakam dalam dokumentari Angin Menderu yang melakukan penggambaran di Parit Jambi, Johor karya dan arahan Hasnul Rahmat.

Impian dalam karya

Selagi merah warna darah seni yang masih pekat mengalir dalam tubuh, setiap pengkarya tidak akan mati mencari ilham dan membuahkan karya.

M. Nasir memberitahu, dia ada menyimpan cita-cita untuk menjayakan sebuah konsert kegemilangan 100 tahun lagu-lagu Melayu.

"Sudah lama saya terdetik soal itu. Sedar atau tidak, muzik tempatan telah melahirkan banyak karya hebat. Karya hebat itu tiada pengkelasan tapi haruslah memberikan rakaman rasa dan meninggalkan momen. Kita ada lagu Melayu klasik yang dulunya ia popular. Orang selalu cakap pasal P. Ramlee tapi kita juga miliki Abdullah Chik yang lagu-lagunya telah merakamkan momen zamannya," kata pemilik ribuan lirik dan lagu yang berjaya berjaya membentuk gelombang muzik tempatan itu.

Jika M. Nasir tidak pernah hilang semangat untuk berkonsert, S. Amin pula berhasrat mahu menyempurnakan baki lukisan yang bertajuk Dunia Dalam Satu Kilometer yang dimulakan sejak tahun 2004.

"Melukis perlukan momen, kalau sampai rasa mahu melukis, saya akan melukis lagi. Untuk projek Dunia Satu Kilometer Sekarang masih ada beberapa ratus meter lagi yang belum siap. Saya kena sambung lagi pengembaraan itu," katanya yang pernah merantau sampai ke Afrika Selatan untuk kembara kanvasnya itu.

Tiba giliran Hasnul pula bercerita tentang projek terbaharunya; projek yang sekali gus membuka ruang momen fotografi ini dilestarikan.

Angin Menderu merupakan sebuah filem dokumentari muzik yang merakamkan sejarah muzik secara demografik lagu-lagu Melayu di rantau laut alam Melayu termasuk Sumatera, Riau, Singapura dan Malaysia.

"Dokumentari itu masih dalam suntingan akhir. Konsep muzik yang saya ibaratkan sebagai angin yang merantau itu membuka ruang bukan untuk bernostalgia tetapi untuk mengenali keindahan muzik dan seni kata Melayu supaya dapat dikhazanah, dilestarikan dengan tempat yang baik dalam alam Melayu serantau," beritahu Hasnol mengenai dokumentari terbitan Finas itu.

Selain M. Nasir dan S. Amin, artis lain yang terlibat termasuklah seniwati dan seniman filem Melayu era 40-an dan 50-an seperti Momo Latif, Nona Asiah, Datuk Maria Menado serta R. Ismail. Bercerita melalui irama dan lagu, rakaman santai itu menyelusuri sejarah budaya Melayu itu sendiri melalui muzik.

Mengalir tenang bicara yang diperbincangkan dalam jiwa dan rasa tiga seniman ini sekali igus mempamerkan estetika yang mereka kandung dalam nafas perjuangan seni mereka. Angin seni yang mereka bawakan jujur menderu mengelilingi baitulmal khazanah budaya tempatan.

Tiada ulasan: