Jumaat, Mei 29, 2015

Panggung Utusan semarak kesenian

petikan Utusan Malaysia 29 Mei 2015
KAMIL MASLIH

M. Nasir (lima dari kanan) bersama Mohd. Noordin Abbas (enam dari 
M. NASIR (lima dari kanan) bersama Mohd. Noordin Abbas (enam dari kiri) memotong kek ulang tahun ke-76 akhbar Utusan Malaysia sempena pelancaran Panggung Utusan di Ibu Pejabat Utusan, Kuala Lumpur, semalam. Turut sama (dari kanan), Erma Fatima, Hattan, Abdul Aziz Ishak, Amy Search; Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani (lima dari kiri); pemain drum cilik, Nur Amira Syahira Azizul Abidin dan Othman Mohamad (kiri). UTUSAN/RUSHDI SALLEH


KUALA LUMPUR 28 Mei – Sambutan ulang tahun penerbitan akhbar Utusan Malaysia ke-76 menjadi begitu bermakna menerusi perasmian Panggung Utusan di Ibu Pejabat Korporat Kumpulan Utusan, Jalan Chan Sow Lin di sini hari ini.

Panggung Utusan yang merupakan inisiatif Kelab Editorial Utusan bakal menjadi pentas bagi warga kerja Kumpulan Utusan untuk menyemarakkan kegiatan kesenian dan kebudayaan serta ruang inte­raksi bersifat santai.

Majlis perasmian Panggung Utusan itu disempurnakan oleh penyanyi dan pengubah lagu terkenal, Datuk Mohd. Nasir Mohamed atau lebih dikenali sebagai M. Nasir.

Hadir sama dalam majlis itu adalah Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak serta Timbalan Ke­tua Pengarang Kumpulan Utusan yang juga Pengerusi Kelab Editorial Utusan, Datuk Othman Mohamad.
Ketika berucap merasmikan Panggung Utusan, M. Nasir memuji inisatif mewujudkan platform seni yang sekali gus menggalakkan aktiviti kesenian dan kebudayaan.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Kumpulan Utusan yang menyambut ulang tahunnya ke-76. Segala cabaran yang dilalui Utusan, mewakili suara bangsa kita,” katanya.
Pada majlis itu, M. Nasir juga mengalunkan lagu keramatnya, Mentera Semerah Padi yang secara tidak langsung turut membangkitkan semangat para hadirin serta warga kerja Kumpulan Utusan sempena sambutan ulang tahun pada tanggal 29 Mei ini.

Antara barisan karyawan dan artis yang memeriahkan majlis itu adalah Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, Datuk Hattan, Amy Search, Erma Fatima, Mark Adam, Qierra dan pemain dram cilik, Nur Amira Syahira Azizul Abidin.

Turut menceriakan majlis adalah persembahan daripada kumpulan muzik yang dianggotai warga kerja Kumpulan Utusan iaitu kumpulan Don’t Touch Our Volume (D.T.O.V.).

Sementara itu, Noordin dalam ucapannya pula melahirkan penghargaan kepada para artis yang memberi sokongan kepada pelancaran Panggung Utusan.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada (Ketua Pengarang Kumpulan Utusan) Datuk Abdul Aziz kerana sentiasa memberi dan mendatangkan idea-idea bernas untuk usaha solidariti Kumpulan Utusan,” katanya.

Dalam pada itu, Othman pula memberitahu, pentas Panggung Utusan memberi penekanan kepada reka bentuk yang merakam nilai-nilai sejarah penubuhan syarikat penerbitan akhbar Melayu tertua di negara ini,

“Kita juga menempatkan dua plak perasmian yang cukup bersejarah iaitu plak perasmian bangunan syarikat Utusan oleh Almarhum Sultan Selangor, Sultan Hisamuddin Alam Shah pada tahun 1958 serta plak perasmian bangunan tambahan Kumpulan Utusan oleh Perdana Menteri pertama negara, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada tahun 1965,” katanya.

Panggung Utusan ditubuhkan dengan matlamat mewujudkan ruang interaksi secara santai sesama warga kerja selain menyokong ge­rakan solidariti Kumpulan Utusan yang sekali gus meningkatkan lagi perpaduan.

Tidak hanya terbatas kepada warga kerja Utusan, sebaliknya, Panggung Utusan juga membuka ruang kepada karyawan-karyawan seni tanah air menggunakan platform itu untuk menjayakan pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan termasuk mereka yang mahu mengadakan sebarang bentuk persembahan atau promosi.

Majlis perasmian Panggung Utusan dan sambutan ulang tahun ke-76 akhbar Utusan Malaysia turut menerima tajaan pelbagai pihak terma­suk Enfiniti Production, Maybank, Istana Budaya, Global Station Sdn. Bhd., Bangkok House, Menara Kuala Lumpur, Astro, Media Prima Berhad dan Resorts World Genting, Hotel Sama-Sama dan Hotel Royal Chulan.

Tiada ulasan: